GLAM Expose: Akibat Kemaruk Putih, Wanita Sanggup Lumur Wajah Dengan Racun - Glam Malaysia

GLAM Expose: Akibat Kemaruk Putih, Wanita Sanggup Lumur Wajah Dengan Racun

Wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kalau tanya mana-mana wanita, semuanya nak cantik. Dan kalau boleh mahu cantik seperti bintang-bintang ternama yang mengisi ruang kaca televisyen itu. Tetapi apa yang menjadi kayu pengukur untuk kecantikan seseorang itu? Bukankah kecantikan itu bersifat subjektif? Yes, beauty lies in the eyes of the beholder. Namun begitu, definisi cantik bagi orang kita rata-ratanya yang berkulit putih melepak. Kalau ke majlis kahwin, soalan biasa orang akan tanya, “Cantik ke pengantinnya?” “Eh, cantik…putih orangnya!”

Nah…lagi satu yang saya dengar. “Cantik ya, Kajol sekarang. Makin putih dalam cerita Dilwale!” Aduh! Lebih sadis apabila iklan TV yang menjual produk pemutih membuat jalan cerita yang saya kira merosakkan mentaliti orang kita. Bermula dengan pergi temu duga kerja dan permohonan ditolak. Namun setelah memakai produk pemutih dan kulit bertukar cerah, apabila pergi temu duga untuk kali keduanya dia diterima bekerja. Apakah maksudnya itu? Does that bring a message that dark skin is unacceptable? Do Malaysians elevate beauty and perfection so much that anything less will be discriminated? Otak kosong tidak mengapa asalkan putih!

 


Mengapa mentaliti kebanyakan masyarakat kita menghadkan kecantikan seseorang wanita itu terletak pada warna kulit yang cerah? Fenomena ini sekali gus meningkatkan permintaan terhadap produk pemutihan kulit di pasaran. Lihat saja usahawan di Malaysia sendiri yang menjadi jutawan segera dengan hanya mengeluarkan produk pencerahan kulit. Malah permintaan yang terlalu tinggi sehinggakan mereka kehabisan stok. Begitulah dahsyatnya penangan orang kita sibuk nak putih.

Mereka ini berlumba-lumba mencerahkan dan memutihkan kulit dengan menggunakan pelbagai produk pemutih. Ada produk pemutih yang mampu mencerahkan kulit dalam waktu singkat, dan ada pula yang mampu mencerahkan kulit secara bertahap. Awas wanita, dalam kemaruk nak putih pun, pastikan produk itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Selalunya kandungan kimia terlalu tinggi pada produk-produk ini. Bayangkan kita bubuh racun di muka? Sanggupkah hanya kerana mahu cantik muka ditonyoh bahan kimia? Produk pemutih yang mengandungi merkuri dan hidrokuinon sangat berbahaya! Merkuri yang dioleskan pada kulit akan meresap melalui aliran darah.

Efek jangka pendek penggunaan merkuri ialah berlaku iritasi pada kulit yakni gatal-gatal, mual, muntah, serta cirit-birit. Efek jangka panjang penggunaan merkuri dapat mengakibatkan kerosakan saraf otak, ginjal, kanser, alzheimer, parkinson dan gangguan perkembangan janin. Penggunaan hidrokinon tidak boleh lebih dari dua peratus, dan tidak boleh digunakan secara terus menerus kerana ia mengakibatkan kegagalan ginjal, fungsi hati, dan mendapat risiko kanser darah. Penggunaan merkuri dan hidrokinon wajib dipantau bawah pengawasan doktor. Saya kira semua pun tahu hal ini, tetapi demi kerakusan untuk cantik, itu semua tidak penting lagi.

See also
Kate Moss Menyambut Hari Lahirnya Yang ke-43

Menurut sumber Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2008, selaras dengan ‘Asean Harmonization’ pendaftaran produk kosmetik telah dibatalkan dan digantikan dengan prosedur notifikasi. Pihak pengeluar wajib menotifikasikan produk kosmetik keluaran mereka dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan kualiti produk tersebut. Pengeluar produk kosmetik tidak boleh membuat sebarang tuntutan perubatan pada label dan iklan produk.

Produk kosmetik juga tidak dibenarkan untuk mengandungi bahan racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952. Sambil menulis ini hati saya tertanya-tanya, kenapa masih banyak produk pemutih yang berbahaya di luar sana yang kononnya mendapat kelulusan KKM? Dan sudah menjadi trend sekarang apabila artis-artis dijadikan duta untuk produk mereka. Pengasas produk pemutih sanggup melabur ratusan ribu ringgit kepada artis untuk menjadi duta kepada produk mereka. Malah saya dengar cerita satu artis ini dibayar satu juta ringgit! Ya saya akui, pengaruh artis memang luar biasa. Pengikut mereka di laman sosial seperti Instagram lazimnya mencecah ratusan ribu dan ada juga yang sudah mencecah dua juta pengikut! Kadang-kadang saya terfikir apakah produk yang ada di atas meja solek artis-artis ini? Adakah mereka menggunakan produk yang diwakili? Kerana ada yang azalinya lahir-lahir dah putih melepak. Do they seriously want to get fairer? Albino jadinya nanti! Tetapi saya percaya mereka pasti menjaga amanah yang diberi.

Terbaru paling popular ialah minuman kolagen yang dapat mencerahkan kulit. Kata Datin ini kepada saya sewaktu bertanyakan tip kecantikannya, “Kalau guna krim muka saja tak syok, kerana muka saja yang putih tapi tangan hitam! I baru minum dua bulan kolagen x ni, terus nampak efek pada seluruh badan!” Gamaknya apalah yang dibubuh dalam kolagen itu sehinggakan dua bulan saja sudah nampak kesan. Kerana saya diceritakan oleh sosialit yang satu ini, dia memang insaf nak pakai produk pemutih lagi kerana satu hari itu krimnya terjatuh pada kain tudungnya. Dan segera dia cuba bersihkan, tetapi tidak boleh hilang malah warna tudungnya terus luntur seperti direndam Clorox!

See also
Inspirasi Coker

Lagi kisah apabila Datin yang tidak dapat menerima hakikat yang satu-satu anak perempuannya tidak mengikut kulitnya yang putih melepak sebaliknya anaknya berkulit sawo matang seperti bapanya. Sewaktu anaknya masih remaja dia membelikan foundation tona lebih cerah daripada kulit anaknya. Dipaksanya si anak memakai foundation dan mengikutnya ke parti-parti anjuran teman-temannya. Astaga, memang kasihan, dek kerana kulitnya itu sawo matang dan dibubuh pula foundation tona cerah jadi kelabu muka anaknya! Tapi bagi Datin lebih baik kelabu dari kulit asalnya. Masuk universiti saja, Datin sudah dedahkan anaknya dengan cucuk vitamin C dan memakai produk pemutih. Kata Datin, lelaki Melayu tak suka perempuan hitam. Dia risau kalau-kalau anaknya tidak berkahwin. Kasihan si anak, pasti tertekan dan berasa dirinya hodoh walhalnya she is a beautiful young tanned girl. Dengan ketinggiannya, silap-silap dia boleh jadi model!

Satu Kuala Lumpur tahu taste lelaki yang berketurunan bangsawan ini memang suka wanita yang putih melepak. Dia berganti teman wanita seperti pakaian, dan setiap kali yang berganti itu juga putih gebu orangnya. Dengar-dengar cerita salah satu teman wanitanya ini bukannya tulen putih, tetapi sanggup membuat pembedahan untuk mencerahkan kulit yang mencecah kos 30,000 ringgit. Kiranya pelaburan yang dibuatnya itu berjayalah memerangkap this most wanted bachelor in KL. Tiga bulan bersama wanita ini dibelikan rumah kondo di KL dan memandu kereta Audi R8 dengan nombor plat namanya. Begitu sayang ya teman lelakinya pada wanita ini. Tapi kemewahan itu tidak lama dirasainya apabila dia didiagnos menghidap kanser kulit tahap ketiga setahun selepas itu. Kata doktor itu punca dari prosedur pencerahan kulitnya. Dan teman lelakinya itu sudah pun bersama wanita lain. Semenjak daripada itu lama sudah tidak nampak kelibatnya di majlis-majlis kota.

“Buang masa saja I pakai produk ribuan ringgit selama ini, lambat nak nampak kesan! Set produk pemutih ini dua minggu saja dah terbukti keberkesanannya berbaloi,” ujar wanita yang berjawatan Pengarah Urusan ini yang sudah tujuh tahun memakai produk pemutih. Ya memang saya sendiri terkesima dengan kulitnya putih melepak dan berkilat seperti porselin! Tanpa secalit makeup pun dia nampak cantik sangat, pipinya kemerah-merahan semula jadi. Baru-baru ini saya diceritakan teman baik saya yang bekerja dengannya, kulit wajahnya sering luka-luka. Lebih terperanjat sewaktu mesyuarat, darah menitik dari kulit mukanya tanpa henti. Berlari dia keluar dari bilik mesyuarat. Ini mungkin kesan daripada produk pemutihnya. Kulitnya sudah terlalu menipis, jadi ia menjadi teramat sensitif. Lebih-lebih lagi dibawah pancaran cahaya matahari kulit akan berasa bisa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum.

See also
Datin X: Hilang Identiti Apabila Hidup Tanpa Adat

Sedih pun ya cerita ini, Datin yang mendapat tahu Datuk mempunyai perempuan simpanan membuatkan hatinya retak seribu. Mungkin kerana faktor usia yang sudah lanjut jeragat di wajahnya banyak sekali. Puas dia membuat rawatan laser yang cecah belasan ribu ringgit. Tetapi tidak juga hilang sepenuhnya. Datin berasakan yang Datuk mahu wanita lain kerana wajahnya comot dengan jeragat walhalnya memang lelakinya yang gatal pantang nampak dahi licin! Di fikiran Datin produk pemutih mampu membantu masalahnya. Malangnya hari ini bukan masalah jeragat menjadi kerisauannya, malah mukanya kini sudah bersopak gara-gara memakai produk pemutih berlebihan. Menangis tidak berlagulah Datin ini dengan penyesalan.

Jangan terkejut apabila selebriti lelaki juga tidak kurang mahu putih. Pada awal pembabitannya dia tidak begitu menonjol, tetapi setelah menjalani pembedahan Skin Lightening Surgery, yakni pembedahan yang membuatkan melanin kulit berkurang dan hasilnya dia menjadi cerah buat selama-lamanya. Prosedur ini memang menelan belanja tinggi, tetapi sanggup dia membuat pinjaman daripada bank! Dan ya, dia berjaya memegang watak utama dalam lakonan yang dibintanginya. Pada kaca mata saya pula semua rona kulit cantik asalkan si empunya diri tahu menjaga kulit. Ada yang berkulit putih gebu, kuning langsat, sawo matang, hitam manis, dan hitam kelat pun ada! Hahaha! Percayalah apa warna pun cantik.

Buka kepompong minda anda, cuba lihat kecantikan yang anda miliki daripada asyik membelek kekurangan diri. Jangan terperangkap dengan mentaliti kolot seperti putih itu cantik hitam itu jelek. Kecantikan sebenar apabila kita memiliki kulit yang mulus dan sihat berseri. Lucunya, most westerners dream of having tanned skin, to them it is a very perfect skin complexion. Dan kita pula sibuk nak putih macam mereka. Ingin saya berkongsi istimewanya orang berkulit sawo matang atau hitam manis ini. Anda memiliki lebih banyak melanin dan dapat bertahan dengan sinaran matahari berbanding daripada yang berkulit cerah. Tetapi, janganlah tidak memakai krim pelindung pula jika keluar ya! Lupita Nyong’o adalah wanita kulit hitam yang sangat cantik. Lihat saja pada tekstur kulitnya yang lembab dan bersinar keseluruhan badan. Flawless!

Teks: Tengku Ashley Hassan