The Earth Is Flat, Koleksi Eksperimentasi Oleh Kit Woo - Glam Malaysia

The Earth Is Flat, Koleksi Eksperimentasi Oleh Kit Woo

Kit Woo mempersembahkan koleksinya di KLFW 2025 yang mengangkat tema ‘The Earth is Flat’, memadukan seni avant-garde dan kefungsian. GLAM turut berpeluang menemu bualnya di belakang takbir secara eksklusif.

Dalam dunia fesyen yang sering mengejar bentuk tubuh ideal atau fungsi konvensional, Kit Woo tampil dengan koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2025 bertemakan ‘The Earth is Flat’. Ia merupakan satu koleksi yang membawa penegasan terhadap kefasihan bentuk, ruang serta idea. Tajuknya provokatif, namun koleksi ini jauh daripada permainan ironi kosong. Sebaliknya, ia menyelam jauh ke dalam wacana tentang bagaimana fabrik boleh memanipulasi persepsi tiga dimensi dalam tubuh manusia, tanpa tunduk pada binari gender atau norma keanggunan yang tipikal.

Koleksi The Earth Is Flat Oleh Kit Woo Buat Pentas Peragaan KLFW 2025

Musim ini, Kit Woo mengangkat eksperimentasi sebagai falsafah ke dalam rekaannya. Dengan struktur tidak simetri yang disengajakan dan siluet yang seolah-olah dilipat seperti objek arkeitektur lunak, pereka ini mencipta himpunan pakaian yang tampak seperti ‘dibina’, bukan dijahit. Lapisan, potongan modular serta lipatan dramatik, memancar efek yang menyerupai lengkungan lantas memberi pakaian itu karakter yang hampir skulptural. Ia menawarkan keseimbangan di antara avant-garde dan kefungsian pakaian, menjadikan setiap rekaan berpotensi keluar dari pentas dan masuk ke gerobok pakaian peminat fesyen arif.

See also
Selain Bella Astillah, Ini Wajah REDManifesto Wanita Malaysia

Apa yang menarik, meskipun koleksi ini sarat dengan intelektualisme, ia tetap terasa boleh diguna pakai. Bukan dalam erti kata kasual, tetapi dalam cara yang menawarkan naratif buat si pemakai. Koleksi ini dihimpunkan dalam rona gelap yang mendominasi dan jantina-neutral yang nyata memberi ketegasan daripada bentuk norma kebiasaan. Ia membenarkan pakaian tampil dengan nilai yang lebih bebas namun mempunyai identiti yang cukup kuat. Setiap helaian seolah mengajak si pemakai untuk berinteraksi dan menafsirkan bentuknya sendiri, membiarkan pakaian itu hidup mengikut gerak tubuh serta personaliti pemiliknya. Inilah yang menjadikan koleksi ini unik. Di mana, ia tidak memaksa untuk difahami secara mutlak, sebaliknya membuka ruang untuk dialog antara rekaan dan pemakai.

Dalam konteks fesyen kontemporari yang semakin pantas dan sarat trend sementara, ‘The Earth is Flat’ berdiri sebagai manifesto tentang keberanian untuk berfikir berbeza, mencipta bahasa visual tersendiri, dan meninggalkan kesan yang melampaui musim. Ia sekaligus memperlihatkan visi Kit Woo sebagai pereka yang sentiasa mencabar konvensi, menggabungkan idea konseptual dengan kemahiran teknikal yang tajam, lantas mengukuhkan identitinya dalam landskap fesyen moden kini.

See also
Dance with GLAM!

#BackstageMoment: Temu Bual Eksklusif Bersama Kit Woo

1. Apakah naratif atau inspirasi di sebalik koleksi untuk kali ini?

Tajuk koleksi ini ialah The Earth is Flat. Jadi, ia bercanggah dengan pemahaman kita tentang susunan semula jadi sesuatu perkara. Ia adalah permainan visual dan konsep yang sarat dengan pertembungan, pertentangan serta menginjek keunikkan yang menyeluruh.

 

2. Siapakah menjadi Muse yang anda bayangkan untuk memakai tampilan dalam koleksi ini?

Pada masa ini, saya benar-benar mahu atau menginginkan Keshi untuk memakai beberapa penampilan daripada koleksi, terutamanya ketika melakukan persembahan.

3. Tiga perkataan untuk menggambarkan koleksi malam ini?

Transformatif, interaktif dan menyeronokkan.

 

Artikel berkaitan: Tampil Avant-Garde Pagi Syawal Bersama Kit Woo

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.