Debaran KLFW 2024 Hampir Menjelang Tiba! - Glam Malaysia

Debaran KLFW 2024 Hampir Menjelang Tiba!

Tiada minggu yang lebih sibuk dan menyeronokkan buat para penggiat fesyen selain Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW)! Acara minggu yang berprestij ini bakal mengambil alih di Suria KLCC sebagai destinasi untuk tahun ini.

Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) kini kian menghampiri! Bagi meraikan pencapaian edisi ke-12, KLFW bersama-sama pusat beli-belah ikonik Suria KLCC serta KLCC (Holdings) Sdn Bhd menjadi destinasi tuan rumah untuk tahun ini. Bakal berlangsung dari 29 Julai sehingga 4 Ogos 2024, acara minggu yang berprestij ini merupakan acara fesyen tahunan bagi mengetengahkan dunia fesyen tempatan. Struktur yang dibina khas berlatarkan keindahan Menara Berkembar PETRONAS dikhabarkan bakal dibina, merangkumi seluruh kawasan Esplanade, Taman KLCC. Ruang pertunjukkan fesyen khas itu lantas menjadi ikon baharu buat KLFW 2024 dan lebih 50 pereka serta jenama akan mempamerkan koleksi sedia dipakai mereka.

SEGALANYA TENTANG KLFW 2024

KLFW sekian kali menjadi platfom terbesar buat para pereka memperluaskan bakat, kreativiti, estetika dan jenama mereka. Ia menjadi ruang buat penggiat fesyen untuk memaparkan koleksi mereka yang tersendiri mengikut DNA masing-masing. Ada yang meluaskan sempadan fesyen dengan rekaan yang berani, ada juga yang kekal dengan busana yang sofistikated serta rekaan hibrid dengan suntikan elemen selesa dan anggun. Turut membuat penampilan sulung di KLFW 2024 adalah label seperti Akudesign, Corak, Ghostboy, LARNEY, SHALS dan Tact. Jenama-jenama ini dikenali sebagai jenama kegemaran generasi muda terkini yang telah bertapak kukuh dalam kalangan pengguna celik digital. 

Foto: KLFW 2023

Selain itu, jenama terkemuka seperti Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Nurita Harith dan Alia Bastamam juga bakal berkongsi pentas peragaan yang dinanti-nantikan ini. KLFW 2024 turut memberi ruang dalam satu slot baharu yang digelar “Fashion Forward Batik Malaysia’‘ menerusi jenama batik berpangkalan di Kelantan, Ruzzgahara. Ia bertujuan memberi tumpuan terhadap kehalusan seni batik Malaysia. Tambahan lagi, terdapat juga segmen yang dipacu oleh PEUGEOT 408 “Design to Sustain”, di mana ia menampilkan 15 finalis Pertandingan Pencarian Pereka KLFW 2024 beserta karya mereka. Pereka yang memenangi acara ini akan mempersembahkan jenama eponimnya pada KLFW akan datang. Mengikuti jejak langkah pemenang Pencarian Pereka KL10 2020, Uzair Shoid.

Foto: KLFW 2023

KLFW 2024 meraikan fesyen terbaik di Malaysia dengan penaja-penaja seperti KLCC, KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Kumpulan AmBank, L’Oréal Paris, Poh Kong, MOCCONA dan rakan kerjasama, PEUGEOT. Turut diberi sokongan padu daripada rakan-rakan usaha sama seperti Philips Garment Care, Magnum, Colgate, Laurier dan Skechers. Di samping itu, hotel-hotel rasmi yang terdiri daripada Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Traders Hotel Kuala Lumpur dan Impiana KLCC Hotel yang juga menjadi lokasi penting bagi pelbagai acara serta pengaktifan sehingga ke minggu peragaan. Semestinya, KLFW 2024 ini hanya menghitung hari dan debarannya tidak dapat dijangkal lagi!

See also
High Glamor: Selebriti A-List Penuhi Front Row Dior

Artikel Berkaitan: 5 Gaya Pasangan Selebriti di KLFW 2023 Pilihan GLAM