Retorik: Cantik Personaliti - oleh Izree Kai Haffiz

Retorik: Cantik Personaliti – oleh Izree Kai Haffiz

2013 armaniIzara Aishah, GLAM Mac 2013. 

 
Oleh: Izree Kai Haffiz
 
Takrif cantik menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sangat menarik apabila dipandang tidak kira perempuan mahupun lelaki. Bukan saja paras muka tapi bangunan, benda, pemandangan dan lain-lain. Cantik itu subjektif. Lain orang, lain pula penilaiannya. Bagi saya kecantikan itu terletak pada personaliti seseorang wanita itu.
 
Maka daripada situ ia berhembus ke luar. Tidak semestinya yang rupawan itu dinilai secara lahiriah sahaja. Perwatakan, cara penampilan juga personaliti perlu diambil kira. Ada orang punya rutin kecantikan dengan berhabis masa membelek wajah di hadapan cermin. Mungkin itu cantik bagi mereka tetapi kecantikan itu tidak terhad pada penampilan wajah sahaja. Walhal cantik perlu merangkumi semua.
 
Wanita yang paling cantik adalah wanita yang sentiasa selesa dengan diri dan keperibadiannya. Jika diberi pilihan saya memilih wanita yang agak matang usianya, dalam lingkungan umur 35 ke-40an. Wanita pada usia ini memahami diri, arif kehendak hati termasuk cita rasa dalam berfesyen dan penampilan diri. Mereka tahu apa yang sesuai dengan mereka dan apa yang tidak. Basically, they know what they are doing.
 
Bagi saya, wanita muda masih tercari-cari hala tuju dan identiti diri. Mereka masih bereksperimen dan tengah menggali citra diri sebenar seorang wanita. Kadangkala keyakinan diri mereka berada di tahap rendah kerana terdedah dengan tekanan sosial. Media dan masyarakat sekeliling masih lagi berfikiran jumud apabila terus menganggap tubuh kurus itu cantik dan kulit putih itu menawan. Apabila menyelak majalah fesyen saiz S dijulang lalu menjadi saiz ideal buat semua orang. Wanita perlu bersemangat tinggi. Usah mudah menyerah kalah dan kuat keinginan. Jika sudah tahu berat badan semakin naik, cepat-cepat pergi bersenam. Sebagai wanita tentu anda mahu kelihatan cantik kerana muka adalah tarikan utama buat mata yang memandang.
 
Menjaga kecantikan kulit amat penting. Tidak sekadar melabur membeli produk kecantikan yang sesuai kulit tetapi membuat rawatan kulit. Atur masa dengan sebaiknya-baiknya agar anda dapat mengunjungi spa sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk membuat rawatan agar kulit lebih bersih dan segar daripada menerima suntikan atau membuat surgeri kosmetik. Aging gracefully itu lebih baik, no nips or tucks. Lihat sahaja selebriti seperti Salma Hayek, Julianne Moore dan Helen Mirren. Kesemua mereka tampak ayu sekali. Wanita yang punya keyakinan diri yang tinggi akan sentiasa berasa selesa dengan diri mereka tidak kira pada setiap peringkat usia.
 
Mereka tidak perlu terlalu memikirkan apa tanggapan orang lain sebaliknya percaya setiap individu ada kelebihan sendiri. Jika mereka yakin diri, wanita akan dapat membolos diri daripada tekanan sosial ini. Keyakinan dan bersifat tegas akan membuat wanita dipandang tinggi oleh lelaki. Usah terlalu berlindung di balik solekan tebal mahupun sepersalinan pakaian cantik. Kebijaksanaan dan keyakinan diri akan membuat wanita menjadi diri sendiri lalu pesona seorang wanita akan terpancar dan dengan mudah dapat memikat lelaki. Ada yang beranggapan kecantikan harus dibayangi personaliti seseorang wanita. Walhal tidak semua wanita yang cantik rupawan punya personaliti yang menarik. Kalau harap muka sahaja yang cantik tapi hati busuk pasti sifat jelik itu akan menghembus keluar. Wanita yang molek peribadinya memiliki kecantikan sebenar. Seorang wanita hebat elok tutur katanya, bijak bergaul, arif kemahuan diri dan tahu membawa dirinya tidak kira di mana dan apa juga suasana. Memandangkan wanita jenis yang suka berfikir, pemikiran mereka sentiasa sahaja sarat dan penuh dengan idea-idea yang mahu direalisasikan. Malangnya bukan semua bersikap demikian. Ada yang hanya pandai berbicara tetapi omongan mereka kosong belaka. Walk the talk, that is the most important thing!
 
Wanita yang mempunyai visi dan bijak merencanakan masa depan bagi saya adalah wanita hebat. Mereka tidak akan membenarkan orang lain memandang rendah diri mereka dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. Kerana wanita juga seorang ibu. Yes, it’s not easy being a mom. Ini adalah yang terhebat mengenai wanita. Mereka taat kepada suami, handal mengurus rumah tangga, mengasuh dan mendidik anak dan masa senang mereka juga bekerja membantu ekonomi keluarga. Menjaga keluarga sekali gus menjaga diri sendiri itu adalah perkara yang bukan senang. Saya sangat menghormati wanita yang berkerja dan masa sama menguruskan rumah tangganya dengan sempurna.
 
Bayangkan lagi kalau mereka seorang ibu tunggal. Kemulian seorang wanita yang turut menggalas tanggung jawab sebagai ayah sangatlah membanggakan. Jika ditanyakan pada semua lelaki, siapakah wanita yang memberi inspirasi dalam perjalanan hidup mereka? Saya pasti hampir seratus peratus termasuk diri saya sendiri akan memilih ibu. Segala pahit getir hidup dan pengorbanan seorang emak, saya sanjung tinggi. Ibu saya dia menjaga keluarga kami dengan sempurna. Rumah kami bersih, pakaian dibasuh langsung dilipat, makanan terhidang tepat waktu meskipun kami tidak ada pembantu. Pengorbanan dan tanggungjawab ibu sangat besar dan tentunya ibu akan terus menjadi inspirasi buat saya.
 
Izree Kai Haffiz, Pengarah Urusan, rakan kongsi juga Penasihat label fesyen Fizi Woo. Bercita-cita mahu membawa labelnya ke pentas antarabangsa.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Jun 2015
 
 

See also
Saint Laurent Kedua di KL Kini Dibuka