Retorik: Audit Personaliti Sendiri- oleh Datin Sharifah Shawati - Glam Malaysia

Retorik: Audit Personaliti Sendiri- oleh Datin Sharifah Shawati

shutterstock_110685008

Gambar: Arkib GLAM


 
Oleh: Datin Sharifah Shawati
 
Sepanjang perjalanan karier saya, banyak pengalaman yang saya lalui ketika berinteraksi dengan masyarakat. Pelbagai karakter juga personaliti telah saya temui. Kesemuanya menarik bagi saya dan ia sedikit sebanyak memberi saya inspirasi sekaligus mengalakkan saya untuk terus mencari jalan memberikan informasi yang diperlukan untuk dikongsi bersama sebagai pengajaran. Menarik bagi saya kerana kesemua personaliti yang saya temui ada keunikan masing-masing dan apabila kita gabungkan, boleh menjadi sesuatu yang unik dan ini boleh dijadikan salah satu daya tarikan pada individu itu sendiri – turn your weakness into your strengths.
 
Tapi sayangnya keunikan tersebut tidak digunakan untuk tujuan yang betul dan kadang-kadang boleh menimbulkan masalah sehingga mengganggu ketenteraman orang lain. Inilah yang akan mencacatkan imej peribadi dan personaliti seseorang pada andaian umum. Misalnya jika seseorang itu mengikut perasaan melayani rasa marahnya dengan bertindak ganas atau memaki hamun.Maka individu ini sebenarnya adalah seseorang yang tidak berfikiran jauh, kurang matang, kurang cerdik dan tidak bijak mengendalikan emosinya tetapi membiarkan emosinya mengawalnya yang mana akan mengakibatkan huru-hara.
 
Tetapi sebaliknya jika individu ini seorang yang bijak maka dia akan sentiasa cuba untuk menenangkan diri sendiri dengan mengawal emosi dalam keadaan diam seketika dan merancang strategi dengan terperinci untuk tindakan seterusnya secara lebih tenang dan diplomatik tetapi masih dapat mencapai apa yang diinginkan.
 
Semua perkara yang disebutkan di atas mencerminkan imej, peribadi dan personaliti individu tersebut. Imej bukan hanya diadili berdasarkan pakaian atau solekan tetapi banyak berkait rapat dengan cara kita berkomunikasi. Ramai yang cantik, segak, bergaya dan berjaya dalam pelbagai bidang tetapi ramai tidak mengamalkan etika sosial dan adab sehinggakan ada yang merasa susah untuk senyum, lupa untuk mengucapkan terima kasih, lupa bertanya khabar, tidak jawab sms/telefon/email dan datang lewat ke tempat kerja tanpa alasan kukuh.
 
Ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam menghasilkan personaliti yang dihormati. Yang pertama sekali, sikap sentiasa menghormati orang lain tanpa mengira darjat dan status terutama pada orang-orang tua. Kemudian hormati pendapat dan pandangan orang lain walaupun anda tidak bersetuju dengan pendapatnya. Selain itu, kita perlu pandai menyesuaikan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat dan menghormati latar belakang masing-masing dan jangan pernah menjadi seorang yang judgemental.
 
Amat penting untuk sentiasa berfikir baik dan positif dalam setiap perkara. Berfikiran terbuka dan cuba lihat sesuatu isu itu dengan mendengarnya dalam perspektif yang berbeza. Jangan sentiasa berfikiran negatif dan menghukum tanpa menyiasat terlebih dahulu.
 
Sentiasa mengukirkan senyuman kerana individu yang sentiasa memberikan senyuman ialah seorang yang berfikiran terbuka dan bijak mengendalikan emosi dan mengawal diri sendiri. Raikan rakan-rakan yang berjaya dan belajar daripada mereka. Ini akan dapat menambah ilmu pengetahuan dan akan membawa kejayaan pada diri kita juga. Tetapi jika sentiasa berdengki maka kita akan rugi. Untuk mencipta personaliti yang baik lagi, cara bertutur dengan bahasa yang halus dan beretika dalam segenap hal juga cukup penting. Pilih perkataan yang positif dan baik-baik sahaja dengan menggunakan intonasi suara yang sesuai ketika berkomunikasi dan jaga protokol yang betul mengikut keadaan ketika berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
 
Jaga sensitiviti masyarakat sekeliling dan jangan bergosip untuk menjatuhkan maruah orang lain. Lebih elok gunakan masa yang berharga dengan memperbaiki diri sendiri dan menambah ilmu untuk kebaikan diri sendiri. Timba ilmu pengetahuan dalam segala hal untuk menambah kredibiliti pada diri sendiri dan berkongsi ilmu dengan orang lain. Pesanan saya, jangan lokek dengan informasi. The more you give the more you get. Perluaskan jaringan persahabatan dan networking setiap hari. Tanamkan minat membaca dalam pelbagai general knowledge untuk menjadi bahan topik perbualan ketika bersosial maupun bisnes. Manusia lebih suka berkawan dengan manusia yang banyak ilmu pengetahuan dan resourceful.
 
Mempunyai pegangan dan prinsip diri yang kukuh untuk menjamin integriti yang tinggi lagi terpuji dan dihormati harus dipupuk dalam diri. Setiap manusia perlu ada prinsip hidup sebagai pegangan dan panduan supaya dapat mengingatkan kita untuk sentiasa melakukan hal yang betul dan jujur pada diri sendiri Amalkan cara hidup dan pemakanan yang sihat untuk menyerlahkan lagi imej yang bertenaga, beraura positif dan penuh impak. Choose to be happy and make yourself happy. Jika diselubungi masalah atau stress, seek help and talk it out. Don’t isolate yourself because you are not alone.
 
Akhir sekali, imej yang positif akan menghasilkan personaliti yang menarik dan disukai ramai. Ia terlalu berkait rapat dengan apa yang disebutkan di atas. Sehebat mana pun fesyen yang anda pilih atau jenama yang anda pakai tidak akan melengkapkan imej peribadi anda jika ia tidak disempurnakan dengan sikap, karakter dan pemikiran yang matang dan relevan. All best everyone and remember the change you want comes from you! All the best!
 
DATIN SHARIFAH SHAWATI seorang Perunding Imej juga Penceramah Motivasi Antarabangsa ini amat mementingkan imej diri dan mahu membimbing wanita menjadi lebih berkeyakinan. JIKA ANDA MAHU BERKONGSI SEBARANG PANDANGAN, SILA E-MEL KEPADA suzieadnan@bluinc.com.my
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Januari 2016

See also
Datin X: Akibat Kemaruk Pembedahan Plastik