Imbas Kembali Himpunan Koleksi Ikonik John Galliano - Glam Malaysia

Imbas Kembali Himpunan Koleksi Ikonik John Galliano

Bersempena ulang tahun John Galliano baru-baru ini, GLAM kongsikan himpunan koleksi ikonik maestro fesyen yang mengubah couture menjadi teater visual buat para pencinta fesyen.

Dalam dunia fesyen yang bergerak seperti kerusi muzik tanpa henti, nama John Galliano sentiasa muncul sebagai melodi paling dramatik dan paling sukar dilupakan. Dia ialah pencipta naratif visual yang melangkaui fungsi pakaian, seorang maestro yang mengubah pentas peragaan menjadi teater penuh fantasi, emosi dan sejarah. Walaupun figura dirinya masih penuh kontroversi dan perdebatan, legasinya sebagai pereka yang membentuk wajah haute couture moden tidak pernah pudar. Dengan berita pengundurannya daripada Maison Margiela selepas sedekad, kini adalah masa paling tepat untuk menoleh ke belakang dan menjejak semula karya karyanya yang telah mewarnai dunia fesyen. Berikut adalah momen momen penting yang mendefinisikan genius Galliano.

Ini 6 Koleksi Ikonik John Galliano Pilihan GLAM

1. Christian Dior Spring Summer 1994

Dalam koleksi ini, Galliano menyuntik aura Mesir purba ke dalam rumah Dior melalui kehangatan padang pasir yang diterjemahkan dalam emas berkilau, batu permata yang bertatah dan headpiece Nemes yang ikonik. Keangkuhan visualnya tidak hanya mempamerkan kemewahan tetapi membangkitkan bayangan sejarah yang dihidupkan semula dengan sentuhan dramatik. Ia adalah permulaan yang menandakan keberaniannya menyentuh budaya dengan gaya tersendiri yang subversif dan penuh simbolik.

See also
GLAM STAIL: GLAM Club!

2. Zendaya Di Met Gala 2024

Gaun yang digayakan Zendaya ialah penghormatan moden terhadap karya fotografi Madame Yevonde, dengan sulaman tangan halus yang mengalir pada potongan bias lamé seperti siren dress era tiga puluhan. Biru organza berkilauan membentuk tekstur yang hampir mitos, manakala korset duchess satin menambah naratif sensual dan dramatik. Setiap perincian, dari kumbang scarab hingga flora bacchanal, membawa gema koleksi Artisanal 2020 yang membuktikan konsistensi Galliano sebagai pencerita visual.

3. John Galliano Menswear Spring Summer 2004

Koleksi menswear ini menolak sempadan maskuliniti tradisional dengan cara yang provokatif. Barisan modelnya kelihatan seperti watak dari dunia bawah tanah, berpeluh yang ‘intense’ dan mempamerkan lebam ungu sebagai estetika, bukan kecederaan. Fabrik rendah, jaket bomber berperincian gotik dan siluet yang tidak takut mendedahkan tubuh menandakan revolusi Galliano dalam fesyen lelaki yang lebih raw, lebih teaterikal dan lebih bebas daripada konvensi.

4. Maison Margiela Artisanal Spring Summer 2024

Kembalinya Galliano ke Margiela menerusi koleksi ini dianggap sebagai salah satu pencapaian paling gemilangnya. Dari korset tegang hingga pannier yang melayang seperti bayang, semuanya dibalut dalam tulle bersulam yang muncul dan hilang dalam kabus pentas. Magis solekan Pat McGrath yang menghasilkan porcelaine retak menambah unsur dekadensi, menjadikan keseluruhan persembahan sebagai puisi gelap Paris lama yang hidup kembali dalam bentuk couture moden.

See also
Sinergi Kolaborasi Coach dan Disney

5. Maison Margiela Spring Summer 2019

Ini adalah visi Galliano terhadap Margiela yang paling dekat dengan identiti visual rumah itu pada hari ini. Topi bersaiz besar, fabrik PVC dan latex berkilau serta siluet longgar bergerak bersama pencahayaan seperti patung futuristik. Di antara kesuraman itu, muncul pula trench merah jambu gula getah dan gaun holografik yang menangkap cahaya seperti serpihan mimpi, membuktikan kepakarannya bermain dengan kontras.

6. Dior Autumn Winter 2007

Koleksi ini bagaikan dunia Marie Antoinette ciptaan semula, penuh lapisan ruffle krim, warna macaron dan perincian yang memancarkan kemewahan aristokrat Perancis. Setiap bodice tinggi dan hiasan rambut yang berkilat membawa penghormatan kepada sejarah namun tetap terasa feminin dan moden. Ia adalah Galliano pada puncaknya, menggabungkan nostalgia, dramatik dan romantisme dalam satu babak couture yang mempesona.

Artikel berkaitan : Pereka Fesyen John Galliano Meninggalkan Maison Margiela Selepas 10 Tahun

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.