Prada A Winter’s Tale Menghidupkan Magis Musim Dingin - Glam Malaysia

Prada A Winter’s Tale Menghidupkan Magis Musim Dingin

Kempen A Winter’s Tale oleh Prada mengalunkan kisah tentang perjalanan, kehangatan dan keindahan musim dingin yang menyatu dalam sentuhan sinematik penuh emosi dan kemanusiaan.

Dalam panorama musim dingin yang diselubungi keindahan salji, label mewah Prada mempersembahkan kempen Holiday 2025 berjudul A Winter’s Tale, sebuah kisah visual yang menyentuh hati dan mencerminkan magis perayaan dengan gaya sinematik yang menjadi identiti rumah fesyen Itali ini. Dirakam oleh pengarah dan jurugambar tersohor Glen Luchford, kempen ini tampil sebagai visual puitis tentang perjalanan, kenangan dan erti pulang ke asal.

Sinematik Musim Dingin Yang Memikat Jiwa

Menelusuri hutan putih yang berkilau bagaikan kristal, A Winter’s Tale menggambarkan satu perjalanan penuh simbolik yang membawa penonton menuju semula kepada diri, keluarga dan memori yang pernah menghidupkan jiwa. Membarisi kempen ini ialah Maya Hawke, Damson Idris, Louis Partridge, Letitia Wright dan Li Xian, lima figura muda yang mewakili generasi kreatif global dengan semangat universal, bebas, berani dan tulus dalam ekspresi diri. Dalam setiap adegan, mereka menjelma sebagai sahabat seperjalanan yang berkongsi kehangatan dalam dingin musim, menghidupkan makna persahabatan sebagai bentuk cinta yang paling jujur.

See also
‘CALVINS OR NOTHING’, Taruhan Wajah Baru, Maya Hawke & Romelu Lukaku

Glen Luchford membawa nuansa sinematik dengan estetika khas Prada yang lembut namun dramatik, klasik namun kontemporari. Setiap bingkai memancarkan cahaya perak yang menyentuh salji, bayang-bayang yang bergerak perlahan di bawah langit biru kelam lalu menghidupkan dunia Prada sebagai ruang antara realiti dan fantasi. Kereta yang meluncur di jalan bersalji menjadi simbol pengembaraan pulang, satu perjalanan fizikal dan juga metafora tentang jiwa yang mencari makna.

Kempen ini menegaskan bahawa musim perayaan bukan tentang hadiah dan pertemuan semata tetapi tentang keindahan berkongsi momen dan menghidupkan semula rasa keakraban. Dalam versi filem pendeknya, dunia nyata berubah menjadi magis apabila hutan malam diterangi cahaya, melambangkan harapan dan keajaiban kecil yang hanya muncul apabila hati terbuka.

A Winter’s Tale menjadi refleksi tentang nilai kemanusiaan yang disulam bersama estetika Prada. Ia merakam detik ketika fesyen berbicara tentang rasa, kenangan dan perjalanan pulang yang abadi. Dalam dunia Prada, keanggunan dilihat, dirasai, diingati dan dihidupkan semula dengan setiap helaian yang menyentuh jiwa.

See also
GLAM Memilih Enam Beg Hangat Ilham Prada Re-Nylon

Artikel berkaitan: Beg Prada Dada Bentuk Gaya Sofistikated Wanita Moden Musim Kini

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.