Retorik - Apresiasi Rupa atau Bakat? - Glam Malaysia

Retorik – Apresiasi Rupa atau Bakat?

Persoalan bakat seni atau rupa, sudah lama menjadi topik hangat yang diperkatakan. Bukan sahaja di kalangan anak seni, orang luar juga bercakap perihal yang sama. Persoalannya, perlukah hanya cantik untuk menjadi popular? Atau bakat sudah cukup untuk menaikkan populariti anak seni itu sendiri. Kedua-dua elemen ini sebenarnya sama penting, terutamanya bagi mereka yang bergelar anak seni. Inilah pakej lengkap yang mampu menjadikan anak seni itu bertahan dalam industri. Dan semestinya aset idaman, biarpun tidak semua bertuah memiliki kedua-duanya.

Melihat fenomena artis baru yang muncul dan berlumba-lumba untuk kekal relevan dalam industri, satu perkembangan positif buat industri. Saban hari ada saja nama-nama baru muncul, apatah lagi era digital yang bersifat ‘inklusif dan terbuka’. Nilai komersial bersandarkan jumlah pengikut laman sosial seperti Instagram kini bertindak sebagai penanda aras populariti seseorang dan mungkin juga antara prasyarat dalam meraih sesuatu tawaran.

Namun yang menjadi persoalan apabila bakat yang selama ini tunjang utama untuk bergelar anak seni, kini seolah-olah digantikan dengan rupa paras dan elemen komersial yang bijak ditonjolkan oleh mereka sendiri. Malah telah menjadi perdebatan hebat di kalangan orang industri yang secara terang-terangan meletak nilai yang tinggi terhadap rupa paras berbanding bakat yang dimiliki.

See also
Idea Eksentrik Penuh Makna John Galliano Untuk Maison Margiela

Mengambil contoh Mira Filzah yang meraih undian tertinggi sekali gus dinobatkan sebagai Artis Paling Popular BH tahun ini, sememangnya menepati ramalan ramai. Bergelar pelakon dan mencipta fenomena menerusi drama, selain turut mengacara. Mira memiliki pakej, menonjolkan kerja keras yang tidak mengenal erti penat dan bijak menonjolkan diri. Bukan sahaja rupa paras, malah populariti berlandaskan kepada anugerah bakat, Mira Filzah antara pakej lengkap yang patut dicontohi terutama kepada pendatang baru dalam industri.

Penonton dan peminat hari ini semakin bijak menilai value seseorang artis. Manakan tidak, ramai sahaja artis yang sangat berbakat, masih disanjung, biarpun rupanya hanya biasa-biasa saja. Kini yang lebih dipandang adalah nilai yang ditonjolkan oleh artis itu sendiri. Bukan mudah sebenarnya mahu merubah persepsi apabila masyarakat sudah biasa disajikan dengan nilai komersial semata-mata. Tapi tanpa mencuba kita takkan tahu perubahan yang mungkin memberi impak postif dalam industri itu sendiri.

Kenapa perlu meletakkan sempadan dengan mengutamakan rupa paras dan nilai komersial, berbanding usaha keras menjual bakat seni dalam merebut peluang dan ruang dalam industri. Kadangkala terfikir, adilkah bagi mereka ini yang berusaha keras untuk kekal dalam industri dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk diterima. Antara yang tidak perlu diragukan lagi seperti Adibah Noor, Sherry Alhadad, Afdlin Shauki, dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama). Sangat terserlah keyakinan dan kebijaksanaan mereka dalam menonjolkan diri, meskipun pada awalnya kurang mendapat perhatian. Namun mereka berjaya membuktikan kelebihan bakat yang dimiliki mengatasi persepsi rupa paras dan bentuk tubuh orang yang menilainya.

See also
#Breaking News: Tom Hanks Dan Isteri Positif COVID-19

Sebenarnya ramai anak seni berbakat besar dan punya potensi untuk digilap dan lebih bersinar berbanding hanya rupa paras dan nilai komersial semata-mata. Cuma ada di antara mereka yang tidak diberi ruang dan peluang menonjolkan diri. Dengan alasan faktor komersial tidak seberapa. Sampai bila industri tanah air akan terus berpegang hanya pada rupa tanpa bakat, dan perlu popular baru diterima? Jika tidak diberi peluang, bagaimana mereka yang berbakat, namun kurang nilai komersial ini mahu menyerlah?

Biarlah tuntutan seni dan elemen komersial bergerak sekali dalam memberi nilai dan manfaat bukan sahaja kepada industri tetapi juga medium dalam mendidik masyarakat yang mengikutinya. Tidak salah memilih yang memiliki rupa paras cantik untuk diketengahkan, tetapi bakat harus kekal syarat utama selain ilmu dan sifat-sifat positif untuk berjaya. Industri sebenarnya mempunyai ramai individu berbakat yang sememangnya mempunyai potensi untuk menyumbang kepada perkembangan dunia seni tanah air.

Rupa paras mungkin cantik dan sempurna, tapi ia tetap akan dimamah usia. Namun, bakat dan ilmu yang dimiliki akan terus kekal dan menjadi sebutan walaupun ditelan usia.

See also
Diari Deko - Program Cuti Sekolah Explore, Play & Learn Di Royal Selangor
Teks: Suhana Desa