Koleksi Coach Spring 26 Menyulam Identiti Dengan Naratif Moden - Glam Malaysia

Koleksi Coach Spring 26 Menyulam Identiti Dengan Naratif Moden

Koleksi Coach Spring 26 menandakan evolusi jenama ini ke arah lebih matang dan puitis, merayakan keseimbangan antara nostalgia New York, keaslian rekaan serta aksesori ikonik yang dihidupkan semula ke dalam bahasa yang lebih moden.

Dalam lebih sedekad bersama Stuart Vevers, Coach telah melalui transformasi penuh warna, daripada tas tangan ikonik hingga permainan fesyen yang memikat generasi Gen Z era kini. Namun, koleksi Musim Panas 2026 di Minggu Fesyen New York membuka lembaran yang sedikit berbeza. Jika sebelum ini DNA Coach sering dicorakkan oleh sentuhan grunge remaja, elemen playfulness dan aksesori penuh keberanian, kali ini ia hadir lebih matang, lebih halus, namun tetap tidak meninggalkan jiwa mudanya. Koleksi baharu ini bukan sekadar kesinambungan, tetapi refleksi tentang bagaimana sesuatu yang telah hidup boleh dirayakan sebagai sesuatu yang berharga. Sesuatu yang masih mempunyai ruang untuk bercerita semula dalam konteks yang baharu. Ia menandakan sebuah evolusi yang lebih mendalam, seolah-olah jenama ini kini memasuki fasa yang menyeimbangkan keremajaan dengan kematangan.

See also
Serlahkan Ekspresi Diri

Koleksi Musim Panas Yang Lebih Segar Dengan Suntikan DNA Coach

Inspirasi Vevers berpaut pada nadi kota New York, sebuah bandar yang teguh tetapi penuh harapan. Ia hadir dengan konsep ‘patina of time’, lapisan cerita yang terbina daripada momen kecil seperti kad bermain di longkang, pelekat rawak di tiang lampu atau buku lusuh di beranda rumah. Naratif itu diterjemahkan ke dalam siluet fesyen yang bermula dengan potongan kemas di bahagian atas, kemudian mengalir menjadi sesuatu yang panjang, beralun dan seakan fantasi. Sepanjang pertunjukan yang diiringi melodi klasik Elton John, para model melangkah dalam jaket denim kecil, skirt plaid separa labuh, vest kulit putih dan helaian suede berona emas yang menyuntik rasa mewah namun tampil minimalis. Koleksi ini seolah-olah menyampaikan bahawa keindahan sebenar terletak pada keseimbangan antara kesederhanaan dan keberanian untuk bereksperimen. Menjadikan setiap helaian yang dipersembahkan sebagai simbol perjalanan dan kenangan yang terus hidup.

Seperti selalu, kekuatan label Coach tertumpu pada aksesorinya. Vevers bijak menolak norma dengan memperkenalkan ‘wallet-as-necklace’, dompet kecil yang digantung di leher, dipadankan bersama clutches dan duffels dengan ruang dan saiz yang cukup untuk digenggam rapi. Bukan sekadar tas tangan tetapi sebuah cerita yang bergerak bersama pemiliknya, seolah-olah menjadi catatan peribadi yang sentiasa dibawa ke mana sahaja. Malah, perincian kecil seperti buku mini dijadikan anting-anting atau charms pada beg, lantas membuktikan Coach sentiasa memahami obsesi generasi baharu terhadap menghias. Segala-galanya terasa segar namun masih bersulam nostalgia, terutama dengan kemunculan semula kisslock hardware yang menjadi lambang pertemuan antara warisan dan nada kontemporari yang dihidupkan kembali dalam bahasa moden penuh yakin. Aksesori di pentas kali ini tidak hanya melengkapkan gaya, tetapi berfungsi sebagai pelengkap dan sorotan yang menyatukan seluruh koleksi.

See also
GLAM 101: Fesyen Aktif

Apa yang menjadikan koleksi ini istimewa bukan sahaja estetika tetapi juga falsafah yang dibawanya. Vevers menekankan bahawa pentingnya keaslian dalam membawa setiap helaian ke bentuk paling murni, “seperti dilihat dalam cahaya pagi yang paling jernih.” ujarnya di laman sosial Instagram. Dari situlah lahirnya optimisme, dalam dunia fesyen yang pantas bergerak. Coach musim ini menegaskan dirinya sebagai jenama yang mampu bernafas panjang serta berakar dalam sejarah Amerika, berdenyut di jalanan New York dan tetap relevan di pentas global. Seperti poskad lama yang masih menyimpan janji, Coach hadir untuk menjadi permulaan kepada penceritaan baharu bagi sesiapa sahaja yang berani mengimpikannya. Koleksi Coach Spring 26 ini akhirnya menjadi lebih daripada sebuah persembahan fesyen, ia adalah kenyataan bahawa setiap helaian, setiap beg, dan setiap perincian kecil boleh menjadi memori yang menunggu untuk ditulis semula.

Artikel berkaitan: “Not Just For Walking”, Kempen Pelancaran Kasut Soho Coach Terbaharu

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.