Korner Mak Datin: Tukang Tilik Jadi Penasihat Rumah Tangga Datin - Glam Malaysia

Korner Mak Datin: Tukang Tilik Jadi Penasihat Rumah Tangga Datin

DatinX___2-page-001
 
Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
You sudah siap? I datang sekarang,” ujar Datin Su. “Dah siap. Datanglah sekarang,” balas Laili. “Tapi kita perlu ke kedai bunga dahulu. Kita beli tujuh jenis bunga dan limau nipis untuk dibawa ke rumah Mak Piah.” “I bawa alat solek juga,” ujar Datin Su tersenyum. “Oh, nasib baik you ingatkan. I hampir lupa.”
 
Petang itu juga Datin Su menjemput Datin Laili ke kondonya. Janji Datin Laili semalam mahu membawa Datin Su bertemu Mak Piah. Di mana lokasi rumah Mak Piah terpaksa dirahsiakan. Maklumlah kediaman Mak Piah biasa dikunjungi selebriti, personaliti TV, ahli perniagaan dan Datin-Datin. Datin Su memang pantang dengar ada bomoh, tukang tilik, atau feng shui. Semalam ketika berbual-bual dengan Datin Laili, dia diberitahu tilikan Mak Piah sangat berkesan.
 
Datin Laili pernah pergi ke rumah Mak Piah menemani temannya kerana mahu membesarkan perniagaan. Selepas diberi air mandian bunga dan ayat-ayat tertentu, perusahaannya semakin maju. Satu lagi kisah didengar, Safi yang hendak temuduga berjaya menjawat jawatan tinggi selepas bertemu Mak Piah juga. Paling kagum, Maria dahulunya sukar mendapatkan cinta kini mendapat suami hartawan. Khabarnya Datin Seri Maria bertemu jodoh selepas bertemu Mak Piah.
 
Apa lagi teruja benar Datin Su mahu bertemu Mak Piah. Tiba sahaja di depan rumah teres stingkat itu, mereka melihat ada beberapa buah kenderaan lagi beratur. Terpaksa mereka pakir kereta agak jauh. Menginjakkan kaki kali pertama mengundang debaran Datin Su. Dia melihat ada dua orang sedang duduk di ruang tamu. Seorang wanita yang kelihatan sudah biasa dengan Mak Piah pula rancak berbual-bual di dapur.
 
Wanita itu memberi izin mereka masuk dahulu. Lalu Mak Piah menggamit mereka masuk ke sebuah kamar gelap. Datin Su meninjau sekeliling kamar Mak Piah. Kamar kosong ini dialas tikar mengkuang. Satu sudut diletak alas tempat duduk Mak Piah. Di hadapannya tersedia besen kecil berisi air. Sebelah kanan disediakan bekas kemenyan.
 
“Apa khabar Datin Laili?” soal Mak Piah tersenyum simpul. “Baik Mak Piah. Kenalkan ini kawan saya Datin Su. Maaflah datang tak beritahu.” “Apa khabar Mak Piah?” soal Datin Su berbahasa basi. “Baik Datin. Apa hajat Datin Su ke mari?” soal Mak Piah kembali. “Saya tiada hajat tertentu. Cuma mahu Datuk tunduk kepada saya. Bimbang dengan perempuan-perempuan di luar sana. Mereka semakin berani sekarang ini,” cerita Datin Su tanpa segan silu.
 
Mak Piah mengangguk-angguk kepala, mengerti apa dimahukan Datin Su. Memang permintaan itu telah biasa didepaninya. Kebanyakan wanita berdarjat yang datang bertemunya mahukan perkara sama. Berkehendak suami mereka tidak memandang wanita-wanita lain. Pantas tangan Mak Piah menyalakan kemenyan. Berkepuk-kepuk asap naik ke udara.
 
Mak Piah bertanyakan nama penuh Datin  Su dan suami. Dia membuka bungkusan bunga dan mengagih-agihnya kepada enam bahagian. Kemudian Mak Piah menyeru nama penuh Datin Su  seraya memotong limau nipis ke dalam mangkuk berisi air. Selepas itu nama Datuk pula diserunya seraya membaca jampi serapah.
 
“Saya nampak Datuk tak ada siapa-siapa kecuali Datin,” ujar Mak Piah seraya merenung ke dalam besen berisi air.
 
Dia menghiris lagi limau nipis kedua lalu ada yang jatuh ke dalam air dan ada juga jatuh ke lantai. Sesekali Mak Piah mengeleng-geleng kepala. Bimbang pula Datin Su memandang reaksi  Mak Piah itu. Apakah berita buruk mahu disampaikan kepadanya.
 
“Oh, Datuk sayang Datin tak berbelah-bahagi. Tetapi biasalah ada gangguan-gangguan mendatang. Ini bunga dan limau untuk mandi enam hari berturut-turut. Mak Piah dah agih-agihkan,” ujarnya seraya mengisi bunga dan limau ke dalam enam plastik kecil lalu diikat dengan getah.
 
Banyak lagi persoalan dan jawapan dibicarakan  Datin Su dan Mak Piah tetapi terlalu sulit untuk dikongsi di sini. Datin Su sememangnya tidak senang setiap kali Datuk kerja di luar daerah. Hatinya sangat gundah-gulana. Ada ketika dia ikut Datuk tetapi banyak pula parti perlu dikorbankan. Dia tidak mampu menghilangkan diri daripada khalayak sosialit. Sebab itu dia perlukan bantuan contohnya seperti bantuan Mak Piah ini.
 
“Tetapi saya akan buat Datin bertambah seri wajah. Biar tak jemu Datuk memandang Datin. Minta barang-barang mekap.”
 
Datin Su menghulurkan beg kecil jenama LV berisi kelengkapan mekap sehari-harinya. Lalu Mak Piah membuka semua bekas mekap dan dibaca ayat sebelum ditoreh ayat dengan hujung pisau. Ditiup alat mekap itu beberapa kali. Kemudian giliran Datin Laili pula melalui proses yang sama tetapi dengan masalahnya sendiri.
 
Perkahwinan Datin Su sudah menjangkau 10 tahun tetapi dia tidak pernah percaya kepada Datuk. Hatinya sentiasa berisi dengan rasa sangsi. Cemburunya menggunung walaupun berkali-kali Datuk katakan rasa sayangnya pada Datin. Gundah di jiwa Datin Su adalah bersebab. Sebelum dapat menawan hati Datuk, dia mengamalkan pemakaian susuk. Baru dua minggu pakai dia berjaya menawan hati Datuk. Sebelum ini begitu sukar Datin Su mahu menawan hati hartawan itu.
 
Datin Su percaya pemakaian susuk dan aturan lain diberikan bomoh telah membantu. Dia tidak pernah percaya soal jodoh pertemuan ajal dan maut di tangan Tuhan kerana terlalu percaya dengan amalan-amalan lain. Sebab itu, setiap tahun dia mahu memastikan kuasa memikatnya bertambah. Bimbang hilang kuasa memikat, dia ditinggalkan Datuk pula.
 
Ada satu amalan Datin Su melibatkan makan minum. Sampaikan aturan makanan Datuk dikawalnya. Makan anak-anak pasti diasingkan Datin. Mujur Datuk dilihatnya akur sahaja. Nampak sahaja perubahan dia pasti akan pantau. Memang Datin Su peka dengan perubahan Datuk. Bukannya Datuk tidak syak dengan amalan Datin malah sudah berbuih mulut dinasihati. Nampaknya tabiat yang satu itu sukar dikikis daripada Datin.
 
Beberapa pertemuan diatur dengan Mak Piah  kerana percaya kuasa Mak Piah sangat berkesan. Datuk akhir-akhir ini melekat di rumah sahaja. Tetapi sayang Datuk kembali sibuk dengan kerja-kerja luar daerahnya. Setiap kali Datuk tidak pulang, hati Datin Su pasti akan bergelora. Bukan sehari dua tetapi Datuk menghilangkan diri berminggu-minggu. Alasannya menguruskan perniagaan di Kota Singa tidak pun di bandung.
 
“Laili, Datuk buat hal lagi. Geram I… ” rengus Datin Su suatu petang. “Apa sudah jadi?” “Datuk dah tiga minggu kerja luar. Seminggu balik, pergi lagi. I sangsilah. Kerja apa sampai tak balik-balik. Kalau ditegur boleh jadi gaduh besar. I rasa ubat Mak Piah dah tak berkesan. kita perlu cari yang lain,” ujar Datin Su nekad.
 
Bersungguh-sungguh Datin Laili menggali berita baharu. Walaupun kini kita berada di zaman teknologi, masih ramai orang percaya pada ilmu hitam dan main bomoh. Datin Su mendengar satu cerita baru disampaikan Datin Laili. Ada seorang bomoh handal di negara seberang khabarnya sangat berkuasa. Apa sahaja diminta pasti menjadi. Bukan main lagi Datin Su teruja mendengarnya. Mahu diatur mereka pergi ke sana dengan kadar segera.
 
Seminggu juga Datin Su dan Datin Laili berada di luar negara bertemu dengan bomoh yang dikatakan hebat itu. Sementara itu Datuk di Kuala Lumpur bersenang lenang dengan kekasih baharu. Dia juga mengambil kesempatan bertemu anak lelakinya hasil perkahwinan kedua yang dirahsiakan daripada Datin. Anak lelakinya itu berusia 10 tahun. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang. Datuk bijak merahsiakan hal rumah tangga keduanya. Dari berkahwin sampaikan dah cerai pun Datin masih tidak tahu. Anak pun dah besar panjang. Terbaru Datuk ada kekasih lebih muda dan seksi.
 
Bukan Datuk tak tahu hobi isterinya yang suka main bomoh. Kadang-kadang dia ikutkan sahaja permainan Datin. Kalau dia mahu keluar daerah (sebenarnya pergi ke rumah skandal), pasti dia akan diam-diam seminggu di rumah. Datuk akan akur dengan apa sahaja kemahuan Datin. Selebihnya dia lebih banyak berlakon. Mati-mati Datin Su akan percaya amalannya berhasil.
 
Masalah terbaru Datuk, dia kini berkenan dengan seorang model tersohor. Gadis manis berkaki panjang itu sangat digilainya. Kekasinya Nora pula mula buat perangai. Datuk sering diugut segala rahsianya selama ini akan dibongkar kepada Datin. Datuk agak susah hati tetapi yakin dia mampu merahsiakan kegilaannya itu. Alangkan Datin dia boleh putar alam, ini kan pula gadis mentah seperti Nora. Lalu Datuk meneruskan hubungan dengan Nora dan dalam waktu yang sama bersama model cantik itu.
 
“Dia ingat aku bodoh macam Datin. Tahulah langit ni tinggi atau rendah.” Dendam seorang bernama Nora tidak cukup dengan kata-kata dalam hati. Dia bertindak lebih dari itu. Lalu dia pergi mencari Datin Su yang ketika itu berada di luar negara. Nora nekad akan membongkarkan segala rahsia Datuk selama ini.
 
Datin Su pulang ke Malaysia dengan hati berbunga riang. Sampai di rumah hatinya gundah mendapati Datuk tiada di situ. Menurut pembantu rumah, Datuk sudah seminggu tak balik-balik.
 
Satu pesanan ringkas di telefon bimbitnya juga sangat menganggu emosi. Ada mesej daripada perempuan bernama Nora kelihatan penting mahu bertemunya. Sepanjang dia di luar negara dia menahan diri. Balik ini akan dia ketemu perempuan bernama Nora itu. Ketika berkira-kira mahu mengatur pertemuan, Nora lebih pantas, tiba-tiba muncul di muka pintu. Hati Datin Su kurang senang.
 
“Saya sudah dua tahun menjalin hubungan dengan Datuk.” Kenyataan itu bagaikan petir di cuping telinga Datin Su. “Sebelum itu Datuk pernah berkahwin dan telah pun bercerai dengan perempuan lain. Mereka punya anak berusia 10 tahun. Datuk masih berhubung dengan  anak lelakinya itu.”
 
Bagaikan hendak pecah dada Datin Su mendengar perkhabaran dari mulut Nora itu. Apakah benar cerita yang disampaikan Nora? Mungkin juga perempuan ini sekadar berdusta demi membalas dendam. Datin Su diam seribu bahasa. Telefon bimbit dihulurkan Nora. Gambar kanak-kanak berusia 10 tahun yang didakwa anak lelaki Datuk sedang tersenyum di sisi seorang wanita. Apakah itu bekas madunya seperti yang diceritakan Nora?
 
“Datuk sekarang sedang mabuk kepayang dengan seorang model bernama Zura. Dia fikir dapat menyoroknya daripada saya. Tidak semudah itu.”
 
Oh., disebabkan dendam Nora terhadap Datuk, semua kisah hitam di belakangnya sudah diketahui kini. Datin Su mengusir Nora keluar dari kediamannya. Dasar perempuan tak guna. Dia fikir aku akan menyokong dan bersimpati dengan dirinya, desah hati Datin Su.
 
Datin Su meluru ke kamar dan mencapai semua bahan diberikan bomoh, tukang tilik atau tabib. Lalu kesemuanya dilemparkan bertaburan di kolam renang. Datin Su amuk satu rumah sampaikan pembantunya ketakutan. Datuk balik dengan ketakutan melihat kediaman mereka sebegitu rupa. Dia sepertinya tahu ini angkara siapa.
 
Kali ini Datuk lebih berterus-terang. Datuk meminta izin mahu bernikah lagi. Hendak melarang, bimbang Datuk bakal meninggalkannya. Sedangkan seluruh wang simpanan sudah semakin susut. Tak pernah kekal simpanannya kerana ada-ada sahaja dibelanjakan. Semuanya berhabis demi mempercayai bomoh, tukang tilik dan tabib.
 
Pada saat ini mahu sahaja dia jejak semula semua bomoh pernah ditemui. Namun tiada gunanya dia berbuat demikian. Nasi sudah menjadi bubur. Bukannya salah orang lain, salah diri sendiri kerana mempercayai benda-benda khurafat seperti itu. Sejak terbongkarnya rahsia Datuk, Datin Su sudah tidak lagi bersahabat dengan Datin Laili. Dia menyendiri kerana terlalu malu. Dirasakan semua mata sedang memandangnya dengan penuh ejekan.
 
Inilah padahnya terlalu asyik mahu mengikat Datuk. Tanpa dia sedar Datuk sebenarnya mengatur langkah lebih panjang di belakangnnya. Berita terbaru mengenai Datin Su, dia akur bermadu dengan model bernama Zura itu. Dirinya terpaksa menerima hakikat. Hendak membantah takut kemewahan dimiliki ditarik suami. Tabiat lama sudah dibuang jauh. Datin Su lebih banyak bersendiri di rumah.

See also
QUZANDRIA NUR