How influential are the influencers?

How influential are the influencers?

T54355918_MaxThe cool girls di fesyen Michael Kors musim bunga 2015. Gambar: TPGVIP

 
OLEH: AIZAT AIDID
 
Sewaktu Memo Fesyen ini dikarang, Minggu Fesyen Kuala Lumpur masih terus berjalan dengan penuh ghairah. Ada sekumpulan yang serba hitam bagaikan fresh from pentas Rick Owens (ada yang tidak menjadi) dan di satu sudut hadapan butik Coach, Pavilion Kuala Lumpur pula kelihatan sekumpulan wanita muda sibuk dengan iPhone masing-masing (mungkin cuba untuk mendapatkan filter Instagram yang terbaik). Kemeriahan Minggu Fesyen Kuala Lumpur lebih meriah melihat masing-masing cuba untuk memuji pakaian sesama sendiri serta bual kosong bertanya khabar dengan skrip yang sama. Ada seseorang menegur saya, “Aizat, you are too simple!” Saya tidak tahu jika mahu ambil itu sebagai pujian atau saya perlu balik dan tukar baju agar sama happening dengan yang lain. Tapi tidak ambil pusing, kerana saya datang atas tiket kerja.
 
Eric Wilson melalui artikel At Fashion Week, It’s Where You Sit That Counts memberitahu yang hampir separuh tetamu pada setiap pertunjukan fesyen adalah milik media dan diikuti dengan fashion buyers, sahabat atau ahli keluarga (tidak lebih 100) serta selebriti kelas A. Namun, yang memenuhi barisan hadapan di pertunjukan fesyen Kuala Lumpur adalah mereka yang diragui kepentingannya dalam membina kerjaya setiap jenama fesyen yang dipersembahkan. Teman saya kata jangan bandingkan dengan pertunjukan antarabangsa. Tapi bukankah label fesyen lokal mahu berjaya di peringkat global? Jadi, mengapa tidak mahu memberi lebih fokus  membina kelompok barisan utama yang lebih berguna?
 
Percayalah, ini bukan rintihan saya yang mahukan kerusi yang lebih elok dalam setiap pertunjukan. Saya sebetulnya sudah lali dengan perkara ini sejak menjejakkan kaki ke dalam arena penulisan majalah. Namun, saya hanya mahu membangkitkan perkara ini kerana jika media antarabangsa lain sudah banyak kali menulis tentang kepentingan siapa yang sepatutnya memenuhi barisan hadapan pertunjukan fesyen,  mengapa organisasi lokal masih memandang enteng akan hal ini? Persoalan pokok yang sering media lokal utarakan adalah, siapakah mereka yang membarisi setiap barisan utama dan apakah kepentingan mereka dalam arena fesyen tanah air? Atau apakah usaha kami masih lagi tidak mencukupi dalam membantu membina kerjaya label tempatan?
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Oktober 2015
 
 

See also
Millennial It-Girl: Arissa Yun Khadija