‘Femininities’ Untuk Kempen Miu Miu Musim Luruh/Sejuk 2025
Kempen Musim Luruh/Sejuk 2025 Miu Miu mempersembahkan mengankat esen ‘femininiti’ yang kini ditafsir kepada gaya yang kompleks dan bebas, dengan tampilan barisan wanita terkenal seperti Kylie Jenner, Towa Bird, Rila Fukushima dan ramai lagi sebagai wajah depan kempen.
Musim Luruh/Sejuk 2025 memperlihatkan jenama Miu Miu terus merungkai makna sebenar kewanitaan. Di mana, feminin bukan lagi satu stereotaip, tetapi satu ekspresi bebas yang merangkumi pelbagai identiti, karakter dan suara. Menerusi kempen terbarunya yang dibintangi oleh barisan wanita popular seperti pemuzik Towa Bird dan Lou Doillon, pelakon Myha’la, model Rila Fukushima dan Yura Romaniuk, rapper Cortisa Star serta ikon budaya pop Kylie Jenner, Miu Miu merangkul idea keaslian dan keberanian untuk menjadi diri sendiri. Berlatarbelakangkan moiré silk yang bersahaja, potret-potret ini menekankan keindahan dalam keunikan setiap individu dan kekuatan personaliti mereka.

Tafsiran Feminin Gaya Miu Miu
Rekaan dalam koleksi ini memadukan elemen maskulin dan feminin dalam siluet yang tidak disangka. Dari bra yang membentuk torso, hingga ke dress satin dan skirt berpotongan bias yang memetik inspirasi daripada pakaian dalam. Elemen sensualiti diterjemah dalam bentuk sentuhan lembut dan struktur halus. Potongan menswear dalam fabrik wool tebal yang longgar pula mengaburkan sempadan antara menyembunyikan dan menonjolkan tubuh. Bila berbicara tentang rona, pastel yang ringan memberi wajah baru kepada potongan klasik seperti item fesyen sweater polos, skirt labuh serta seluar lurus yang mendefinisikan semula keanggunan wanita.

Esen feminin digarap secara halus, menampilkan butiran termasuk tekstur lembut, kemasan berkilau Lurex dan deretan warna berani seperti merah pekat, kuning mustard dan hijau zamrud yang nyata menyerlahkan keberanian dalam gaya. Siluet yang klasik diperbaharui dengan cetakan yang lebih kontemporari dengan gabungan fabrik tidak terduga. Lantas, menjadikan ia setiap helaian tidak hanya tampil memukau, tetapi punya cerita dan jiwa. Unsur nostalgia dari era silam turut hadir dalam bentuk topi cloche, brooch klasik, stole berbulu dan sepatu runcing bersama beg Aventure ikonik serta seasonal bag yang menjadi ciptaan terbaru musim ini.

Ternyata, koleksi ini bukan sekadar satu himpunan koleksi semata-mata, tetapi satu penghormatan kepada wanita moden yang kompleks, yakin, bebas dan sentiasa dalam pencarian untuk menjadi versi terbaik dirinya. Di tangan label Miu Miu, feminin bukan lagi definisi tunggal, tetapi satu dunia yang kaya dengan interpretasi baru.

Artikel berkaitan: Kempen Miu Miu L’Eté Menyuntik Nuansa Alam Semula Jadi
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

