Cool Americana
Melihat legasi fesyen yang cukup segar dari tanah Amerika ini, ia cukup memberi reaksi moden dalam pemakaian orang umum. Dek kerana itu, banyak jenama besar saban tahun cuba memberikan injek fesyen moden buat revolusi gaya yang muncul dari perubahan stail. Kini jenama Amerika cukup berbangga dalam meneruskan gaya Americana yang lebih bersifat cool. Update gaya Americana yang bersifat kasual disuntik elemen fesyen mewah. Antara mereka yang tidak pernah gagal memberikan suntikan ajaib adalah Marc Jacobs yang mencipta momen penting sewaktu berkhidmat buat jenama Perry Ellis. Himpunan bersifat budaya punk dan grunge yang dilihat sebagai sub-budaya yang kurang mendapat fokus masyarakat umum diketengahkan olehnya.
Michael Kors pula dilihat sebagai pelopor dalam mendefinasikan semula gaya American sportswear yang turut menjadi asas dalam gaya segar ala Americana. Lain pula kisah di rumah fesyen Ralph Lauren yang memadukan gaya glamor buat wanitanya dan diselitkan juga ceraian asas yang selalu berpaksi pada legasi Amerika. Lantas, tidak mustahil jenama yang cukup popular di negara paling berpengaruh itu yakni Coach menjulang tinggi legasi Amerika Syarikat. Di bawah telunjuk kreatif baru, Coach memberikan suntikan Cool Americana dengan nada yang cukup moden dan sedikit playful.
Stuart Vevers yang berasal dari England dan pernah berkidmat buat jenama asal Sepanyol menjumpai ramuan paling penting untuk menaikkan lagi Coach di mata umum. Dalam diam dia menerokai Amerika Syarikat. Setiap momen dirakam dan memberi inspirasi buatnya dalam membangunkan jenama Coach sebagai satu rumah fesyen penting. Bermula koleksi pertamanya buat Coach, himpunan musim luruh 2014 memberikan ceraian berasakan outerwear. Inspirasi hadir daripada pakaian ahli bomba yang bersiluet besar. Manakala corak petak yang cukup ikonik mencetuskan gaya segar ala Americana.
Musim bunga 2015 membawa Vevers menerokai budaya orang muda Amerika. Cetusan rona pastel membangkitkan rasa yang lebih lembut buat wanita Coach. Sedikit hembusan fesyen yang popular di era 70-an diberikan kepada koleksi musim bunga ini seperti seluar bell bottom sert palitan corak kulit harimau bintang. Selain koleksi ini, Vevers berbesar hati dengan melancarkan koleksi Americana yang bermain dengan corak bandana serta rumput prairie. Palet rona merah serta hitam mendominasi koleksi ini seperti membangkitkan jiwa Americana.