Selena Gomez & Benny Blanco Tampil Berseri di Academy Museum Gala 2025
Malam yang penuh glamor di Los Angeles menyaksikan kehadiran pelbagai selebriti terkenal di Gala Museum Academy 2025, termasuk Kendall Jenner, Jenna Ortega, Kim Kardashian, Kaia Gerber, Madison Mikey, Demi Moore dan Olivia Rodrigo. Namun, kemunculan paling menarik perhatian adalah pasangan Selena Gomez dan Benny Blanco.
Pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada September lalu ini menandakan penampilan sulung mereka di karpet merah sebagai suami isteri. Kehadiran mereka berdua mencuri tumpuan dengan penampilan yang sangat elegan dan mempesonakan, membuktikan bahawa perkahwinan membawa kebahagiaan kepada mereka.
Pilihan Fesyen yang Sedondon

Foto: Getty Images
Selena Gomez dan Benny Blanco memilih untuk menggayakan rekaan Giorgio Armani yang anggun dan classy. Penyanyi dan juga pengasas jenama kecantikan, Rare Beauty ini mempamerkan gaun hitam dari koleksi Giorgio Armani Privé yang dibuat khas untuknya. Gaun baldu hitam tersebut dihiasi dengan kristal berkilauan di bahagian leher, memberikan sentuhan mewah kepada penampilannya. Selena Gomez juga melengkapkan penampilan dengan jaket baldu hitam dan barang kemas berlian yang mempesonakan, termasuk anting-anting yang menawan. Manakala suaminya, Benny Blanco pula tampil segak dengan sut baldu dari Giorgio Armani, dipadankan dengan kemeja sutera biru navy, rantai berlapis, dan sepasang kasut loafer yang bergaya.
Nuansa Hollywood Klasik yang Sempurna

Foto: Getty Images
Pasangan ini berjaya menampilkan nuansa glamor Hollywood klasik yang sangat sesuai dengan majlis yang mengiktiraf pencapaian Academy tersebut. Pendekatan fesyen ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi mereka kerana telah beberapa kali menampilkan gaya yang sama di karpet merah. Awal tahun ini, mereka turut menghadiri majlis Emmy dengan pakaian formal yang saling melengkapi. Namun, penampilan malam ini lebih istimewa kerana memancarkan kebahagiaan sebagai pasangan suami isteri yang baru. Hubungan dan pilihan fesyen mereka terus menjadi inspirasi kepada ramai peminat di seluruh dunia.
Zahirah Zulkhairi
Zahirah Zulkhairi merupakan Penulis di GLAM Malaysia. Menerusi sentuhan kreatifnya, kandungan yang dihasilkan menyelami dunia kecantikan dengan pendekatan yang segar dan dekat dengan pembaca.

