Retorik - Tudung Bukan Sekadar Fesyen - Glam Malaysia

Retorik – Tudung Bukan Sekadar Fesyen

Sebelum kita kupas lebih jauh, apa kata kita menjawab soalan asas ini dahulu; Adakah berfesyen dengan tudung atau hijab itu salah?  Pendapat peribadi saya adalah tidak dan persoalan ini bukanlah persoalan yang harus ditimbulkan. Ada pula yang mempersoalkan adakah wajar kita membelanjakan duit untuk mendapatkan fesyen tudung terkini dan berjenama walhal tujuan utama bertudung ialah untuk menutup aurat? Bagi saya kalau tidak timbul soal orang membeli tas tangan yang mahal walhal ia hanyalah sebuah beg untuk menyimpan barang-barang kenapa harus kita ‘double standard’.

Kereta dicipta manusia dengan tujuan asalnya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam masa yang singkat manakala jam ialah untuk kita mengetahui waktu dalam satu-satu hari itu dan kasut ialah untuk kita melindungi kaki kita seterusnya membantu kita berjalan. Kalau hendak diikutkan tujuan asal perkara itu dibuat, tak usahlah membazir duit untuk membeli kereta yang canggih, jam yang mahal atau kasut kulit? Jadi usahlah timbul persoalan perlukah untuk kita membeli atau patutkah kita mendapatkan fesyen terkini atau jenama yang terbaik, ukuran untuk kita berbuat demikian adalah kemampuan kewangan, itu sahaja. Kalau mampu dan rasa mahu apa salahnya. Boleh untuk kita berfesyen dengan tudung. Tetapi, janganlah kita bertudung hanya untuk berfesyen! Niat lebih penting.

 

 

Fesyen, perkataan yang diambil dari perkataan inggeris ‘Fashion’ bermaksud gaya, penampilan hiasan atau pembawakan terkini masyarakat khususnya dalam bentuk rupa dan pandangan fizikal. Ia merupakan satu penanda aras populariti penggayaan mengikut zaman. Ia berubah mengikut peredaran masa tanpa mengikut sebarang sebab atau formula yang boleh diterangkan secara logik. Contohnya sehingga hari ini saya tidak faham mengapa saya dahulu pernah gilakan subang besar plastik berwarna cerah digandingkan pula dengan baju ‘padding’ bahu sambil menampal poster ‘New Kids on The Block’ di dinding bilik tidur. Setiap kali hati saya timbul satu perasaan hendak mencaci peminat setia K-Pop dengan gelaran ‘BTS Army’, saya akan mengingatkan diri saya bahawa saya dulu pernah menyanyi lagi ‘Step by Step’.

Maksudnya fesyen itu tidak kekal, ia berubah mengikut masa bergantung kepada pengaruh rakan sebaya atau orang sekeliling. Kalau hari ini Neelofa merasakan bahawa seluar ‘bell-bottom’ dan baju tompok-tompok ala 60-an harus di arus perdanakan semula, maka sudah pasti ia bakal menjadi ikutan ramai penonton Meletop (termasuklah saya sendiri). Tetapi bertudung itu bukanlah suatu aksesori atau kaedah pemakaian, ia lebih dari itu. Memang kita tidak menafikan bahawa memakai hijab itu membawa kita kepada suatu dunia fesyen dan penggayaan yang tersendiri berbanding dengan tidak bertudung, namun hasrat kita memakainya bukanlah timbul dari hendak nampak cantik (tapi tak salah kalau nak cantik dalam bertudung) tetapi ia timbul kepada rasa kemahuan untuk menutup aurat, mengikuti kehendak syariat dan agama kita.

See also
Retorik: Hipster dan Muzik

Kenapa penting bagi kita mengingatkan diri kita akan perkara ini ialah kerana walaupun fesyen itu berubah-ubah, sebagaimana gaya hijab dan tudung kita juga boleh bertukar-tukar, niat dan nawaitu tudung itu mestilah dikekalkan dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya kalau kita bertudung hanya kerana fesyen atau sebab-sebab yang cetek, seperti memakai tudung kerana sekarang dah gemuk (ya saya tahu ada yang bertudung sebab itu) atau kerana ramai orang bertudung di tempat kerja, maka ia tidak akan kekal dan merosakkan hasrat asal mengapa Islam meminta kita menutup aurat.

AZRINAZ MAZHAR HAKIM MENJAWAB PERSOALAN PENDAPAT MENGENAI BERFESYEN DENGAN HIJAB ITU BETUL ATAU SALAH?

Saya menulis mengenai perkara ini kerana baru-baru ini nampak satu ‘trend’ bahawa ada individu-individu tertentu yang membuat hijrah bukan atas kesedaran dalaman, tetapi bersandarkan keperluan luaran. Tidak kiralah untuk membawa imej baru, mempromosikan produk atau perniagaan atau nampak sekadar satu promosi pemasaran. Banyak individu-individu ini, yang boleh dikatakan mempunyai pengaruh dan pengikut yang menganggap bahawa tudung dan hijab itu sebagai satu tiket untuk membersihkan imej mereka dalam satu masa singkat bagi melarikan diri dari kontroversi. Siapa tidak boleh lupa perangai satu individu songsang yang kononnya telah insaf dan kembali ke jalan asal hanya untuk menjual barangan dan produknya hanya untuk kembali ke gaya hidup songsang setelah membuat keuntungan. Menjaja keinsafan dan nama agama untuk produknya laku. Habis dicerca segenap lapisan masyarakat tapi nasib baiklah si empunya badan itu telinganya tebal, namun buat mana-mana individu yang lain, yang mungkin timbul hasrat berhijab kerana mahu perubahan imej semata, ketahuilah bahawa jalan ini bukanlah kaedah yang terbaik.

See also
Datin X: Apabila Lelaki Lebih Cantik Dari Perempuan

Saya tidak mahu mengambil pendirian yang keras, bagi saya kalau belum bersedia untuk berhijab usahlah memaksa diri hanya kerana mahu kelihatan popular, mendapatkan imej yang lebih baik atau atas sebab-sebab yang cetek dan dangkal. Biarlah kita ada kekurangan dan kelemahan diri asalkan niat dan hati kita baik, sesungguhnya ini adalah jauh lebih mulia dari mereka yang hipokrit. Berhijab itu harus timbul dari satu kesedaran, kemahuan untuk mengubah penampilan yang seterusnya akan memberi kesan kepada gaya hidup kita, itu tidak dapat dinafikan.

Berhijab itu tidak membuatkan kita lebih mulia, tetapi ia adalah satu pegangan bahawa ini sebahagian dari langkah yang dilakukan oleh satu-satu wanita untuk untuk mendekatkan dirinya lagi kepada ideal iman dan takwa yang dibawanya. Ia mempunyai pengorbanan tersendiri, kalau hijrah dilakukan atas sebab-sebab yang salah, tak kiralah untuk fesyen, perniagaan atau hanya kerana kawan dan mak kita suruh, kelak ia tidak akan kekal dan pusingan ‘U’ pasti berlaku. Hijab dan tudung itu bukan sekadar berfesyen, tapi, tak salah untuk kita berfesyen dengan tudung dan hijab itu. Hijrahlah untuk kebaikan, insyaAllah ia pasti akan diberkati.

See also
Pernah Bergelut Depresi, Deepika Dianugerah Crystal Award