Speedcat Serta Apa Lagi Gaya Berani Rosé?
Rosé melancarkan koleksi pertamanya dengan PUMA dan memperkenalkan Metallic Speedcat yang bersifat futuristik.
Apabila Rosé diumumkan sebagai wajah global PUMA pada 2024, dunia fesyen sudah menjangka kolaborasi yang sarat dengan personaliti dan gaya fesyen-forward. Musim ini, penyanyi Blackpink itu bukan sekadar menjadi duta, tetapi mencipta sejarah dengan melancarkan koleksi penuh pertamanya, PUMA x ROSÉ. Selepas itu, disusuli dengan siluet baharu yang penuh keberanian dengan pelancaran Metallic Speedcat.

Koleksi A Rose for a Rose dilihat sebagai tribute peribadi Rosé kepada gaya dan identitinya. Ia hadir dalam palet monokromatik dengan oversized basics yang dipadankan rekaan feminin serta tailored sportswear. Dari Oversized Track Jacket, Relaxed Track Pants, hingga Mesh Top dengan grafik “ROSIE”, setiap helaian menampilkan keberanian yang lembut, sebuah “quiet rebellion” yang meraikan ekspresi jujur dan keyakinan harian. Visual kempen pula berlatarkan landskap hijau, menangkap aura puitis Rosé yang penuh nostalgia dan ekspresi tanpa batasan.

Namun, tunjang utama sebenar ialah reinterpretasi Rosé terhadap PUMA Speedcat, siluet ikonik berinspirasikan dunia perlumbaan. Koleksi perdananya memperkenalkan dua versi baharu yakni Speedcat Ballet dengan reben diinspirasikan pointe shoes, dan Speedcat OG Premium dengan perincian tali dramatik yang melingkari bahagian atas. Kedua-duanya menggabungkan karakter feminin, gaya urban dan warisan motorsport dalam satu rekaan yang berkarakter.

Tidak lama selepas itu, Rosé kembali menggegarkan pentas fesyen dengan memperkenalkan Metallic Speedcat. Kali ini, siluet aerodinamik Speedcat dihidupkan dalam kemasan krom berkilat yang bold, mencerminkan keyakinan dan sikap unapologetic. Di set kempen berlatar ban tayar dan logam berputar, Metallic Speedcat mencipta kontras dramatik. Satu simbol bahawa gaya bukan sahaja untuk dipakai, tetapi untuk dilihat sebelum ia lenyap di ufuk hadapan.

Koleksi penuh dan evolusi Speedcat yang kian berani, PUMA x ROSÉ muncul sebagai pertembungan antara feminiti dan futurisme. Setiap gaya bagaikan cetusan peribadi Rosé diantara lembut namun lantang, intim tetapi penuh daya. Sama ada jaket oversized yang membaluti tubuh atau sneakers krom yang memantulkan cahaya, koleksi ini mengundang kita untuk meraikan gaya sebagai satu bentuk kebebasan.
Artikel Berkaitan: Ragam Fesyen Rosé, Relaks Tapi Penuh Stail
Aizat Aidid
Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.

