Tampilan Deretan Selebriti Di Venice Film Festival 2025 - Glam Malaysia

Tampilan Deretan Selebriti Di Venice Film Festival 2025

Venice Film Festival kini kembali lagi dan menyerlah sebagai pentas agung yang merangkul sinema dan fesyen, menyingkap keindahan gaya selebriti di dalam persalinan busana masing-masing.

Venice Film Festival 2025 sekali lagi meneguhkan reputasinya sebagai pertemuan agung antara sinema dan fesyen. Setiap tahun, kota Venice ini bukan sahaja menjadi saksi tayangan perdana buat filem-filem yang mencetuskan perbualan hangat, malah juga panggung bergaya untuk selebriti antarabangsa mempersembahkan sisi glamor mereka. Karpet merah di Lido seakan kanvas, di mana barisan bintang besar menzahirkan identiti melalui busana yang dipilih khas, lantas menggabungkan keanggunan glamor dan stail tersendiri.

Antara tampilan selebriti yang mencuri perhatian tahun ini ialah Emma Stone dalam gaun bustier keperakan berfabrik tulle bersulam, dengan skirt twisted balloon yang dramatik dari Louis Vuitton. Garisan berpusar perak berkilau bagaikan tinsel menghiasi tali halus gaunnya, sementara sandal satin dan perhiasan dari Louis Vuitton High Jewellery melengkapkan aura glamor bersempena dengan filem terbarunya, Bugonia. Tidak ketinggalan, pelakon pemenang Oscar, Julia Roberts, tampil mempesona di Venice Film Festival buat tayangan perdana filem terbaharunya ‘After the Hunt’ yang menggayakan gaun khas Atelier Versace yang merupakan rekaan eksklusif daripada Pengarah Kreatif baharu Versace, Dario Vitale.

See also
Jenna Ortega Kini Duta Dior Beauty Baharu

Sementara itu, pesona bintang lelaki turut menyerikan acara karpet merah. Pelakon popular, Andrew Garfield tampil segak dalam sut klasik Dior berona biru pastel karya Jonathan Anderson, disempurnakan dengan kemeja belang biru lebih lembut yang menyalurkan aura sofistikasi dan minimalis. Jacob Elordi pula hadir dalam gaya lebih klasik, memilih rekaan Bottega Veneta, di mana sut hitam berpotongan sharp memberi nafas elegan maskulin yang pastinya sentiasa memikat lensa kamera dan mencuri tumpuan.

Venice Film Festival 2025 sekali lagi membuktikan bahawa karpet merahnya bukan sekadar ruang laluan selebriti, tetapi sebuah pentas agung yang merayakan dialog abadi antara seni perfileman dan dunia fesyen. Dari gaun yang menawan hingga sut maskulin yang bersiluet kemas, setiap penampilan menjadi naratif visual yang memperkayakan memori festival tahun ini. Di Lido, glamor bukan sekadar aksesori, ia adalah bahasa elegan yang menyatukan budaya, kreativiti, dan bintang-bintang layar perak dalam satu persembahan penuh magis.

Deretan Gaya Selebriti Di Karpet Merah Venice Film Festival 2025

1. Emma Stone, Louis Vuitton

2. Julia Roberts, Versace

3. Alba Rohrwacher, Dior

4. Jacob Elordi, Bottega Veneta

5. Andrew Garfield, Dior

6. Ayo Edebiri, Chanel

7. Callum Turner, Louis Vuitton

8. Rosie Huntington-Whitely, Giorgio Armani Privé

9. Mia Goth, Dior

10. Gemma Chan, Giorgio Armani

Artikel berkaitan: Get the Look: Scha Alyahya di Karpet Merah Venice Film Festival

See also
Jiwa Liar Wanita Dior Menjiwai Gerakan Feminis

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.