Gaya 'Power Suit' Hailey Bieber yang Anggun dan Berani - Glam Malaysia

Gaya ‘Power Suit’ Hailey Bieber yang Anggun dan Berani

Gaya ‘Power Suit” Hailey Bieber mendapat perhatian ramai kerana new mom ini kelihatan anggun dan berani. Hailey sebagai tuan rumah kepada sebuah parti eksklusif bagi meraikan pelancaran produk terbaru jenamanya, Rhode, iaitu Barrier Butter.

Hailey Bieber

Produk ini adalah hasil inovasi baru yang bakal mengubah cara peminatnya menjaga kulit, dan tidak dapat dinafikan, pelancaran ini adalah detik penting bagi Hailey dan jenamanya.

 

Ini merupakan satu lagi langkah besar buat Hailey, terutama sekali selepas melalui tempoh yang istimewa sebagai seorang ibu. Sudah dua bulan sejak dia melahirkan anak lelakinya, Jack, pada bulan Ogos yang lalu. Namun, walaupun dalam kesibukan dunia keibuan, Hailey tidak melupakan komitmennya dalam perniagaan dan fesyen. Supermodel Claudia Schiffer turut menyertai pasukan Rhode sebagai wajah kempen untuk produk terbaru ini, dan dua minggu terakhir ini, Hailey sibuk merakam video promosi serta memuat naiknya di Instagram, memperkenalkan produk tersebut kepada dunia.

Pada malam 23 Oktober, Hailey hadir di parti pelancaran ini bersama suaminya, Justin Bieber, dan memikat perhatian semua dengan penampilannya yang anggun dan penuh keyakinan. Dia mengenakan ‘power suit’ dari Saint Laurent—sut kelabu yang sama seperti yang dipamerkan di pentas fesyen Saint Laurent S/S 2025. Apa yang membuat penampilan ini benar-benar berkesan adalah cara Hailey memadankan setiap elemen dengan sempurna: kemeja bergaris yang kemas, tali leher berwarna maroon, gelang cuff emas tebal, kasut slingback yang bergaya, dan cermin mata hitam yang memberikan sentuhan sofistikasi. Sut ini bukan sekadar pakaian, tetapi simbol keyakinan dan kuasa yang ingin diberikan Yves Saint Laurent kepada wanita!

See also
Instagram Menjadi Landasan Selebriti Meraikan Cinta Abadi Mereka

‘Power suit’ sangat popular pada tahun 1980-an, dicipta untuk memperkasakan wanita yang ingin tampil berani dan yakin. Sut dengan bahu yang berpad dan potongan garis lurus mencerminkan keinginan wanita pada masa itu untuk turut serta dalam ekonomi dan mendapat layanan setara dalam masyarakat tanpa mengira jantina. Pengenalan ‘power suit’ oleh Yves Saint Laurent dalam koleksi Le Smoking pada tahun 1960-an membuka jalan kepada revolusi fesyen ini, memperkenalkan wanita kepada tuxedo dan pakaian formal yang biasanya hanya dipakai oleh lelaki.

Hailey Bieber

Hailey Bieber

Penampilan Hailey dalam ‘power suit’ ini bukan sahaja memancarkan gaya yang sofistikated, tetapi juga memberikan mesej yang jelas tentang keyakinan diri dan keanggunan. Adakah anda akan berasa lebih yakin jika berpenampilan seperti seorang yang tegas dengan sedikit keangkuhan, bahu yang tegak, dan sebelah tangan terselip ke dalam poket seluar? Apa yang pasti, apabila ingin tampil seperti seorang ‘boss,’ Hailey dan juga bintang lain seperti Kendall Jenner sama-sama memilih sut. Sut ini bukan sahaja mengangkat imej seseorang tetapi juga mengubah cara kita berasa tentang diri kita sendiri. Kadangkala, apabila anda ingin berasa yakin, anda berpakaian dengan rapi dan minda anda turut berubah.

See also
Onitsuka Tiger Perkenal MEXICO 66™ CACTFUL™

Kini, Hailey kelihatan tidak lagi memerlukan pad bahu tebal untuk mencipta impak. Gaya dan keyakinannya sudah cukup untuk memberi inspirasi kepada semua yang hadir di parti itu. Pelancaran produk baru ini juga menandakan permulaan baru untuk Rhode, dan ramai peminat tidak sabar menantikan produk Barrier Butter yang bakal dilancarkan pada 28 Oktober. Dengan Claudia Schiffer sebagai wajah kempen dan sokongan Justin di sisinya, Hailey sekali lagi membuktikan bahawa dia mampu menguasai dunia perniagaan dan fesyen dengan penuh gaya.

 

Artikel Berkaitan: Panduan Memilih Beg Kerja Sempurna untuk Semua Jenis Tubuh