Penata Gaya Paling Berpengaruh 2015
Disebalik momen indah selebriti di hamparan merah, berdiri seorang penata gaya yang bertungkus-lumus menghasilkan gaya bagi mencipta fantasi itu. Senarai terbaru penata gaya paling berpengaruh bagi tahun 2015 oleh The Hollywood Reporter telah disiarkan dan GLAM himpun lima yang terhebat!
1. Petra Flannery
Gambar: The Hollywood Reporter
Bekas ejen Elite Model yang berasal dari San Francisco ini menduduki tangga teratas tahun ini. Gemar mengambil risiko dalam soal penataan gaya namun masih mengekalkan keanggunan dengan sedikit elemen kejutan seperti yang digayakan kliennya Emma Stone di Golden Globe Awards baru-baru ini. Padanan jumpsuit Lanvin dengan leretan reben besar di belakang yang digayakan Emma ternyata mencuri perhatian dan seterusnya melayakkan aktres tersebut tersenarai dalam senarai best dressed. Jelas Petra, “Saya mencuba sebaik mungkin untuk membezakan klien saya dengan menumpukan perhatian terhadap pesona fesyen mereka.” Tidak hairanlah selebriti di bawah penataannya muncul dengan gaya tersendiri antaranya Gwen Stefani, Amy Adams dan Zoe Saldana.
Gambar: Arkib
2. Leslie Fremar
Gambar: The Hollywood Reporter
Gaya klasik elegan hamparan merah Julianne Moore dan Reese Witherspoon di awards season yang lalu merupakan hasil penataan Leslie Fremar. Busana perak Givenchy dengan leretan bulu ombre serta gaun putih Chanel dipakai Julianne Moore masing-masing menjadi momen penting hamparan merah. Kata Leslie, “Ramai tidak tahu akan usaha keras yang dilakukan untuk menata gaya Oscar atau majlis anugerah yang lain. Namun gaya yang dihasilkan akhirnya memberi kepuasan.” Dilahirkan di Kanada, Leslie sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu peribadi Anna Wintour.
Gambar: Arkib
3. Karla Welch & Kemal Harris
Gambar: The Hollywood Reporter
Walau bekerjasama sebagai satu pasukan, penata gaya duo ini menata gaya secara berasingan. Karla Welch bertanggungjawab dalam menghasilkan gaya buat calon Oscar, Felicity Jones. Dari persalinan Balenciaga hingga Dior, gaya aktres itu adalah yang paling dinantikan sewaktu musim anugerah lalu. Ujar Karla, “Felicity went against the obvious, kami mencipta gaya keanggunan tanpa mengikut trend.” Kemal Harris pula menjadi pereka kostum untuk Robin Wright dan Claire Underwood dalam drama rantaian House of Cards musim ketiga selain turut menata gaya Robin di hamparan merah.
Gambar: TPGVIP
4. Kate Young
Gambar: The Hollywood Reporter
Imej baru fesyen darling Sienna Miller yang lebih elegan dan glamor menjadi buah mulut kelompok fesyen, semuanya hasil penataan Kate Young. Pelakon meningkat naik, Dakota Johnson, Michelle Williams dan Selena Gomez antara yang mendapatkan khidmatnya. Dia juga bertanggungjawab dalam menghasilkan gaya Natalie Portman dalam filem pendek terbaru Miss Dior. Mengenai inspirasi dalam penataan gaya, jelas Kate ianya diambil dari filem serta koleksi gambar hasil simpanannya tahun lalu.
Gambar: Arkib
5. Ilaria Urbinati
Gambar: The Hollywood Reporter
Selain menata gaya untuk majalah lelaki, Ilaria Urbinati menjadi pilihan utama aktor untuk menata gaya mereka antaranya Bradley Cooper, Chris Evans, James Marsden dan Theo James. Namun momen hebat yang mengubah permainan fesyen adalah sewaktu aktres Lizzy Caplan melangkah ke hamparan merah Emmy dalam persalinan hitam putih Donna Karan Atelier. Ianya seakan magik dan nama Lizzy Caplan terus diangkat sebagai ikon fesyen yang harus diberi perhatian. Shailene Woodley, Laura Dern dan Nina Dobrev antara selebriti yang mendapatkan khidmatnya.
Gambar: TPGVIP