6 Rekaan Jaket Yang Memancar Gaya Abadi - Glam Malaysia

6 Rekaan Jaket Yang Memancar Gaya Abadi

Enam rekaan jaket ini menyingkap keanggunan moden yang melangkaui masa, meraikan gaya sebagai pernyataan diri yang bebas, berani dan berkarakter.

Helaian jaket bukan sekadar pelindung daripada cuaca, tetapi perisai gaya yang membentuk karakter pemakainya. Ia menandakan peralihan musim dan suasana, lantas melambangkan keseimbangan antara keanggunan dan ketegasan. Setiap potongan membawa naratif tersendiri, dari ruang korporat hingga jalanan metropolis, pelbagai jenis jaket menjadi simbol ekspresi diri yang menonjol. Enam rekaan ini mengilhamkan tampilan gaya moden, tanpa terikat pada jantina mahupun peraturan gaya.

Ini Rekaan Jaket Yang Menyentuh Keanggunan Sepanjang Zaman

1. Jaket Kulit – Simbol Keberanian Abadi

Jaket kulit sentiasa memegang tempat istimewa dalam sejarah fesyen. Ia menggambarkan semangat bebas yang sukar dijinakkan, memberikan aura berani dan keaslian pada setiap tampilan. Sama ada digayakan dengan seluar denim lusuh atau gaun satin lembut, jaket kulit menghadirkan keseimbangan antara kekuatan dan sensualiti. Setiap pemakai memancarkan aura berani dan moden, sebagai pelengkap gaya yang tidak pernah lapuk ditelan masa.

See also
5 Sneakers Trending 2025 Untuk Anda Miliki

2. Blazer – Gaya Serba Guna Yang Mengilhamkan Keyakinan

Blazer tidak hanya dikategorikan sebagai pakaian pejabat, tetapi manifestasi keanggunan yang mudah disesuaikan dengan pelbagai suasana. Potongan yang tajam dan fabrik yang teratur memberi struktur pada tubuh, lantas mencipta siluet yang rapi dan tampak berkuasa. Sama ada digandingkan dengan seluar panjang untuk acara formal atau dipadankan dengan seluar pendek untuk makan malam santai, item fesyen blazer membawa esen bergaya yang effortless.

3. Kot Trench – Keanggunan Yang Melangkaui Musim

Tiada helaian luar yang seanggun item fesyen, kot trench. Dengan potongan panjang dan butang tersusun rapi, ia membawa elemen misteri dan keanggunan Eropah yang abadi. Setiap langkah bersama kot trench terasa seperti babak dalam filem klasik. Ia mudah dipadukan untuk pakaian kasual mahupun acara, menambahkan lapisan gaya yang tampil lembut namun berwibawa.

4. Mantel Bulu Tiruan – Sentuhan Mewah Dalam Kedinginan

Kot Bulu Faux mencipta ruang bagi kemewahan yang beretika. Teksturnya yang lembut membelai setiap gerakan, memberi nuansa glamor yang tidak dibuat-buat. Ia menambah dimensi dramatik pada gaya harian dan menjadi penyata fesyen ketika malam menjelang. Jaket ini bukan sekadar pakaian musim sejuk, tetapi lambang cita rasa tinggi yang merangkul keanggunan moden dan cukup sesuai buat penggemar gaya diva.

See also
Lima Item Fesyen Cetus Obsesi Editor Fesyen GLAM Bulan Ini!

5. Jaket Suede Bomber – Gabungan Kasual Dan Klasik

Suede bomber jacket membawa jiwa santai dalam bingkai yang bergaya. Bahan suede yang lembut memberi tekstur hangat, sementara rekaan bomber menambah unsur sportif yang segar. Ia sesuai untuk gaya jalanan atau acara malam yang tidak terlalu formal, memberi keseimbangan antara feminin dan maskulin. Warna tanah seperti coklat atau beige memperkukuh daya tarik natural yang nyata elegan.

6. Jaket Corak Tartan – Keindahan Klasik Yang Dihidupkan Semula

Corak tartan mengingatkan kita kepada warisan dan keabadian gaya British. Dalam versi moden, ia diolah semula dengan potongan ringkas dan warna berani. Jaket tartan mencipta personaliti tersendiri, sama ada dipakai bersama seluar hitam ketat atau skirt midi beralun. Setiap garis dan kotak pada fabriknya, menuturkan cerita tentang keberanian untuk menonjol dalam harmoni yang halus.

Artikel berkaitan:

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.