Siri Dior Lady Art #9 Diilham Oleh 11 Artis Yang Artistik - Glam Malaysia

Siri Dior Lady Art #9 Diilham Oleh 11 Artis Yang Artistik

Bersempena edisi kesembilan “Dior Lady Art”, rumah fesyen dior telah bekerjasama dengan 11 orang artis antarabangsa dalam menghasilkan kecemerlangan kreativiti yang diimaginasikan semula buat tas tangan lady dior.

Tas tangan ikonik Lady Dior yang menjadi item fesyen digemari ramai termasuk mendiang Puteri Diana, terus mendominasi selama beberapa dekad sehingga kini. Ia melambangkan intipati gaya Dior yang jelas terpancar keanggunan abadinya. Siluet reka bentuknya yang halus, dinaikkan dengan corak Cannage yang terkenal lantas menggabungkan kod ikonik rumah fesyen ini dengan kepelbagaian ketukangan yang indah.

Dior Lady Art Kini Merentasi Siri Yang Kesembilan!

Lady Dior kini terus berkembang, dibentuk oleh idea dan peristiwa yang merangkumi seni, inovasi dan kreativiti. Bermula sejak tahun 2016, label mewah ini telah mempersembahkan projek Dior Lady Art dengan menghadirkan para artis antarabangsa, mengolah semula beg ikonik ini menjadi kanvas buat mereka berkarya dan mengekspresikan visi mereka yang tersendiri. Ia ternyata bukan sahaja membuatkan tas tangan Lady Dior ini istimewa, malahan memberi perspektif baharu dan kontemporari.

See also
GLAM Oktober 2015

Ditafsirkan sebagai tas tangan yang menawan hati, Lady Dior sering kali menjadi lambang transformasi yang puitis. Buat edisi yang kesembilan, barisan artis berbakat dengan pelbagai latar belakang seperti Sara Flores, Jeffrey Gibson, Woo Kukwon, Danielle McKinney, Duy Anh Nhan Duc, Hayal Pozanti, Faith Ringgold, Vaughn Spann, Anna Weyant, Liang Yuanwei serta Huang Yuxing telah mendapat peluang keemasan untuk berkarya bersama tas tangan ini yang semestinya meningkatkan portfolio mereka sebagai seorang artis.

Setiap seni rekaan yang dicipta lalu ditermahkan pada tas tangan ini, nyata tampil cemerlang mengikut kreativiti masing-masing. Segala butiran juga turut diberi fokus yang tinggi bagi menghasilkan maha karya yang berkualiti hingga ke akar umbi. Jika berbicara tentang fesyen modenisasi, Lady Dior Art adalah jawapannya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa gabungan alkimikal warisan Dior bergema dengan seni kreatif artisan yang pastinya cukup berjaya.

Artikel Berkaitan: Dior Lady Art Merentasi Siri Kelima Bertema Metamorfosis