Finding The Future - Glam Malaysia

Finding The Future

Oleh: Aizat Aidid

ftf5

Coco Siew Adalah wajah baru yang diperkenalkan oleh GLAM


 
Apa yang saya gemar tentang fesyen adalah bagaimana kami sering mencari sesuatu yang baru lebih awal daripada orang lain dan menghebohkan benda baru itu melalui majalah. Setiap isu kami mahu tampilkan yang segar, agar pembaca sentiasa dikemas kini dengan bahan terhangat dunia fesyen.Saya cuba mencari bakat baru dalam dunia fesyen, baik pereka fesyen, peragawati atau personaliti yang boleh digilap menjadi wajah baru yang menjadi obsesi orang ramai. Ada yang diketengahkan walaupun masih belajar di semester akhir di universiti dek kerana punya bakat yang besar dan terus nama mekar dan disebut-sebut. Ada juga yang lupa untuk bersyukur dan hidung tinggi selepas berjaya di luar. Apa jua kami sangat berbangga bila dapat melihat bakat fesyen lokal mendapat perhatian orang ramai.
 
Ada yang bertanya bagaimana kami dapat mengagak bakat baru itu akan berjaya? Ikut sahaja kata hati dan cuba kenali setiap bakat itu. Memang untuk berjaya mengambil masa yang agak lama. Mungkin selepas bermusim menghasilkan koleksi baru mereka boleh menstabilkan nama dalam lapangan fesyen. Dunia seni kreatif ini laksana belukar indah yang mana kita perlu sentiasa teliti menyelak setiap lalang dan cari kuncup bunga yang siap sedia untuk mekar. Di sebalik lalang yang tumbuh meliar di atas padang luas itu satu hari ia nanti akan layu sendiri. Saya percaya setiap orang perlu bersandarkan pada bakat dan bukan atas tiket kedudukan yang mereka ada. Biarpun tinggi lalang menjulang ke langit tentunya bunga yang di bawah tetap harum mewangi.
 
Kemunculan jenama fesyen baru di Malaysia semakin banyak, bukan sahaja graduan fesyen malahan insan yang tidak punya latar belakang dalam seni fesyen turut berlumba memperkenalkan label mereka. Usaha fashion designer segera ini saya lihat memberikan saingan yang sengit kerana mereka bukan sahaja sudah punya nama besar malahan sehabis baik mahu mengeluarkan koleksi setanding pereka fesyen yang sudah ada nama. Namun, penting untuk mereka ini menyemat ilmu serta ambil inisiatif belajar tentang fesyen. Memang semua boleh mereka dan melakar rekaan fesyen tetapi percayalah fesyen adalah lebih daripada itu.
 
[soliloquy id="50080"]
[soliloquy slug="finding-the-future"]

See also
The Love Cloud, Victoria's Secret Fokus Pada Aspek Selesa