Rantai Mewah Pilihan GLAM Dari Koleksi Cartier En Equilibre
Aman Summer Palace di Beijing bertukar sebagai syurga Cartier dengan himpunan En Equilibre yang kedua dipersembahkan buat tatapan tetamu serantau Asia.
Dalam himpunan lebih 480 ciptaan yang dipersembahkan Cartier di Beijing, koleksi En Equilibre tampil sebagai lambang keseimbangan antara kreativiti, seni pertukangan dan keindahan batu permata. GLAM turut menjadi antara yang pertama melihat koleksi kedua buat En Equilibre. GLAM senaraikan lima rantai mempamerkan kemewahan, serta memperlihatkan kehalusan visi jenama barang kemas ini dalam merangkum warna, struktur dan cahaya.
Rantai Mewah En Equilibre Pilihan GLAM
1. Byzas

Rantai ini menjadi pernyataan Cartier tentang harmoni warna. Gabungan pear-shaped sapphire dan lapan zamrud mencipta palet biru hijau yang begitu ikonik. Keseimbangan diantara batu-batu ini disempurnakan dengan struktur terbuka dan susunan berlian geometri yang menaikkan lagi identiti artistik Cartier. Sebuah rekaan yang mengingatkan kepada ketelitian era klasik tetapi tetap terasa kontemporari.
2. Cafayate

Ciptaan ini mempamerkan kekuatan warna melalui sepasang opal yang penuh iridesensi. Pantulan merah, jingga dan kuning disusun dalam aliran lembut bersama safir berwarna. Rekaan yang menggabungkan lengkungan halus dan motif geometri ini mencipta kesan hangat dan ekspresif yang sangat memukau. Ia adalah rantai bagi wanita yang menyukai karakter dan kehidupan pada batu permata.
3. Vetrata

Mengambil inspirasi daripada seni bina Art Deco, Vetrata menampilkan berlian 8.15 karat sebagai tumpuan. Bentuknya yang tirus menghidupkan semula imej bangunan pencakar langit awal abad ke-20. Oniks hitam dipilih untuk menambah definisi dan ritma. Rantai ini menyerlahkan sisi Cartier yang gemar mengekalkan kesederhanaan dalam bentuk, tetapi kaya dalam tenaga visual.
4. Pantheres Reflexio

Sebuah mahakarya yang menggabungkan keanggunan dan kekuatan. Turmalin hijau 74.10 karat bergandingan dengan coral merah, membentuk warna yang dramatik tetapi tetap harmoni. Dua panther yakni haiwan ikonik Cartier tersusun dalam pantulan simetri menjadikan rantai ini satu karya yang sarat ceritanya. Mata zamrud dan corak oniks menambah realisme pada figura Cartier.
5. Seafoam Green Chamane

Rantai ini menawan dengan pertemuan chrysoprase hijau lembut dan biru nilam yang mendalam. Permata disusun dalam garisan bersih dan moden yang menunjukkan keupayaan Cartier bermain dengan volum dan tekstur. Berlian dan oniks bertindak sebagai aksen yang menajamkan keseluruhan komposisi.
Artikel Berkaitan: Di Sebalik Keanggunan Panthère de Cartier
Aizat Aidid
Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.

