GLAM Exposé: Status Kelas Atasan Tetapi Bakhil
Bohonglah kalau ada yang berkata mereka tidak mahu kaya. Bagi saya kaya itu sangat subjektif. Kaya bukan bermakna sekadar harta yang menimbun, wang dan emas berlian setinggi gunung. Ramai yang tidak banyak duit, tetapi kaya dengan budi bahasa lantas membuatkan siapa sahaja berasa senang untuk mendekati mereka. Mereka ikhlas dan tidak berpura-pura kerana dunia hari ini dipenuhi dengan manusia yang penuh kepura-puraan. Terkadang itu kita letih dengan kehidupan yang perlu saling bersaing kerana at the end of the day what only matters is that we want to be surrounded by people who are genuinely sincere.
Saya rasa terpanggil untuk mengupas topik yang saya rasa begitu menarik untuk dikupas. Saya ingin membuka mata dunia dengan menyingkap ragam masyarakat kelas atasan (bukan semua) mengendali kekayaan yang dilimpahkan kepada mereka. Ya, Datin, Datin Sri, Puan Sri dan sosialit-sosialit kota yang berseri-seri inilah yang sering mewarnai feed di Instagram kita dengan kekayaan mereka. Masing-masing berlumba-lumba untuk menunjuk siapa lebih kaya, who’s having the best life dan perkara yang sama berulang-ulang.
Melihat kekayaan yang dipamerkan tentunya ramai menganggap mereka itu tebal sikap pemurah atau senang memberi berkongsi kekayaan dengan yang kurang bernasib baik tetapi hakikatnya ramai kedekut! Percayalah. Walaupun bukan semua tetapi banyak yang bersikap bakhil. Saya sendiri terkejut dengan cerita-cerita yang saya kumpul daripada teman-teman. Sehingga ada yang tidak masuk akal. Yalah, kalau sudah dicanang satu dunia diri itu berduit, tiba-tiba cheap skate! Major turn off pleaseee!
Kisah Datuk yang sangat disegani ini amat memeranjatkan, kerana dia kalau beli tas tangan punyalah macam orang gila. Beli, beli, dan beli! Sehingga pernah berebut beg tangan dengan Beyoncé di butik Paris. Begitulah nak gambarkan kekayaannya. Kalau masuk butik itu tengok koleksi baru teruja sangat sampai naik semput! Berdramalah dia sepertikan tidak boleh bernafas kerana barang-barang di butik semua memikat hatinya. Cerita pekerja di butik, mereka akan hidangkan fresh orange (air kegemaran Datuk), dan kudap-kudapan untuk Datuk terlebih dahulu untuk tenangkan dia sebelum dia mulakan misi shopping. Dan sudah menjadi rutin, setiap kali bulan bulan puasa dia mahu buat kenduri untuk anak-anak yatim. Tetapi bukan buat kosong-kosong sahaja, dia akan panggil media untuk membuat liputan. Di sebalik cerita yang kononnya betapa murninya hati Datuk ini, rupa-rupanya orang katering buka cerita yang mereka amat terperanjat kerana Datuk yang kaya raya ini menghadkan RM5 sahaja satu kepala untuk anak-anak yatim ini. Walhalnya duit dia bertimbun-timbun. Entah ikhlas atau tidak, mengenangkan kekayaannya itu rasanya tak patutlah beri makanan pakej paling murah.
Lagi cerita kisah Datin Seri ini, bukan main mahu meraikan anak-anak tahfiz. Habis dia mencanangkan dekat sahabat handai semua untuk sama-sama hadir memeriahkan majlis untuk meraikan anak-anak yatim ini. Dan apa yang kurang manisnya pada majlis itu, dilihat tetamu VVIP dapat meja paling hadapan dan lauk pula tidak sama dengan budak-budak tahfiz. Makanan budak-budak tahfiz pakej paling murah tetapi yang VVIP menikmati makanan pakej paling eksklusif. Ada ketam, udang, dan lauk-pauk yang begitu meriah. Dek kerana Datin Seri sibuk mencanang jemput teman-temannya, sehinggakan meja dan kerusi tak cukup, apa yang lebih sedih anak-anak tahfiz ini terpaksalah makan di anak-anak tangga keranna kerusi dan meja didahulukan kepada teman-teman si Datin Seri ini. Siapa yang mahu diraikan sebenarnya? Sungguh memalukan. Apa salah makanan yang disiapkan untuk VIP itu diberi pada budak-budak tahfiz merasa dan meja paling hadapan itu diberikan kepada mereka kerana niat utama mahu meraikan mereka.
Kisah sosialit ini juga membuatkan saya hilang hormat padanya. Dia memang kaya raya. Pendidikan pun tinggi, tapi tak sangka mentaliti kampung. Sosialit ini konon dilihat dari akaun instagramnya sebagai wanita yang santun dan lemah lembut serta penyayang. Tetapi siapa sangka di sebalik lakonanannya di akaun Instagram dia adalah orang kaya yang bakhil! Dia sama sekali tidak membenarkan bibiknya makan apa yang keluarganya makan. Taraf bibik layak makan nasi putih, telur dan kicap sahaja. Sanggup bila lauk makan tidak habis disimpan di dalam peti sejuk untuk dimakan lain kali dan bila tidak terusik di peti dia buang sahaja. Bayangkanlah bibik yang mengupas udang galah besar-besar sebanyak 2kg sampai melecet tangan, tak diberi rasa hatta seekor dua. Terkulat- kulatlah bibiknya menelan air liur menengok. Rasanya zaman hamba abdi dah berakhir berkurun dulu!
Pereka fesyen ini memang berduit, dan orang sekelilingnya juga tahu dia kaya, apa yang sarungkan pada diri semuanya serba mewah. Pendek cerita kalau nak potong rambut itu mesti ke Truefitt & Hill! Semua mesti berjenama. Dia pun daripada latar belakang keluarga yang susah, jadi memang gaya hidupnya serba mewah. Tetapi dalam kaya-kaya macam itu pun, bayangkan kedekutnya dia apabila dia sanggup berpusing-pusing mencari parkir di luar bangunan membeli-belah hanya kerana tidak mahu bayar parkir kereta. Sehingga setengah jam pun dia sanggup! Asalkan dia tidak perlu membayar parkir untuk shopping mall ternama ibu kota! Aduhai, pelik-pelik manusia ni…
Lagi kisah yang diceritakan kepada saya mengenai kisah mak Datin ini di gedung pakaian pakaian berjenama. Teman saya yang mempunyai kad diskaun ini sewaktu sedang membelek baju-baju di gedung itu mempelawa si teman yang sama bershopping dengannya, “You can use my discount card, so shop more!” sambil berseloroh dengan temannya. Nak dijadikan cerita dalam pada mak Datin itu sibuk membelek-belek pakaian dia terdengar perbualan teman saya itu, apa yang tidak disangka-sangkakan apabila dia sanggup tebalkan muka dan bertanya, “Can I use your card as well? Please…” Nah mungkin dia tidak kedekut, tetapi dia tidak akan lepaskan peluang di depan mata mungkin? Mak Datin ini memboronglah baju-baju di sana sehingga tujuh ke lapan pasang.
Mak-mak Datin di Kuala Lumpur yang kononnya isteri Yang Berhormat, suami golongan bangsawan, yang lemah lembut santun ini, kadang-kadang berlakon saja lebih.
Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Disember 2017