Jennie Sertai Dua Lipa Sebagai Duta Beg Chanel 25
Duta global label mewah Chanel, Jennie BLACKPINK kini diumumkan sebagai wajah hadapan buat kempen beg Chanel 25 mengikuti jejak langkah Dua Lipa.
Selepas diperlihatkan Dua Lipa sebagai muka depan kempen beg tangan Chanel 25 pada Januari lalu, kini Jennie Kim dari BLACKPINK pula menjadi duta terbaharu bagi kempen tersebut. Sebagai seoarang figura yang sedang berada di peringkat tinggi dalam dunia muzik pop antarabangsa, Jennie terus memperkukuh hubungannya dengan rumah fesyen sebagai duta global jenama ini sejak tahun 2017. Jennie yang mempunyai energi yang cukup mengagumkan, membawa gaya dan sinergi yang menakjubkan buat Chanel. “Beg tangan CHANEL 25 melambangkan kebebasan bergerak. Ia sesuai dengan pelbagai situasi dan gaya hidup saya dalam memberikan fleksibiliti dan keselesaan, sambil membolehkan saya mengekspresikan gaya unik saya dengan cara yang berbeza,” ujar Jennie.
Keunggulan Jennie Kim & Beg Chanel 25
Dirakam oleh Gordon Von Steiner, kempen ini menghadirkan Jennie di dalam sebuah filem yang turut sama diarah bagi kempen video pertama Chanel 25 bersama Dua Lipa. Dalam filem ini, Jennie diperlihatkan bergerak mengikut rentaknya ketika sibuk berjalan di Manhattan, diiringi dengan lagu “She Drives Me Crazy” oleh Fine Young Cannibals. Kempen ini adalah sebuah perayaan kepada pergerakan, spontaniti serta ekspresi diri. Bersama-sama Dua Lipa, Jennie menjadi lambang kebebasan yang diwakili oleh beg tangan ikonik ini, menyuntik semangat moden dan penuh pesona ke dalam kehidupan seharian.
Fotografi minimalis oleh David Sims pula melengkapkan visi kempen. Ia mempamerkan sepenuhnya keanggunan dan kemodenan beg tangan Chanel 25. Desainnya yang direka untuk menyertai setiap aspek kehidupan seharian, nyata menggabungkan esen stylish dan praktikal dengan fleksibiliti yang tinggi. Beg ini dilengkapi dengan perincian jahitan quilted, rantai yang disulam dengan kulit dan juga poket, lantas menafsirkan semula kod ikonik rumah fesyen itu. Sama ada dipadukan pada bahu atau secara digalas, item fesyen ini cukup sesuai digayakan sebagai penata harian dengan seleksi rona dan material untuk diterokai.
Artikel Berkaitan: Dua Lipa Wajah Kempen Chanel 25