Scha Alyahya: Kebahagiaan Menjadi Ibu
Jelas selepas bergelar ibu, scha alyahya lebih menumpukan perhatian kepada anak-anak. Kerana enggan terlepas detik penting bersama mereka, dia berhenti seketika dari dunia berlakon.
pengarang fesyen JOHAN KASSIM pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar CHUAN LOOI/ YIPIEYAYA STUDIO solekan KHIR KHALID dandanan CKAY LIAW teks MARINI MAT ZAIN busana & aksesori GUCCI MUSIM BUNGA/PANAS 2024
Detik paling terindah adalah mendengar suara sang suami mengazankan anak sebelum bayi mereka diletak dalam pelukannya. Kemudian mendengar pula tangisan si anak sebuah perasaan terindah menyelubungi diri. Ketika itu rasa tidak percaya dia kini bergelar seorang ibu. Melahirkan zuriat adalah saat paling tidak mungkin dilupakan.
Kali pertama bergelar ibu, sangat mencabar kerana bersama Lara Alana semuanya pengalaman baharu. Apabila hadir anak kedua, Lyla Amina, keadaan lebih mudah kerana asas sebagai ibu sudah ada. Begitupun, anak-anak punya peribadi berbeza yang menjadikan dia sebagai ibu perlu melarasan cara membesarkan mereka.
“Kami menjaga dua anak yang punya karakter berbeza. Dua gabungan personaliti itu perlukan kendalian yang tak sama. Malahan peningkatan usia anak-anak juga perlukan cara didikan berbeza pula. Perubahan fasa di dalam kehidupan perlu diambil kira. Bagaimana mendidik mereka ketika bayi, kanak-kanak, remaja dan menjadi seorang dewasa yang berwawasan,” terang Scha Alyahya.
Menurut Scha, dia kini bersedia untuk berdepan dengan fasa mereka meningkat remaja yang semestinya menempuh era memberontak di dalam diri. Akan ada pula saat mereka mula mengenal cinta monyet dan memilih jalan hidup sendiri. Pengalaman dengan anak sulung, peribadi Lara sangat berbeza kerana semakin membesar, dia jadi semakin pendiam dan pemalu.
“Lara banya diberi pendedahan bertemu ramai orang. Tetapi sekarang dia jadi pendiam dan pemalu. Kami menukar cara pendekatan untuk membaca perasaan Lara.”
Ada Masa Scha Menangis…
Menjadi ibu kali pertama, juga buat kali kedua adalah ibarat pertempuran yang tiada pengakhiran. Terutama membesarkan anak-anak di dalam dunia media sosial. Scha sentiasa merasakan dirinya dihakimi netizen. Sementelah, kelahiran Lara jadi sensasi dan dia menjadi tumpuan khalayak. Ketika itu, Lara Alana punya ramai pengikut di media sosial.
Pada peringkat awal, kami menerima banyak kritikan. Scha Alyahya mahupun suami, Awal Ashaari bersikap terbuka menerima teguran orang ramai di dalam mereka membesarkan anak. Namun, ada juga komen-komen menyentuh hati yang membuatkan Scha tertekan. Dia jadi sering menangis.
“Bukan semua hal kita akan dedahkan kepada umum. Dahulu Awal sangat ‘protective’. Namun, kini kami pekakkan telinga dan kurang membaca komen. Orang berkata apa yang mereka lihat sahaja.”
Sedikit paparan di media sosial, netizen sudah menghukum. Padahal, Scha tidak mendedahkan selebihnya, kerana menganggapnya terlalu peribadi. Ada yang boleh dikongsi, ada yang tidak perlu. Terutama kehidupan sehariannya sebagai isteri dan ibu di rumah. Walhal, Scha juga melakukan kerja-kerja rumah seperti mop lantai, jemur kain, mandikan anak-anak, tidurkan mereka, berdendang untuk Lyla saat dia tidur.
“Sesibuk mana pun, saya sendiri akan siapkan buku sekolah mereka. Saya juga memeriksa kerja rumah mereka. Saya sama sahaja seperti ibu-ibu lain di luar sana,” terang Scha lagi.
Apa yang membezakan Scha berbanding ibu-ibu lain adalah kerana dia seorang pempengaruh yang memulakan kerjaya sebagai pelakon tersohor Malaysia. Paling tertekan adalah dia perlu serba-serbi sempurna. Mujur dia sudah berjaya mengatasi fasa tersebut. “Paling penting jangan depani tekanan sendirian. Berkongsilah dengan pasangan masing-masing. Anda suami isteri akan saling mendokong dan membesar bersama-sama anak-anak.”
Sekiranya anda perlu waktu untuk sendiri, beritahu pasangan untuk sebuah pengertian. Lumrah manusia, hidup pasti ada cabaran tersendiri. Sepertinya Scha menghilangkan tekanan ketika berada di gimnasium. Dia melakukan senaman bukan untuk cantik tetapi melepaskan tekanan. Setelah berpeluh, Scha berasa lebih kuat dan gembira.
Bukan semua ibu-ibu berminat untuk ke gim, tetapi carilah ruang melepaskan lelah anda. Mungkin dengan membaca buku. Menurut Scha, dia gemar membaca buku biografi, keibubapaan dan banyak lagi. Masih banyak perlu dia pelajari untuk menjadi ibu yang sesempurna mungkin.
Bergelar seorang ibu, magisnya sungguh luar biasa. Seorang ibu mampu melakukan semua hal yang tak terjangkakan. Malah anda merasakan seperti tidak mampu melakukannya selama ini. Kalau dahulu tidak pandai masak, sekarang anda mampu menyediakan menu untuk sekeluarga. Apa lagi kemahiran membesarkan anak-anak, nikmat jadi ibu yang tidak terbilang.
“Kedengaran klise, bukan. Namun itulah kenyataan. Anak adalah cerminan diri. Melihat mereka ketawa gembira, satu pencapaian buat kita. Kemudian muncul pula rasa risau.Takut apa nak jadi. Kira rasa kita mampu melakukan apa sahaja. Sebaliknya menjadi ibu bapa adalah perjalanan yang tiada perhentian. Perasaan penuh keraguan tetapi memuaskan hati.”
Dokongan keluarga masing-masing paling penting. Komunikasi suami isteri juga perlu lebih baik. Jadual kerja mereka atur agar anak-anak tidak terabai. Setiap minggu mereka akan membandingkan jadual kerja masing-masing…
Baca lanjut kisah Scha Alyahya dengan mendapatkan majalah GLAM Mac 2024 Edisi Istimewa Collector’s Issue atau langgan secara online di sini.