Busana Prada Pilihan Sadie Sink Di Tayangan Perdana 'Stranger Things 5' - Glam Malaysia

Busana Prada Pilihan Sadie Sink Di Tayangan Perdana ‘Stranger Things 5’

Sadie Sink menyerlah sebagai bintang muda yang berevolusi daripada imej Max Mayfield kepada figura fesyen yang matang dan anggun, memilih himpunan busan dari Prada buat tayangan perdana Stranger Things musim kelima.

Salah seorang aktres daripada drama bersiri untuk Stranger Things, Sadie Sink muncul bukan sekadar sebagai pelakon muda berbakat tetapi wajah baharu yang mengisi ruang fesyen dengan aura matang dan keanggunan yang semakin berkembang saban tahun. Meskipun kemunculannya sebagai Max Mayfield, si gadis lincah, pedas kata-katanya dan sinonim dengan denim lusuh serta Walkman ikonik, hanya bermula pada musim kedua Stranger Things, kehadirannya meninggalkan kesan serta-merta. Namun, di luar set, dia membina estetika yang jauh berbeza daripada karakter yang dilakonkannya. Sejak kemunculan pertamanya di karpet merah pada tahun 2016, gaya fesyennya bergerak dalam naratif yang konsisten. Nada feminin klasik tanpa elemen twist yang memberi lapisan personaliti. Sama ada mengenakan dalam siluet dress berstruktur lembut, potongan ruffle yang dramatik atau suit yang terjahit rapi, Sadie Sink mengukuhkan dirinya sebagai figura yang memahami bagaimana fesyen boleh menjadi bahasa ekspresi yang halus namun kuat.

See also
Gucci Is Done With Fur For 2018

Prada Menjadi Pilihan Sadie Sink

Bintang muda ini membuktikan bahawa elegan tidak semestinya bergantung pada konvensi. Untuk sesi tayangan Stranger Things siri kelima di Los Angeles, dia memilih set Prada yang jauh lebih moden dan edgy. Bra berhias yang diperincikan dengan sentuhan mewah, dipadankan dengan skirt kolum yang senada. ‘No shirt, no problem’ bukan sekadar tagline, tetapi manifestasi keyakinan generasi baharu Hollywood yang tidak takut mengadun sensualiti dengan keanggunan minimalis. Penampilan ini menolak jauh imej Max Mayfield yang rugged, lalu memperlihatkan sisi Sadie Sink yang lebih matang, lebih berani dalam bermain dengan struktur dan tekstur, namun tetap berpijak pada estetikanya yang halus.

Merakamkan salah satu yang turut menjadi detik penting dalam evolusi gayanya, penampilan Sadie Sink di tayangan perdana terakhir Stranger Things 5 ternyata mencuri tumpuan. Untuk momen yang penuh simbolik itu, dia sekali lagi memilih rekaan dari Prada yang sarat sofistikasi. Gaun labuh paras lantai dengan potongan plunging cut-out yang mencipta garis tubuh penuh keyakinan tanpa menenggelamkan kesederhanaan klasiknya. Palet warnanya yang bersih dan siluet panjang yang mengalir menambah kesan dramatik yang effortless. Ia menekankan pertumbuhan Sadie Sink dari era remaja yang berbakat kepada bintang muda dengan visi estetika yang semakin matang. Gaun ini berdiri sebagai metafora, menjadi penutup bab besar dalam jelajah medianya buat siri kelima Stranger Things, namun pembukaan kepada era gaya yang lebih eksperimental, lebih berani, dan lebih tersendiri.

See also
Ayuh Tengok Penampilan Selebriti di Sukan Olimpik Paris!

Artikel berkaitan: Sorotan Fesyen Ariana Grande Di Jelajah Media ‘Wicked: For Good’

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.