The Eighties Dream - Glam Malaysia

The Eighties Dream

Koleksi Tory Burch Musim Bunga 2020 mengabadikan mendiang Diana Spencer sebagai akar gaya utama. Himpunannya cukup lembut dengan sorakan corak bunga berselera vintaj serta ada siluet dekad 80-an seperti lengan kembang juga sut ilham gerobok jejaka. Apapun, himpunan kali ini memberi satu garapan yang lebih berjiwa fearless serta punya nilai kemanusiaan ilham puteri berhati rakyat, Diana Spencer.

Awal pagi Ahad saya sudah keluar untuk menyaksikan pertunjukan fesyen Tory Burch. Perjalanan jauh sedikit, mungkin jarang kelompok fesyen melalui jalan untuk ke acara Tory Burch. Kami menyeberangi sungai membawa ke Brooklyn Museum. Saat tiba terik pagi membuatkan ramai yang terus masuk ke dalam bangunan muzium. Di dalam kami disambut dengan pilihan sarapan pagi yang tersusun indah dengan bunga-bunga memenuhi meja. Penuh dengan pastri yang cantik, kek yang menarik mata yang memandang juga air teh panas untuk melengkapkan sarapan orang Britain. Kelompok fesyen tidak bisa menolak. Semua kerumun meja sarapan Tory Burch yang cukup kena dengan jiwa Ratu Elizabeth.

See also
Live Streaming: Pementasan Fesyen Tory Burch Bunga/Panas 2020

Selepas siap bersarapan dengan manisan, kami semua duduk di ruang Beaux-Arts Court. Mentari pagi masih jelas kelihatan daripada atap. Alunan suara The Passions dengan lagu bertajuk I’m in Love with a German Film Star mula memenuhi ruang acara. Melangkah penuh elegan beritma lagu 80-an itu adalah supermodel Natalia Vodianova. Dalam dress putih handkerchief berserta tenunan bunga kecil memberi rasa feminin. Lebih relaks apabila gaya ini dipadankan dengan kasut sneakers. Selepas itu satu persatu gaya yang dicedok daripada era 80-an memenuhi ruang pentas yang sarat dengan wanita Tory Burch.

Siluet yang penting hasil daripada koleksi ini adalah dress blouson yang kembang serta cerutan pada pinggang untuk menampakkan sisi kewanitaannya. Bagi meraikan gaya klasik Diana Spencer pada awal dekad 80-an, ada reben diikat pada leher. Selain dress siluet blouson, seluar billowy juga dipertaruhkan. Ada pilihan seluar harem dan palazzo. Untuk memberi rasa lebih relaks untuk gaya hujung minggu atau liburan di countryside, Tory Burch mencadangkan gabungan dress longgar maksi bersama kot atau jaket potongan jejaka.

See also
Timeless & Praktikal Beg CHANEL 22 Musim Bunga Panas

Palet pilihan Tory Burch ada dua sisi yang jauh bezanya. Bermula dengan rona lembut seperti buah lemon, ungu cair serta merah jambu air. Ada juga ceraian yang diselitkan di antara rona pastel ini dalam palitan warna lebih asli seperti hitam, biru laut dan putih. Menaikkan lagi semangat 80-an, Tory Burch raikan bersama pilihan merah, kuning terang serta biru elektrik. Rona yang sungguh memberi kuasa ini memenuhi ceraian yang mempunyai corak geometri. Semestinya corak jalur dan kotak dipertaruhkan untuk mengukuhkan gaya klasik orang British.