GLAM Exposé: Dicabuli Tetapi Berdiam Diri Kerana Malu - Glam Malaysia

GLAM Exposé: Dicabuli Tetapi Berdiam Diri Kerana Malu

Jangan lupa untuk luahkan perasaan cinta yang bersarang di hati kepada insan yang anda cintai. Kerana segala nikmat yang kita ada pada hari ini, adalah pinjaman daripadaNYA. Dengan sekelip mata sahaja kita boleh kehilangan orang yang kita sayang. Seperti bencana alam yang berlaku pada negara jiran pada tahun 2018 yang meragut ramai nyawa. Tsunami melanda Indonesia sebanyak dua kali satu di Palu dan pada akhir tahun  di Sunda. Dan berita menyayat hati apabila ketiga-tiga nyawa anak diragut dek ombak besar di Pantai Sura, Dungun. Si emak pengsan beberapa kali hinggalah ke pengebumian ketiga-tiga jenazah anakknya.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada mereka yang kehilangan insan yang disayangi. Jadi ungkapkan rasa sayang kita, tunjukkan kasih kita kepada mereka yang kita peduli dan cinta. Love like there is no tomorrow, love hard like it’s the last goodbye. Ya sedang saya duduk mengopi dan berkongsi kisah cinta dengan teman, tiba-tiba si teman ini mengadu pada kami yang bos besar di pejabatnya meraba punggungnya. Sejak kejadiaan itu dia sepertikan trauma dan jijik mahu bertemu bos. Tapi memandangkan itu adalah bos besarnya, dia mengambil tindakan berdiam diri. Malu kalau staf-stafnya tahu.

 

Inilah orang Melayu, sikit-sikit fikir malu walhalnya perkara itu amat terkesan secara psikologinya. Saya nasihatkan teman saya untuk bertegas dengan bosnya itu. Mengapa kaum lelaki berani-berani mencabuli kaum wanita? Kerana mereka berfikiran wanita itu makhluk yang lemah. Buktikan mereka salah, bertegaslah dengan mereka yang tidak menghormati diri kita, biarpun mereka berpangkat. Saya berasa sedih dan kecewa kerana di Malaysia ramai yang mengambil tindakan berdiam diri atas sebab mereka malu. Pada Ogos tahun lepas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti untuk mewujudkan satu akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual. Timbalan Menterinya Hannah Yeoh Tseow Suan memberi butiran pihaknya dalam proses merangka akta baharu itu, kementerian telah mengadakan sesi konsultasi dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) yang disertai beberapa badan bukan kerajaan. Menurut Hannah terdapat beberapa peruntukan undang-undang atau kod amalan garis panduan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membendung kes-kes gangguan seksual iaitu di bawah Kanun Keseksaan; Pindaan Akta Kerja 1955; Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam.

See also
Heal Your Body And Mind

Gangguan seksual adalah sebarang kelakuan berunsur seks yang sengaja dan tidak dikehendaki, diundang atau diminta. Ia meliputi sentuhan, cubit-cubitan, komen mengenai rupa badan seseorang, bersiulan, pujuk rayu yang berterusan untuk keluar bersama atau untuk hubungan intim, ataupun pemaparan gambar lucah. Gangguan seksual juga boleh berbentuk ugutan, misalannya pernyataan yang mengenakan syarat berbentuk seksual atas keadaan di tempat kerja, samada penentuan gaji, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Cerita mengenai gangguan seksual ini memang tidak pernah habis, teringat saya dengan cerita sosialit ini yang trauma dengan bapa temannya sendiri. Dia memandang tinggi dengan bapa temannya ini yang merupakan seorang yang berpangkat Tan Sri dan mempunyai empayar perniagaan yang besar. Tetapi pernah satu hari dia keluar dari kamar mandi di rumah temannya, ayah temannya betul-betul di hadapan pintu kamar mandinya dan terus meramas asetnya. Dia terlalu takut hingga terkencing dalam seluar. Apabila digambarkan keaadan waktu itu katanya seluruh tubuhnya menjadi sejuk dan menggigil. Sehingga hari ini dia masih berteman baik dengan temannya itu tetapi memilih untuk tidak membuka cerita itu kepada temannya. Setiap majlis di rumah temannya dia tidak akan hadir kerana terlalu trauma dengan peristiwa hitam itu dan takut terserempak dengan bapanya lagi.

Ini pula kisah sosialit yang sudah mencecah usia 50 ini. Anak-anaknya semua lelaki dan sering membuat majlis makan-makan di rumahnya. Dia akan menjemput teman-teman anak-anaknya. Tetapi apa yang tidak sedap apabila teman-teman anaknya mengadu sesama sendiri sosialit ini suka meraba mereka dalam pada melayan mereka makan di rumah. Jarang dengar perempuan membuat gangguan seksual, tetapi itulah hakikatnya. Seperti biasa si teman-teman tidak berani untuk berbuat apa-apa dan membiarkan sahaja. Ini pula kisah Datuk Seri yang suka merenung pekerja-pekerjanya yang cantik. Biarpun dia tidak memegang atau sentuh mana-mana bahagiaan tubuh, tetapi pandangan mata yang merenung itu juga adalah gangguan seksual. Kadang-kadang matanya akan merenung ke buah dada pekerjanya sewaktu mesyuarat. Membuatkan ramai yang tidak selesa. Oleh kerana dia bos tiada siapa berani menegurnya. Datuk Seri ini orangnya solat tidak tinggal, tetapi itulah dia mempunyai masalah dengan merenung tajam pada perempuan. Tetapi kalau Datin Seri ke pejabat, tidak pula dia buat perangai sebegitu!

See also
Datin X: Risau Anak Perempuan Tak Laku-Laku

Ini kisah berlaku kepada anak Datin Seri yang sudah bersekolah menengah, katanya di luar sekolah anaknya ada lelaki gila seks menunjukkan kemaluannya kepada pelajar-pelajar perempuan selepas habis waktu sekolah. Mendengar cerita anaknya itu, dia terus melaporkan kepada polis dan pelaku gila seks itu ditahan pada keesokkan harinya juga. Datin Seri sempat melayangkan penampar kepada pelaku itu kerana mencabuli mata anak-anak di sekolah. Ternyata perbuatan itu meninggalkan kesan trauma pada anaknya. Dia menyarankan pihak sekolah mengadakan sesi kaunseling buat pelajar-pelajar yang diganggu.

Dulu sosialit ini bergelar Datin, tetapi dia berpisah dengan Datuk yang merupakan suami keduanya kerana Datuk secara diam-diam memberi gangguan seksual kepada anak-anak perempuannya. Pada awal perkahwinannya, dia rasakan inilah lelaki yang dia nantikan selama ini setelah bertahun menderita dengan suami terdahulu. Ternyata sangkaannya meleset. Perangai jijik Datuk bermula apabila ketika ketiadaan Datin di rumah. Datuk akan membuka filem lucah di ruang tamu, sengaja dia mahu anak-anak tiri perempuannya yang berusia 10 dan 11 tahun menontonnya. Pada mulanya anak-anak perempuan sosialit ini berdiam diri. Lama-lama mereka tidak tahan dalam keadaan malu dan takut mereka beritahu pada sosialit ini. Mendengar cerita jijik itu naik beranglah sosialit ini, dan terus dia mahu diceraikan. Kata sosialit ini dia bersyukur anak-anaknya tidak disentuh langsung. Jika apa-apa yang lagi buruk berlaku dia tidak akan maafkan dirinya buat selama-lamanya.

See also
Gemerlapan Birthday Bash Franck Muller di Kota Singa

Tahun 2020 sudah menjelma ia adalah tahun yang membawa 1001 perubahan kepada dunia. Dan diharapkan pada tahun era kemajuan ini, pemikiran dan sikap masyarakat akan lebih matang dan bertamadun. Kes gangguan seksual sudah mulai diambil serius di Amerika Syarikat rentetan pendedahan daripada Taylor Swift. Diharapkan kes ini dipandang serius di Malaysia. Che Puan Sarimah Ibrahim antara selebriti yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual di usia mudanya. Sarimah berkongsi cerita sewaktu dia bersekolah di Dubai dan pemandu teksi yang menghantarnya ke sekolah cuba meraba kakinya. Tidak seperti wanita lain yang berdiam diri, dia menepis tangan pemandu teksi itu dengan kuat dan mengambil nombor teksi itu dan diberikan kepada gurunya untuk membuat aduan pada pihak berkuasa.

Saya puji sikap tegas Sarimah biarpun dia masih muda lagi waktu itu. Kongsi Sarimah lagi sebagai selebriti dia tidak terlepas daripada gangguan seksual ada yang secara ekstrem dan secara halus. Paling teruk apabila dia diserang peminat dan cuba melucutkan celananya. Tetapi dia tidak pernah berdiam diri sebaliknya akan memarahi pelaku. Kerana dia tidak mahu orang berfikiran dan perempuan dia tidak mempunyai suara. “Dalam Islam, kaum lelaki dituntut untuk letakkan darjat kaum perempuan tinggi. Dan mereka hendaklah tundukkan pandangan mereka pada wanita,” jelas Sarimah lagi.

Buat semua wanita, mungkin dunia melihat kita lemah, tetapi tidak semestinya kita tidak punya suara untuk tegakkan keadilan. Jangan sesekali benarkan sesiapapun letakkan diri kita sebagai insan yang lemah, kerana kita punya maruah diri, kita kuat dalam kelembutan kita. Setiap apa yang terjadi pasti ada penyelesaian. Sebagai wanita kita harus sokong dan menjadi kekuatan untuk satu sama lain, jangan pula saling menjatuhkan.

Teks: TENGKU ASHLEY HASSAN