Gentle Monster Perkenal Koleksi BOLD 2025
Gentle Monster sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai jenama cermin mata yang penuh dengan keberanian dan visi masa depan menerusi pelancaran BOLD Collection 2025.
Koleksi terbaharu ini tampil dengan rekaan jambatan bingkai ikonik yang diinspirasikan daripada bentuk perisai, namun diolah semula dengan sentuhan moden. Lebih menarik, ia hadir tanpa pelapik hidung tradisional, satu inovasi yang mendefinisikan semula gaya futuristik dalam dunia aksesori.
Rekaan berani & futuristik

Rekaan koleksi ini menawarkan kontras yang unik. Untuk rangka logam, lensa ringan dipadankan dengan jambatan kukuh yang direka penuh ketelitian. Sementara itu, rangka asetat pula menampilkan bentuk depan yang lebih tebal dan berani, dihiasi simbol ikonik Gentle Monster yang memberi ilusi pergerakan serta kelajuan. Setiap pasangan cermin mata dalam koleksi ini jelas menonjolkan semangat eksperimental yang menjadi DNA jenama ini.
Kempen BOLD Collection 2025 turut menampilkan figura ikonik, Tilda Swinton, yang membawakan naratif penuh dramatik dalam dunia surreal ciptaan HAUS NOWHERE di Seoul. Ruang itu diubah menjadi alam yang menjadi jambatan batas realiti dan alam maya, diiringi dengan suasana audio visual yang mengagumkan. Kehadiran Swinton memberikan elemen puitis seolah-olah sebuah persembahan seni yang meraikan keberanian, daya imaginasi, dan keterbukaan menuju era baharu.

Selain itu, pengalaman eksklusif menanti peminat di tiga bandar utama Asia: Seoul, Beijing dan Tokyo, melalui pop-up istimewa yang membawa audiens lebih dekat dengan dunia Gentle Monster.
Koleksi ini dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada 6 September 2025. Bagi penggemar fesyen yang sentiasa mencari sesuatu yang berbeza dan penuh karakter, BOLD Collection adalah simbol keberanian untuk tampil menonjol dengan gaya futuristik yang tidak biasa.

Artikel Berkaitan: 2 Rekaan Cermin Mata Eksklusif Gentle Monster Buat G-DRAGON
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

