GLAM Exposé: The Rich Freeloaders: Kemaruk Menjadi Influencers Demi Barang Percuma - Glam Malaysia

GLAM Exposé: The Rich Freeloaders: Kemaruk Menjadi Influencers Demi Barang Percuma

Seperti yang dibayangkan dahulu, target ke tahun 2020 kita akan berada di dalam dunia yang serba moden. Ini sudah terbukti kerana hari ini segala-galanya moden terutama dalam industri IT. Semua maklumat berada di hujung jari. Dan ini adalah era media sosial. Semua berebut-rebut untuk menjadi influencers. Khabarnya menjadi influencers lebih glamor dan diberi keutamaan berbanding menjadi pelakon dan penyanyi. Mereka diberi layanan kelas pertama umpama VVIP. Malaysia kini dihujani dengan beberapa jenama mewah luar negara. Dengan kemasukan jenama mewah ini, mereka sering menyediakan bajet yang besar untuk ‘influencers’ khususnya yang mempunyai followers yang sangat tinggi.

Kalau dulu keutamaan ini diberi kepada media sahaja kerana zaman itu media cetak menjadi sumber paling utama utama untuk menghebahkan berita. Tetapi hari ini dengan arus kemodenan kita akan mendapat berita sepantas kilat, dengan kemajuan digital. Melalui platform media sosial seperti Instagram dan Facebook, masyarakat menerima berita secara live. Begitulah kecanggihan media sosial hari ini. Dan lebih lucu sekarang ini di sekolah cikgu tanya pada murid-murid cita-cita dah besar nak jadi apa, dengan laju mereka menjawab influencers! Kerjaya ini begitu ‘sesuatu’, sehinggakan golongan yang sudah berpangkat VIP juga berebut-rebut mahu bergelar influencers. Era ini boleh saya katakan sebagai era ‘demam influencers’.

Seperti biasa sebulan sekali saya akan melepak di coffee house golf club bersama teman-teman. Teman saya yang satu ini, isteri kepada orang yang berpangkat tinggi. Biarpun hanya isteri nombor dua, tetapi kalau suami sudah kaya yang amat apa dia kisah. Dengar kata perkahwinan ini adalah perkahwinan rahsia. Jadi dia tidaklah boleh terlalu menonjol. Bagi saya kalau sudah mendapat kemewahan tidak perlu menonjol lebih baik, lebih privasi. Tetapi dengan era media sosial ini, teman saya ini tidak dapat menahan dirinya. Yalah kawan-kawannya semua bergaya sakan di Instagram, dan dia hanya boleh ada akaun palsu sahaja dan melihat gambar teman-temannya bergaya. Dan melihat puji pujian yang diterima di halaman komen dia sedikit iri. Dia turut mahu dipuji dan disanjung sebegitu.

See also
Korner Mak Datin: Apabila Sang Hipokrit Berselindung Di Sebalik Hijabnya.

Jadi akhirnya dia tidak lagi dapat bertahan dan cipta akaun miliknya. Malulah kalau followers hanya kawan-kawan dia sahaja sedangkan teman-teman semua sudah cecah puluhan ribu orang followers. Jadi dia membeli puluhan ribu followers. Dia memuat naik gambar-gambarnya dengan tas-tas mewah. Taktiknya itu berjaya, dia sering diundang ke majlis fesyen dan masuk majalah. She is out and about! Dia seronok apabila dirinya popular dan dikenali ramai. Dia terus rancak bermedia sosial tanpa menghiraukan siapa suaminya. Dengan tindakannya itu akhirnya dia diceraikan. Tidak lagi menjadi isteri kepada golongan bangsawan. Gara-gara mengejar popular semata-mata rumah tangganya tergadai. Dengar cerita dia membawa hatinya yang retak seribu itu ke kota London. Tetapi dalam hati retak, OOTD tetap dimuat naik, untuk tatapan followers.

Ada sosialit ini, gigih sangat jadi influencer, sampaikan produk putihkan muka yang mengandungi bahan kimia yang tidak bagus untuk muka juga turut dia promote di akaun media sosialnya. Jangalah terlalu desperate demi mengejar populariti atau barangan percuma anda sanggup menghebahkan produk yang membawa kesan negatif kepada masyarakat. Followers ada puluhan ribu, bermakna ia datang dengan tanggungjawab untuk menyebarkan atau membuat review produk yang benar-benar disahkan Jabatan Kesihatan Malaysia. Ada juga yang sanggup menghebahkan produk untuk tinggikan tulang yang apabila difikir-fikirkan macam tidak masuk akal. Tetapi dek kerana dia berpengaruh besar, netizen sekali gus mempercayai apa yang dikongsikan dan beramai ramai membeli produk itu.

See also
Terapi Aroma Buat Ruang Istimewa

Ada satu Datin muda ini, saya terkejut apabila bersembang dengan dia, yang dia seakan tidak sabar nak memilih baju apa yang mahu dia pakai di majlis pelancaran produk kecantikan mega dari luar negara. Dalam bersembang pasal baju, dia mahu pastikan baju dia lebih glamor daripada si polan dan si polan itu. Dia juga tidak sabar memikir apa goodie bag yang bakal dia dapat. Kalau nak ikutkan, Datin ini rumah sebesar-besar alam, tetapi masih kisah apa kandungan dalam goodie bag. Hairan saya dengan perangai orang kaya macam ni. Kisah social climber ini pun satu, dia akan pastikan dia baik dengan golongan atasan, agar dia dilihat berkawan dengan mereka, jadi sekaligus dia akan mendapat jemputan untuk ke majlis-majlis kecantikan dan fesyen. Katanya bolehlah dia tunjuk bertapa happening hidupnya di instagram kepada followersnya kerana hampir setiap minggu pasti dia akan pergi ke event. Dan dia pun menggunakan tiket yang kononnya dia influencer untuk ‘loan’ baju-baju dan aksesori untuk pergi bercuti. Jadi tidak perlulah dia beli baju untuk pergi bercuti. Tetapi ada yang naik angin dengan perangainya kerana ada masa dia tidak beri kredit nama pereka yang bagi dia ‘loan’ baju di akaun instagramnya.

See also
Global Getaway Teras Utama Koleksi Bunga/Panas '19 Michael Kors

Mentaliti masyarakat kita mengenai media sosial amat menakutkan. Ramai sanggup menunjuk-nunjuk yang mereka mempunyai gaya hidup yang sempurna dan diminati ramai kerana gaya hidupnya yang menarik. Walhal semua itu adalah lakonan semata-mata demi meraih likes dan komen. Media sosial adalah platform atau cara untuk menjual diri agar jenama-jenama mewah tahu akan kewujudan mereka. Jadi apabila hari ulang tahun seronoklah beberapa jenama mewah akan hantarkan produk-produk mewah dan sejambak bunga sebagai hadiah. Ternyata biarpun mereka berduit, mereka masih dambakan kehidupan yang penuh.