7 Jenama Dalam Gaya Ikonik Fesyen CL 2NE1
Gaya CL yang berani menjadikannya seorang ikon bukan sahaja dalam bidang muzik, malah dalam bidang fesyen juga.
Lee Chae-rin, atau lebih dikenali sebagai CL merupakan ikon fesyen dan muzik yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan Korea Selatan. Sebagai ketua kumpulan K-pop legenda 2NE1, dia telah memahat namanya bukan sahaja sebagai penyanyi dan rapper berbakat, tetapi juga sebagai figura fesyen global yang sentiasa mencuri perhatian. Gayanya yang berani, unik, dan penuh keyakinan telah menjadikannya kegemaran pereka fesyen terkemuka di seluruh dunia. Dengan campuran estetika edgy, avant-garde, dan chic, CL sentiasa mencabar norma fesyen. Dia turut mengangkat jenama-jenama terkenal melalui cara pemakaian yang ikonik. Gaya beliau sering menjadi sorotan di pentas peragaan antarabangsa dan karpet merah, menjadikan dirinya sebagai simbol fesyen yang memecah batasan budaya.
GLAM bakal mengupas tujuh jenama fesyen yang pernah menjadi pilihan CL dalam menonjolkan keunikan gaya peribadinya. Setiap jenama ini memainkan peranan penting dalam membentuk imej ikoniknya, daripada koleksi couture yang memukau hingga aksesori yang menghidupkan penampilannya yang luar biasa. Bersama-sama, jenama-jenama ini melengkapkan identitinya sebagai seorang yang tidak gentar bereksperimen dan menyampaikan cerita melalui gaya fesyen. Sama ada anda seorang peminat setianya, peminat fesyen, atau sekadar ingin mengetahui rahsia di sebalik persona glamornya, senarai ini pasti memberi inspirasi untuk meraikan keberanian dan kreativiti dalam berfesyen.
#1 Moschino
CL menggayakan busana dari Moschino bersama kot bulu yang menjadi ikonnya, berona kuning dan hitam.
Sebagai seorang pencinta jenama Moschino, CL sering kelihatan menggayakan jenama itu. CL bergaya dengan busana kulit dari Moschino ketika menghadiri pertunjukan fesyen musim bunga/panas Moschino 2015.
#2 Chanel
Sebagai seorang ikon fesyen, jenama pilihannya juga ikonik. Pada Chanel Cruise 2016, CL dengan penuh chic menggayakan busana hitam dan putih dari Chanel.
#3 Balenciaga
Balenciaga juga merupakan jenama pilihan CL. Dia seringkali dilihat menggayakan busana Balenciaga dengan gayanya tersendiri di acara jenama itu.
#4 Alexander Wang
Pakaian yang membawa erti ‘CL’ ini merupakan busana dari Alexander Wang. Dengan gaya CL yang edgy, jenama ini melengkapkan lagi gaya fesyen rapper itu.
#5 Malakai
Dalam muzik video CL, dia mengenakan head piece daripada Malakai yang menjadi sangat ikonik dalam kalangan pencinta fesyen.
#6 Marc Jacobs
Dengan penuh gaya, rapper kumpulan 2NE1 ini menggayakan busana dari Marc Jacobs ketika pertunjukan fesyen musim luruh jenama itu pada tahun 2016 di kota New York.
#7 Jean Paul Gaultier
2016 merupakan zaman kegemilangan fesyen CL. Dia sering kelihatan menghadiri pelbagai pertunjukkan fesyen dari setiap jenama ikonik. Dia turut menghadiri pertunjukan fesyen musim bunga/panas Jean Paul Gaultier pada tahun 2016.