Anak kepada ikon fesyen Victoria Beckham dan legenda pemain bolasepak dunia, David Beckham dipilih membintangi iklan Krismas arahan Burberry. Romeo Beckham, anak ke-2 dalam adik-beradik kepada pasangan yang terkenal ini mencuri perhatian ramai apabila muncul sebagai bintang dalam Kempen Festival Burberry.
Iklan kempen Burberry sempena Krismas ini berinspirasikan teater muzikal selama empat minit dengan berteraskan koreografi lagu tema “The Way That I Live” yang dinyanyikan oleh Ed Harcourt. Romeo Beckham tampil dalam persalinan kot trench Burberry memainkan watak sebagai Cupid cinta di kala musim dingin berlatarbelakangkan kota London.
Walaupun Romeo Beckham baru berusia 12 tahun, kempen ini sudah merupakan kempen iklan yang ke-2 buatnya di dalam Burberry. Sebelum ini Romeo muncul di dalam kempen musim panas 2013 seiring model terkenal yang lain iaitu Cara Delevigne dan Edie Campbell.