Koleksi RUYA Untuk Rumah Terbuka Sepanjang Syawal
Musim Raya kali ini bukan sekadar tentang baju kurung tradisional atau kebaya moden—ada satu gaya baru yang bakal mencuri perhatian dan memberi nafas segar kepada gaya sambutan Aidilfitri anda! Jenama resort wear terkenal, RUYA, yang diasaskan oleh ikon gaya tempatan Alyssa Mazlan, telah bekerjasama dengan studio reka bentuk eksklusif, Island & Republik, untuk memperkenalkan koleksi istimewa mereka: The Cabana Life.
Koleksi ini bukan sebarang koleksi. Ia merangkumi semangat perayaan yang santai, elegan, dan penuh kebebasan—menggabungkan gaya resort tropika dengan keanggunan musim perayaan. Daripada gaun longgar yang beralun lembut, seluar palazzo yang relaks, hingga skirt dan set padanan versatil, setiap helaian dalam koleksi ini direka untuk digayakan dengan mudah, sama ada anda bersantai di rumah bersama keluarga atau bercuti ke destinasi mewah.
Bukan itu sahaja, The Cabana Life turut melengkapkan gaya Raya anda dengan pelengkap bergaya seperti skarf eksklusif, beg tote, napkin bercorak, dan alas meja yang chic—membawa tema resort ini ke ruang kediaman anda, menjadikan suasana lebih indah dan estetik.
Menurut Alyssa, “Bagi saya, Raya adalah tentang keluarga dan keselesaan. Sebab itu koleksi ini dicipta untuk membolehkan anda bergerak bebas, selesa tetapi tetap bergaya—terutamanya bagi ibu moden yang mahukan keseimbangan antara fungsi dan fesyen.”
Disemai dengan DNA RUYA yang memadukan artistik dan keselesaan, koleksi ini memberi peluang kepada pemakainya untuk mencipta suasana Raya yang berbeza—dengan sentuhan petang yang tenang, percutian bawah sinaran matahari dan momen penuh makna yang bebas dari kekangan tradisi.
Jadi, kalau anda mahukan gaya Raya yang santai tapi tetap eksklusif, koleksi The Cabana Life ini adalah jawapan anda. Tak kisah sama ada anda menyambut Raya di kota, di desa atau di tepi pantai—pastikan anda alami sendiri keanggunan resort ala RUYA.
ARTIKEL BERKAITAN: GLAM It Girl: Nina Amin