Siti Saleha In Her Prime Time
Selepas hampir 20 tahun beraksi di layar, Siti Saleha kini menjejak langkah segar sebagai pengarah dan bakal menjalani fasa paling menggembirakan dalam hidupnya.
pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN teks MAYA KUSUMA gambar MICKY WONG solekan KF BONG dandanan OLIVIA OOL penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN
Pagi Jumaat itu, tepat jam 9 pagi, suasana di studio sudah mula sibuk dengan persiapan sesi penggambaran. Jurugambar, pendandan rambut, jurusolek dan pasukan GLAM bersedia menyambut kedatangan wajah hadapan untuk isu Ogos ini iaitu pelakon wanita terkenal yang tidak jemu mata memandang, Siti Saleha. Kehadiran wanita berkulit mulus ini bersama pengurusnya disambut dengan senyuman mesra, menyapa setiap orang di studio dan bersalaman dengan penuh hormat. Wajahnya cukup berseri-seri. Sampaikan tak terucap apa yang membuatkan dia punya aura sebegini.
Berpakaian ringkas dan selesa namun tetap kelihatan anggun dan menawan, itulah karisma semula jadi yang dimiliki oleh Siti Saleha atau lebih selesa disapa Sally. Keperibadiannya yang merendah diri dan mudah didekati menjadikan dirinya lebih cantik dari luar dan dalam. Dalam sesi temubual eksklusif ini, Siti Saleha berkongsi berita gembira dan kisah dirinya yang melangkah ke fasa baru pada usia 35 tahun.
Siti Saleha terus bersinar

Hampir dua dekad dalam industri seni, Siti Saleha meluahkan rasa syukur atas segala pencapaian dan bagaimana dia kekal setia pada minatnya. “Saya sangat berbangga dengan kejayaan selepas hampir dua dekad dan sangat gembira yang saya masih relevan dalam industri. Serta masih staying true dan buat apa yang saya suka,” katanya. Dia mengakui kematangan dalam dirinya turut terbentuk melalui watak-watak yang dibawa. Baginya, perjalanan kariernya tidak pernah drastik tetapi stabil, dan itu sudah cukup memuaskan hatinya.
Menariknya, kini Saleha melangkah ke satu bidang baru iaitu pengarahan. Peluang pertama itu datang secara mengejut apabila produser syarikat produksi, Anomalous Films menawarkannya untuk mengarahkan sebuah telefilem kempen TV3. “Saya terus kata ya. Saya terlibat dari awal—pengolahan skrip, idea, pembangunan cerita. Ia pengalaman yang sangat menyeronokkan,” katanya. Telefilem tersebut yang bertajuk Rentak Dua Hati turut ditulis berdasarkan kisah benar sahabatnya. “Sebaik sahaja saya duduk di kerusi pengarah, saya tahu apa yang saya mahukan,” ujarnya, menunjukkan dia bersedia walaupun ini merupakan cubaan kali pertama sebagai pengarah.
Apabila ditanya adakah pengarahan memberi kepuasan yang berbeza, jawabnya, “Sudah tentu, menjadi pengarah beri kepuasan yang berbeza daripada berlakon.” Siti Saleha meluahkan rasa bangga kerana terlibat dalam setiap aspek produksi, dari pemilihan lagu, skrip, pelakon, hinggalah ke suntingan akhir. “Ia adalah momen yang membanggakan buat saya. Bila orang kata keserasian antara pelakon bagus, cerita menarik, saya rasa sangat puas hati sebab saya tahu saya terlibat dari awal sampai habis,” tambahnya. Jelas bahawa ini hanya permulaan bagi Saleha dalam dunia pengarahan, dan kami yakin ini bukan kali terakhir namanya akan dikreditkan sebagai pengarah.
Bakat dan pesona Siti Saleha terus mendapat tempat kerana kesungguhannya dalam setiap watak yang dibawa. Baginya, lakonan bukan sekadar glamor atau populariti, tetapi satu bentuk seni yang memerlukan jiwa dan penghayatan mendalam. “Berlakon tu penat, tahu kerana ia satu seni, satu kemahiran, dan bergantung pada sejauh mana jiwa yang kita curahkan ke dalam sesuatu watak. Bukan hanya mengejar nama semata-mata,” ujarnya. Dia menegaskan bahawa pemilihan naskhah yang baik adalah kunci untuk kekal relevan, apatah lagi setelah lama berada dalam industri. “Saya tidak mahu menjadi sekadar ‘pelakon bergaji’ yang mengambil projek demi bayaran, sebaliknya sentiasa mencari cabaran baharu dalam watak yang berbeza dan bermakna. Pemilihan watak perlu bijak, dan karakter itu perlu dihayati sepenuh jiwa,” tambahnya. Bagi Siti Saleha, kepuasan sebenar datang apabila penonton mengiktiraf lakonannya secara tulus dan itulah yang membangkit semangatnya untuk terus berkarya dengan jujur dan sepenuh hati.

Dalam dunia seni yang penuh dengan batasan industri dan kekangan skrip, Siti Saleha tidak menafikan bahawa pernah wujud saat dimana kreativitinya terasa disekat. Terutamanya ketika terlalu kerap membintangi drama televisyen, beliau menyedari banyak jalan cerita yang berulang. “Skrip dan watak, walaupun tak sama sangat, tapi skrip dan jalan cerita sama,” jelasnya. Momen inilah yang membuatkan beliau mula mempertimbangkan semula hala tuju kariernya. Siti Saleha memilih untuk berehat seketika daripada dunia TV dan memberi tumpuan kepada platform premium yang menawarkan lebih kebebasan dari segi penceritaan dan pemilihan watak. “Ia lebih urban, dan rasanya memang lebih kena dengan diri saya. Saya boleh lebih verstail dan bertutur dalam bahasa Inggeris,” ujarnya sambil menyatakan betapa seronoknya dapat menunjukkan sisi berbeza dalam naskhah yang lebih segar dan realistik.
Selama empat tahun, dia memberi fokus kepada siri premium yang menurutnya lebih mencabar dari segi kualiti tetapi juga memberi ruang untuk dirinya berkembang sebagai pelakon. Meskipun tidak muncul di kaca televisyen, peminat setianya masih boleh menonton lakonannya di platform berbayar. Selepas tempoh tersebut, dia kembali semula ke TV dengan naskah mega drama Dia Imamku, yang ternyata mendapat sambutan hangat. “Lima ke enam bulan penggambaran memang penat, tapi bila hasilnya menjadi dan diterima penonton, saya rasa sangat berbaloi,” luahnya. Jelas bahawa fasa rehat dan pemilihan projek secara teliti memberikan impak besar dalam memastikan Siti Saleha kekal relevan tanpa perlu mengorbankan pegangannya.
Sepanjang perjalanan kariernya, Siti Saleha semakin bijak memilih watak yang ingin dilakonkan, terutamanya apabila watak tersebut tidak sesuai dengan nilai hidupnya sekarang. Pada awal kerjaya, dia menerima pelbagai watak kerana tidak banyak pilihan, namun kini dia menolak watak-watak seperti wanita lemah, teraniaya atau dirogol kerana merasakan ia memberi mesej yang salah. “Saya tak nak bawa watak damsel in distress… ia bukan mesej yang baik untuk disampaikan kepada orang diluar sana,” jelasnya. Saleha memilih untuk membawa watak wanita yang kuat dan memberi inspirasi, dan berpindah ke platform premium yang menawarkan lebih banyak kebebasan serta cerita yang lebih segar dan realistik. Katanya, “Saya memilih watak yang lebih kuat dan penceritaan yang diangkat adalah tentang wanita dan bukan hanya lelaki,” menunjukkan perubahan ini bukan sekadar untuk kerjayanya, tetapi juga demi tanggungjawab sosial.

Menurut Siti Saleha, peralihan dari era televisyen tradisional ke platform penstriman digital membawa perkembangan yang membina, walaupun prosesnya berjalan agak perlahan dan masih ada kekangan terhadap kandungan tertentu. “Ada kemajuan tapi masih perlahan. Baru je sesuatu tu menjadi, tiba-tiba kena hentikan pula,” katanya. Namun, dia gembira dengan kemunculan lebih banyak idea segar di platform seperti Astro yang menampilkan cerita lebih muda dan urban. Saleha juga bangga apabila telefilem arahannya Rentak Dua Hati diluluskan untuk tayangan di TV3 walaupun isunya agak sensitif. “Seronok bila nampak penonton mula menerima watak-watak yang terbuka dan tidak menghakimi,” ujarnya sambil berharap lebih banyak stesen TV akan terbuka kepada cerita yang lebih berani dan jujur.
Cara Siti Saleha dalam menilai sesuatu projek bermula dengan membaca skrip dengan teliti sebelum membuat keputusan. Contohnya, sekarang dia sedang menjalani penggambaran sebuah siri Bad Cop yang diadaptasi dari siri Jerman dan membawa watak sebagai Ketua Polis, sesuatu yang belum pernah dia lakonkan sebelum ini. “Sesuatu yang berbeza. Jadi saya memang gembira sebab ada jalan cerita yang lebih menyegarkan macam ni.” Selain skrip, faktor pengarah dan pelakon bersama juga penting. Pengalaman mengajarnya untuk mempercayai naluri sendiri dalam memilih projek. “Percaya pada gerak hati, percaya pada rasa dari awal. Kalau you rasa benda lima puluh peratus dan kena buat sebab terpaksa, pada saya jangan ambil. Tapi kalau you yakin seratus peratus dan you rasa sangat teruja, ia mungkin petanda yang baik.” Dengan pendekatan ini, Saleha memastikan setiap projek yang diterimanya bukan sahaja berkualiti tetapi juga memberi kepuasan dan cabaran dalam kerjaya lakonannya.
Sebagai seorang pelakon perlu bijak menguruskan masa bagi mengimbangi kerjaya dan keluarga dan Siti Saleha amat menitikberatkan hal itu. “Projek yang saya buat sekarang tak melibatkan saya setiap hari, kadang-kadang sekali atau dua kali seminggu sahaja. Jadi, saya ada masa lebih untuk suami dan keluarga.” Berbeza dengan projek sebelum ini, Dia Imamku yang memerlukan komitmen penuh selama lima bulan dengan waktu penggambaran yang panjang. “Memang penat, keluar pagi balik malam, tapi saya belajar pilih watak yang sesuai dengan masa dan komitmen saya.”
Siti Saleha sering tampil dengan gaya yang elegan dan effortless, namun dia sendiri mengakui bahawa fesyennya banyak dipengaruhi oleh personaliti yang cenderung kepada gaya minimalis dan selesa. “Saya tidak terlalu mencuba. Saya sangat ringkas. Saya suka pakai yang paling selesa dan longgar sebab kalau tak selesa, memang jelas nampak kat muka saya,” katanya jujur. Walaupun dia meminati dunia fesyen dan mengikuti trend semasa, Siti Saleha sedar bahawa tidak semua gaya sesuai dengan bentuk badannya yang petite. Namun begitu, dia tetap berani bereksperimen dengan warna dan gaya selagi pakaian tersebut membuatnya rasa yakin dan selesa.
Dalam pada itu, Siti Saleha turut berkongsi dua pereka fesyen tempatan kegemarannya yang sering menjadi pilihan dalam penampilannya. Bagi gaya lebih maskulin dan berstruktur, dia memilih Atelier Fitton. Sementara itu, bagi gaya yang lebih lembut, feminin dan santai, dia selesa dengan rekaan Alia Bastamam. “Saya suka dress, memang saya jenis girly girl. Rekaan Alia Bastamam sangat santai, ada vibe resort yang tenang dan ia sangat sesuai dengan bentuk badan saya. Kadang-kadang walaupun tak nampak bentuk badan, saya masih rasa elegan dan sangat feminin.” Baginya, kunci utama dalam berfesyen adalah mengetahui apa yang sesuai dengan tubuh badan dan berasa selesa dalam pakaian tersebut.
Melangkah ke alam keibuan

Ketika dia sedang mengambil tempat untuk bersiap di waktu sesi penggambaran ini, Siti Saleha berkongsi berita gembira tentang perananannya yang lagi satu. Berita kehamilannya dikongsikan secara eksklusif buat GLAM. Kini sudah memasuki usia empat bulan. Kami di studio turut teruja dengan berita gembira itu. “Saya sangat bersyukur kerana pada trimester pertama ini saya tidak terlibat dengan penggambaran, jadi boleh berehat di rumah, buat persiapan dan jaga kesihatan dengan baik. Ini peranan terpenting dalam hidup saya sekarang.” Baginya, masa buat diri sendiri dan keluarga adalah sangat penting untuk keseimbangan hidup. Terutama ketika menghadapi perubahan besar sebagai bakal ibu. Kini, Saleha dan suaminya, Joshua Fitton semakin teruja menantikan kehadiran anak sulung mereka.
Baca kisah penuh Siti Saleha dengan mendapatkan majalah GLAM isu Ogos 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

