The Lynn Lim Aura: Stylishly and Seriously Joyful!
Lynn Lim

The Lynn Lim Aura: Stylishly and Seriously Joyful!

Pelakon dan ikon fesyen, Lynn Lim berkongsi perjalanan karier lakonan, gaya peribadi, dan bagaimana fesyen membentuk keyakinannya.

pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar MICKY WONG solekan KF BONG dandanan OLIVIA OOI penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA

Ada aura istimewa pada Lynn Lim, pelakon berbangsa Cina yang semakin kukuh mencipta nama dalam industri hiburan dua negara, Malaysia dan Singapura. Mungkin kerana pembawakan dirinya yang tenang dan tidak mudah putus asa selama sedekad dalam industri ini. Buat isu Disember ini, GLAM memilih Lynn sebagai penghias wajah dimana perjalanan seninya penuh inspirasi dan ketabahan yang menjadikannya seorang wanita menarik untuk kita kenali lebih dekat.

Bakat bersinar di dua negara

Perjalanan karier lakonannya bermula selepas menyertai pertandingan Miss Universe Malaysia 2014. Kemenangan di tempat ketiga membuka peluang bagi Lynn dijemput IEntertainment, sekali gus membawa dirinya ke dunia lakonan secara profesional. Singapura kemudian menjadi medan baharu apabila industri mereka mahu menampilkan lebih ramai bakat Malaysia. Di sana, Lynn bermula dengan watak kecil dan perlahan-lahan membina namanya yang membolehkannya meneroka sisi lain industri hiburan.

Namun, perjalanan karier Lynn penuh dengan cabaran. Walaupun dia mengakui dirinya bertuah kerana mendapat sokongan syarikat dan bantuan penata gaya, Colin Sim, cabaran sebenar dirasai apabila mengejar watak yang diingini. “Cabaran lebih besar datang bila saya mula pergi untuk watak yang saya benar-benar mahu, dan tak dapat. Sekali, dua kali, kemudian jadi satu kitaran penolakan. Pada awalnya, ia sangat mengecewakan, tetapi lama-kelamaan saya mula melihatnya dengan perspektif berbeza. Sama ada saya dapat watak itu atau tidak, ia mengajar saya sesuatu tentang watak, tentang hidup, dan tentang diri sendiri,” kata Lynn.

Bagaimanapun, penolakan tidak pernah mendefinisikan dirinya. Sebaliknya, ia membentuknya menjadi pelakon yang lebih empati dan matang. “Saya belajar memahami kejayaan dan kegagalan, dan semuanya memberi nilai tambah kepada kerja saya,” tambahnya.

Selepas lebih sedekad dalam industri, apa yang terus membakar semangat Lynn adalah minat dan semangat dalam dirinya untuk terlibat dalam karya yang bermakna, mencuba watak baharu, dan menjadi sebahagian daripada cerita yang memberi kesan kepada orang lain. Dorongan ini membolehkan Lynn kekal relevan dalam industri yang sentiasa berubah.

See also
Santai Coachella

Salah satu pencapaian yang paling bermakna baginya ialah pencalonannya dalam Asian Academy Creative Awards 2025 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita, mewakili Singapura. “Itu pencalonan pertama saya, dan ia datang pada ketika saya hampir berputus asa. Saya berfikir mungkin saya patut bekerja di pejabat dari 9 pagi ke 5 petang dan menutup bab ini. Tapi kehidupan sentiasa memberi kejutan dan pengiktirafan itu datang tepat pada masanya. Ia sangat bermakna,” ujarnya.

Bercakap tentang pasaran industri hiburan Melayu, Lynn terbuka untuk mencuba cabaran baru. “Ya, memang saya mahu,” akuinya. Dia menyatakan rasa kagum dengan sejarah dan kepelbagaian industri filem Melayu dengan karya-karya seperti La Luna dan Imaginur yang mempamerkan kreativiti dan inovasi. Namun, sehingga kini, masih tiada pengarah atau penerbit Melayu yang menghubunginya untuk bekerjasama.

Selain itu, Lynn turut berkongsi pandangannya tentang perbezaan gaya produksi di Malaysia dan Singapura. Walaupun dia belum pernah bekerja dalam produksi Melayu, menurut rakan-rakannya, suasananya seperti keluarga, di mana semua saling menjaga. Produksi Cina pula pantas, sengit dan bercita-cita tinggi, manakala produksi Singapura tersusun, teratur dan efisien. Bagi Lynn, setiap pengalaman di set mempunyai tenaga tersendiri dan bekerja antara dua produksi ini menjadikannya seorang pelakon yang lebih serba boleh.

Ekspresi diri dengan Chanel

Dalam isu ini, Lynn menggayakan busana daripada jenama fesyen mewah, Chanel, mencerminkan gaya elegan dan abadi. Sebagai seorang pelakon berbakat yang berjaya di kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura, dia bukan sahaja menyerlah di layar perak, tetapi juga di karpet merah serta acara-acara antarabangsa, menunjukkan bahawa fesyen adalah sebahagian daripada ekspresi diri dan keyakinan.

Apabila ditanya tentang gaya peribadinya, Lynn berkongsi perbezaan antara gaya kasual dan penampilan di acara rasmi. “Tatkala ke karpet merah dan acara glamor, penata gaya saya pernah berkata imej saya sesuai ke arah ‘lebih matang dan ringkas,’ dan saya setuju. Saya suka tampil kemas dan klasik, itu lebih mencerminkan diri saya,” jelasnya. Jika tiada acara, gaya Lynn jauh lebih santai. “Dalam kehidupan seharian, saya sangat ringkas. Saya boleh keluar pakai seluar pendek dan selipar. Bila rajin sedikit, saya menggayakan baju cantik dan seluar longgar yang panjang dan denim. Kalau mahu tampil lebih menarik, saya tambahkan dengan aksesori,” ujarnya.

See also
Onitsuka Tiger Di Milan Fashion Week Koleksi Musim Luruh Menjelang Ulang Tahun Ke -75

Bagi Lynn, aksesori adalah elemen penting untuk melengkapkan penampilan. Antara aksesori kegemarannya ialah rantai Chanel Coco Crush. “Saya memang suka bentuk dan rekaannya. Ia timeless dan sesuai dengan apa sahaja,” katanya.

Jenama Chanel, baginya, membawa makna yang mendalam. “Semangat jenama itu sangat dekat dengan diri saya. Saya selalu rasa ada sisi kecil ‘budak nakal’ dalam diri saya, yang tidak mahu ikut semua peraturan. Chanel juga mempunyai semangat itu yang bertanyakan kepada diri, ‘Siapa atau apa yang saya mahu jadi?’ dan bukan apa yang orang tentukan. Kebebasan itu sangat dekat dengan diri saya,” kata Lynn.

Kenangan paling tidak dapat dilupakan Lynn bersama Chanel ialah lawatan pertamanya ke Paris pada 2018. “Itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke Coco Apartment, dan Chanel mengubah Grand Palais menjadi pantai. Saya melihat koleksi Karl Lagerfeld secara langsung dan mengunjungi atelier mereka. Melihat ketelitian dan dedikasi dalam pembuatan setiap barangan membuat saya lebih menghargai jenama ini. Perjalanan itu masih menjadi memori yang paling tidak dapat dilupakan hingga kini,” kenangnya.

Bercerita tentang barangan Chanel pertama kepunyaannya, Lynn masih ingat dengan jelas. Item pertama itu adalah beg tangan klasik 2.55. “Saya memberitahu teman lelaki yang saya mahukan beg itu, dan perkara pertama yang dia katakan ialah untuk faham sejarah dan warisan jenama itu terlebih dahulu supaya ia lebih makna. Saya buat kajian dan akhirnya membelinya sendiri pada lawatan pertama saya ke Paris. Saya sewa basikal, kayuh ke butik, beli beg itu, dan kayuh balik ke hotel dengan beg itu diletakkan di bakul. Ia pengalaman yang tak akan saya lupakan,” kongsinya.

lynn lim

Lynn percaya Chanel telah memberi pengaruh besar kepada wanita Asia, bukan sahaja dari segi gaya tetapi juga keyakinan diri. “Saya rasa semangat Chanel memberi inspirasi kepada wanita Asia. Coco Chanel meninggalkan legasi yang mengingatkan kita bahawa wanita boleh kuat, berdikari, dan tidak takut menentang arus. Ia memberi rasa kekuatan dan keyakinan yang istimewa, hingga hari ini,” jelasnya.

See also
Chanel No.5 Bakal Dihentikan?

Apabila ditanya tentang keseimbangan antara keselesaan dan glamor, Lynn menegaskan keselesaan adalah keutamaannya. “Bagi saya, keselesaan datang dulu. Saya cuba tidak terlalu ikut trend, kerana apa sahaja yang saya pakai mesti rasa ‘diri saya’. Bila anda selesa dan yakin, aura itu keluar secara semula jadi,” katanya. Pendekatan ini menunjukkan bahawa gaya sebenar bukan sekadar rupa, tetapi bagaimana seseorang merasakan dirinya dalam pakaian itu.

Bagi inspirasi fesyennya, Lynn sering terinspirasi dengan gaya wanita Perancis. “Mereka tidak ikut trend, mereka ikut gaya sendiri. Itu yang banyak memberi inspirasi kepada saya,” katanya. Dari perspektifnya, wanita Chanel mewakili kebebasan, wanita yang mempunyai pemikiran sendiri, personaliti sendiri, dan cara hidupnya sendiri. Ia bukan hanya tentang fesyen, tetapi tentang sikap hidup.

Lynn juga menekankan bagaimana Chanel menonjol berbanding jenama mewah lain. “Chanel membawa tenaga yang bebas. Sentiasa ada rasa kebebasan dalam cara mereka bergaya. Ia elegan tetapi tidak menyekat, timeless tetapi tidak kaku. Jenama ini mendorong anda untuk jadi diri sendiri,” kata Lynn.

Gaya Lynn sendiri, sama ada kasual atau di acara karpet merah menggambarkan prinsip-prinsip ini. Dalam kehidupan seharian, dia memilih pakaian ringkas tetapi klasik, manakala di acara rasmi, dia mengimbangi kematangan dan kesederhanaan dengan aksesori yang tepat. Rutin fesyennya menunjukkan bahawa keyakinan diri lebih penting daripada sekadar mengikuti trend semasa. Sama seperti semangat Chanel, Lynn melihat fesyen sebagai medium untuk mengekspresikan diri. Ia bukan hanya tentang cantik di mata orang, tetapi tentang merasa selesa, yakin, dan bebas. “Fesyen adalah cara untuk menunjukkan siapa saya sebenarnya tanpa perlu berkata apa-apa,” tambahnya.

Baca kisah penuh Lynn Lim dengan mendapatkan majalah GLAM isu Disember 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.