Selebriti & Barang Kemas Di Majlis Perkahwinan Anant Ambani
Perkahwinan antara Anant Ambani dan pilihan hatinya, Radhika Merchant, dihiasi dengan barang kemas yang elegan dan mewah.
Persandingan ikonik yang boleh dikatakan sebagai Wedding Of The Year telah berlangsung pada 12 hingga 14 Julai 2024 yang lalu. Majlis ikatan antara Anant Ambani dan Radhika Merchant menjadi tarikan ramai dengan kehadiran bintang-bintang terkenal dunia. Majlis yang dikatakan memakan belanja sebanyak $600 juta ini dimeriahkan dengan gaya-gaya fesyen yang megah dan menarik oleh setiap tetamu yang hadir. Hari ini, GLAM akan berkongsi barang-barang kemas yang dipakai oleh selebriti wanita di majlis perkahwinan Ambani lalu.
#1 Kim Kardashian
Pasangan adik-beradik terkenal Kardashian terbang ke Mumbai untuk upacara perkahwinan Anant Ambani dan Radhika Merchant. Kim, pemilik jenama SKIMS ini datang dengan memakai barang kemas dari Lorrain Schwartz. Dia dihiasi dengan berlian 150 karat yang dikatakan bernilai tujuh angka bersama pakaian tradisional India berona merah pada hari majlis itu berlangsung.
#2 Janhvi Kapoor
Pelakon India, Janhvi Kapoor menarik perhatian ramai dengan lehenga kustom dari Falguni & Shane Peacock, bersama top yang ditata dengan emas sebenar. Trend menjadikan perhiasan sebagai pakaian ini difokuskan untuk Kapoor pada malam upcara perkahwinan itu. Busana Kapoor dihiasi dengan choker, chaandbalis yang anggun dan maang tika. Gelang dan cincin yang halus juga melengkapi busana Kapoor.
#3 Nita Ambani
Ibu kepada pengantin lelaki hadir dengan begitu anggun pada upacara perkahwinan itu. Nita kelihatan sangat elegan dengan barang kemas dari koleksi Surya Shakti. Busana Nita lengkap dihiasi barang kemas daripada Kantilal Chhotalal. Nita yang terkenal dengan cintanya pada perhiasan mewah, mengenakan rantai yang dibuat selama lebih dari 1000 jam menampilkan berlian kuning cushion seberat 100 karat dengan permata solitaire zamrud seberat 80 karat.
#4 Alia Bhatt
Pelakon terkenal dari India, Alia Bhatt kelihatan sangat menawan sebagai salah seorang jemputan upacara perkahwinan Ambani. Barangan kemas Bhatt merupakan kraftangan tradisional daripada koleksi Padampriya oleh Sunita Shekhawat. Set ini menampilkan motif bunga teratai di tengah yang dibuat dengan teknik Champleve enamelling dan meenakari Gulabi yang diwarnakan. Dibuat dengan buatan tangan dari emas 22 karat, set ini berkilau dengan berlian, zamrud, dan mutiara South Sea, menambahkan keanggunan yang abadi pada busana Alia.
#5 Priyanka Chopra
Priyanka Chopra, pelakon terkenal merangkap isteri kepada penyanyi pop Nick Jonas hadir dengan dua gelang dan cincin yang bernilai berjuta-juta. Akan tetapi, tumpuan utama ialah pada choker Bvlgari miliknya. Barang kemas menakjubkan ini mengandungi berlian dan nilam biru dengan pendant ruby di tengah, serasi dengan brooch emas suaminya. Perhiasan ini menambah sentuhan yang berkelas dan serasi kepada penampilan Priyanka.
#6 Isha Ambani
Isha Ambani, kembar kepada Anant Ambani muncul di perkahwinan itu dengan penuh elegan. Isha kelihatan anggun dengan koleksi Garden of Love rekaan Kantilal Chhotalal. Kembar kepada pengantin lelaki ini dihiasi barang kemas berlian berwarna merah jambu, biru, hijau, dan jingga yang tersusun di atas dasar berlian portrait-cut. Bunga ditengah menampilkan berlian biru berbentuk hati, menciptakan simfoni cahaya dan warna.
#7 Suhana Khan
Pelakon dan anak perempuan kepada pelakon Bollywood terkenal Shah Rukh Khan, datang ke majlis perkahwinan Ambani bersama kedua ibu bapanya. Suhana mengenakan barang kemas yang direka oleh Mahesh Notandas. Perhiasan itu dipadankan dengan busana rekaan Mayyur Girotra yang mengambil masa 90 hari untuk disiapkan. Choker berona hijau muda dan merah jambu muda itu membuatkan gayanya kelihatan lebih lembut dan elegan.
#8 Khloe Kardashian
Lagi seorang adik beradik Kardashian juga membuat kemunculan di upacara majlis perkahwinan Ambani. Khloe yang berpakaian tradisional India berona putih dihiasi barang kemas lebih daripada 150 karat berlian Lorraine Schwartz, termasuk dua rantai yang memukau. Kedua-dua adik-beradik Kardashian itu juga dihiasi anting-anting berbentuk pir yang salah satunya seberat 9 karat dan selebihnya 20 karat.
#9 Deepika Padukone
Deepika Padukone memukau dengan salwar kameez merah kustom Zardozi Torani, akan tetapi, choker beliau yang benar-benar mencuri perhatian. Perhiasan unik yang asalnya bazuband dari Empayar Sikh ini telah diubahsuai sebagai rantai leher. Dihiasi dengan sapphire putih dan spinel besar, hiasan tengahannya menyerupai Timur Ruby, yang dulunya merupakan sebahagian dari koleksi Maharaja Ranjit Singh. Barang antik yang diperoleh dari Chand Begum ini mempunyai kepentingan sejarah yang besar dan menambah sentuhan megah kepada pakaian Deepika.
#10 Radhika Merchant
Figura utama pada majlis ini, Radhika Merchant yang merupakan pengantin wanita menghiasi dirinya pada hari perkahwinannya dengan rantai leher yang diwarisi dari garis keturunan ibunya. Choker ini pernah menghias leher nenek, ibu, dan kakaknya semasa perkahwinan mereka dan kini, Radhika juga. Perhiasan ini menampilkan permata zamrud dan rantaian polki, menyatukan keanggunan rani haar dengan kehalusan kalung satlada. Warisan ini tidak hanya menambah nilai sentimental tetapi juga menunjukkan kerajinan yang halus.