Pementasan koleksi musim luruh 2016 Alexander McQueen. Gambar: TPGVIP
Setelah 15 tahun mementaskan koleksi mereka di Paris, rumah fesyen Alexander McQueen akhirnya kembali ke tanah air London bagi mementaskan koleksi musim luruh 2016. Keputusan disebalik perubahan tersebut adalah kerana Sarah Burton, Pengarah Kreatif jenama itu sedang sarat hamil dan dijadual bakal melahirkan anak dalam tempoh terdekat.
Pementasan koleksi musim luruh 2016 Alexander McQueen semestinya mengembalikan nostalgia label itu di London. Mengambil lokasi di Royal Horticultural Hall, Westminster, ianya merupakan tempat di mana terjalinnya kerjasama pertama Burton di pentas label itu 20 tahun lalu.
Menurut Burton, koleksi musim ini diilhamkan dari peredaran antara beradu dan mimpi, meneroka alam fantasi dan juga mimpi ngeri. Hasilnya, sebuah koleksi cukup dreamy seakan membawa wanita ke dunia khayalan dengan perincian indah serta bulu mewah juga rama-rama yang menghinggapi kot kulit serta baju sejuk.