Amelia Henderson & Hael Husaini Cadangkan Trik Gaya Easy Glamour
Amelia Henderson dan Hael Husaini tampil relaks dalam stail Emporio Armani.
Sekarang ini sudah tiba era dimana kita semua mahukan gaya yang lebih ringkas. Tidak lagi mahu ceraian yang terlalu busy. Apatah lagi perincian pada baju yang tidak memberikan impak pada stail. Juga meninggalkan trend logo yang dilihat sudah lapuk. Sebab itulah Emporio Armani kekal berada pada status mereka. Kerana sejak azali, himpunan yang dipertaruhkan berselera gaya mudah. Seperti yang dipertontonkan oleh Amelia Henderson bersama Hael Husaini.
Dalam himpunan yang dipertontonkan di Minggu Fesyen Milan, Emporio Armani bermain dengan idea gaya bebas. Dimana tidak punya peraturan yang dipertaruhkan. Amelia dan Hael bebas menjadi siapa mereka yang sebenar dalam ceraian yang mudah dipadu padan. Tetapi yang menjadi asas buat jenama Itali ini adalah penggunaan material yang bagus. Maka dipertaruhkan gaya pyjamas yang dihasilkan menggunakan fabrik sutera. Baik untuk disarungkan buat orang kita dengan cuaca tropika.
Emporio Armani mahu mewujudkan satu kembara yang mudah tapi masih glamor. Padu padan trik lebih bersifat universal juga mempunyai tarikan global. Taruhan jaket ala kimono dipakai dengan seluar potongan longgar, seakan membawa dua entiti budaya dalam satu stail yang cukup eklektik. Tidak gusar untuk nampak glamor, kerana paletnya seperti ungu dan hijau boleh menarik perhatian orang ramai.