Warisan 130 Tahun Monogram Louis Vuitton Berevolusi
Louis Vuitton Monogram Anniversary Collection

Meraikan Seni Monogram Louis Vuitton Ke-130 Tahun

Monogram Louis Vuitton menyambut 130 tahun sebagai simbol warisan dan seni dalam dunia fesyen mewah menerusi Monogram Anniversary Collection.

Bagi wanita yang memahami makna kemewahan sebenar, Monogram Louis Vuitton lebih dari cerita tentang corak semata-mata. Ia adalah visual warisan, ketelitian dan kekuatan feminin yang merentasi masa. Tahun 2026 menandakan ulang tahun ke-130 Monogram Louis Vuitton, satu detik bersejarah yang diraikan bukan dengan nostalgia kosong, tetapi melalui visi masa depan yang kekal anggun dan relevan.

Monogram Louis Vuitton dicipta pada tahun 1896 oleh Georges Vuitton sebagai penghormatan kepada pengasas Maison ini, Louis Vuitton. Pada asalnya, ia lahir daripada keperluan praktikal yakni melindungi keaslian rekaan daripada peniruan. Namun gabungan huruf LV dengan motif bunga berinspirasikan Neo-Gothic dan pengaruh Japonisme akhirnya melangkaui fungsi asalnya, lalu menjadi kod universal kemewahan global. Bagi wanita moden, Monogram membawa makna yang lebih mendalam. Ia simbol keyakinan diri yang berkelas dan tidak memerlukan approbal daripada orang lain.

See also
Kaca Mata Kegilaan Selebriti Kini!

Selama 130 tahun, Monogram Louis Vuitton menjadi saksi kepada perubahan landskap fesyen dan budaya. Ia terus ditafsir semula oleh pengarah kreatif yang membentuk era masing-masing. Daripada sensualiti Marc Jacobs, struktur futuristik Nicolas Ghesquière, hingga ekspresi kontemporari yang berani di bawah Virgil Abloh dan kini Pharrell Williams. Louis Vuitton juga membuka ruang kolaborasi bersama artis seni dunia seperti Takashi Murakami, Yayoi Kusama dan Richard Prince. Di tangan mereka, Monogram sentiasa diberi nafas baharu. Tidak pernah statik, sebaliknya terus berevolusi seperti wanita yang menggayakannya.

Poster ilustrasi pada tahun 1907 buat koleksi bagasi dan beg Louis Vuitton

Pembukaan sambutan ulang tahun pada Januari 2026 memberi penghormatan kepada beg-beg Monogram paling ikonik: Speedy, Keepall, Noé, Alma dan Neverfull. Setiap rekaan bukan hanya aksesori, tetapi saksi kepada perjalanan hidup yang penuh gemilang. Speedy melambangkan kebebasan bergerak, Noé meraikan semangat ceria, Alma memancarkan keanggunan seni bina Paris, manakala Neverfull kekal sebagai simbol wanita moden yang dinamik, berdaya dan sentiasa bergerak ke hadapan.

See also
Transisi 4 Bintang K-Drama Dari Pentas Peragaan Ke Kaca Televisyen

Louis Vuitton Monogram Anniversary Collection

Koleksi Ulang Tahun Yang Eksklusif

Sebagai kemuncak sambutan, Louis Vuitton memperkenalkan Monogram Anniversary Collection, sebuah interpretasi kontemporari terhadap kod warisan rumah fesyen ini. Monogram Origine Collection mengimbau kembali rekaan asal 1896, dihidupkan semula menerusi fabrik linen dan kapas dalam rona pastel lembut, mencipta nostalgia yang halus dan romantik. Koleksi ini diinspirasikan daripada kulit hadapan buku daftar klien arkib Maison, lalu diterjemahkan semula sebagai penghormatan halus terhadap sejarah eksklusifnya.

VVN Collection ialah sebuah penghormatan kepada legasi barangan kulit Louis Vuitton. Diperbuat daripada kulit lembu asli pilihan, koleksi ini menonjolkan keaslian, kemurnian dan keindahan sentuhan kulit yang disiapkan secara teliti, dengan setiap helaian membentuk patina unik seiring perjalanan masa.

Time Trunk Collection menghubungkan masa lalu dan masa kini menerusi cetakan trompe-l’œil yang berani, berinspirasi pada tekstur serta perincian logam trunk ikonik Louis Vuitton, lalu mengangkat warisan rumah fesyen ini menjadi ilusi seni yang penuh karakter.

Artikel Berkaitan: 10 Gaya Terbaik Selebriti Di Critics Choice Awards 2026

See also
Tribute Virginie Viard Untuk Coco Chanel

Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.