Aksesori Bridal: Kasut, Veil Dan Tiara Yang Melengkapi Look!
Aksesori bridal seperti kasut, tiara dan veil bukan sekadar pelengkap gaya, tetapi lambang keanggunan dan keyakinan yang menyempurnakan busana pada hari yang bermakna buat setiap pengantin.
Di dalam dunia fesyen perkahwinan, busana pengantin mungkin menjadi elemen utama, tetapi aksesori menjadi jiwa yang menyempurnakan keseluruhan penampilan. Tiga aksesori klasik namun penting iaitu kasut, tiara dan veil bukan sekadar melengkapi gaya, malah menjadi refleksi buat personaliti dan keanggunan seorang pengantin. Sama ada memilih untuk tampil berhijab ataupun tidak, aksesori memberi ruang untuk ekspresi yang berbeza dengan pancaran keindahan yang tersendiri.
Keanggunan Terserlah Dalam Setiap Butiran
Kasut pengantin hari ini tidak lagi bersifat tradisional semata. Untuk pengantin tidak berhijab dengan pilihan dress berpotongan tinggi atau paras buku lali, kasut tumit seperti strappy heels, stileto kristal atau kasut bertumit tajam memberi suntikan esen moden dan glamor. Pengantin berhijab pula lebih cenderung kepada rekaan bertutup yang mana, kasut tumit seperti block heels atau mule satin yang selesa namun tetap elegan di bawah helaian gaun labuh, nyata menghadirkan nada sepadan untuk digandingkan bersama. Namun begitu, tidak kira pilihan kasut mengikut cita rasa yang tersendiri, keselesaan menjadi tunjang utama dalam memberikan keyakinan pada setiap langkah ketika menuju pelamin.

Beralih kepada veil, ia adalah tampilan aksesori yang melengkapkan aura romantik seorang pengantin. Veil hadir dalam pelbagai saiz, panjang dan gaya. Daripada saiz pendek seperti shoulder-length yang sesuai untuk majlis santai, hingga lah ke veil dramatik seperti chapel atau cathedral veil yang menjurai megah untuk acara penuh formaliti. Untuk pengantin tidak berhijab, penggunaan veil boleh digayakan tinggi pada sanggul atau di mahkota, manakala pengantin berhijab boleh memadukan veil sebagai lapisan lembut di atas tudung. Material ringan seperti tulle atau chiffon adalah pilihan terbaik kerana ia memberi kesan alunan yang disemat rapi untuk tampilan yang lebih memukau. Dalam pada itu, veil turut menyingkap imej bingkai halus yang menyempurnakan naratif cinta pada tampilan hari bahagia.

Aksesori tiara pula menjadi simbol keanggunan yang tidak lapuk dek zaman. Pemilihannya boleh disesuaikan mengikut gaya busana pengantin, sama ada moden, klasik mahupun tradisional. Untuk busana moden, tiara minimalis dengan rekaan bersih dan bertatah halus memberi sentuhan elegan tanpa berlebihan. Bagi gaun kembang ala puteri, tiara tinggi atau jenis ‘crown’ mencipta keseimbangan pada siluet keseluruhan. Sementara itu, busana tradisional seperti songket pula sesuai digayakan dengan sanggul lintang bagi menggantikan tiara sebagai penyeri gaya. Apa jua konsep perkahwinan, tiara yang dipilih hadir sebagai konsep yang melengkapkan gaya, bukan menguasainya. Tidak kira bagaimana seseorang pengantin memilih untuk tampil di hari perkahwinannya, aksesori bridal adalah elemen yang cukup penting dalam menyerlahkan dirinya sebagai ratu sehari dan juga penata gaya tambahan untuk berasa yakin, anggun dan berketerampilan diri sendiri.

Artikel berkaitan: 8 trend Pengantin Cool-Girl 2025
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

