Korner Mak Datin: Kerana Birkin Madu Bergaduh

Korner Mak Datin: Kerana Birkin Madu Bergaduh

DatinX-Gambar: Arkib GLAM

 
Saya singgah di rumah Datin Maria sekadar ingin bertanya khabar. Datin Maria yang saya panggil auntie Maria ialah sepupu kepada emak saya. Cantik orangnya. Saya selalu kata namanya memang sesuai dengan orangnya. Tinggi, bergaya, berkarisma dan berpendidikan tinggi. Cuma barangkali dia tidak ada banyak luck dengan lelaki. Itu kata hati saya sebab zaman remajanya dia ni asyik putus cinta. Berkawan dengan lelaki hebat-hebat belaka; anak raja, anak Tan Sri, anak Datuk tetapi akhirnya menjadi isteri kedua kepada seorang small businessman.
 
Betul, selain ibu bapanya yang menentang hebat sampai tidak mahu mengaku anak untuk beberapa jangka waktu, sanak saudara dan rakan taulan pun amat hairan kenapalah Maria memilih suami orang yang bukan sahaja tak kaya mana, tak handsome pun dan ada lima anak. Namun itu ketentuan Allah, jodohnya dengan Azman. Tiada majlis perkahwinan dan nikah pun senyap-senyap.
 
Mulanya kedengaran cerita si madu menyerang, malah pernah memakinya di khalayak. Madu di sana wajah pun mirip-mirip Maria, itu kata emak saya dan cerita emak, si madu pernah ke pejabat Maria mengamuk. Menyerang mengatakan suaminya tidak pernah balik rumah sejak berkahwin. Menuduh si Azman tidak memberi lagi nafkah kepada lima anak dan pelbagai cerita busuk semenjak bermadu. Sorotan daripada kisah serang tadi perangai Maria diadukan kepada pihak atasan. Sebagai pegawai tinggi, huh cukup memalukan apatah lagi tidak ramai yang tahu bahawa Maria berkahwin, jauh sekali bermadu. Namun, katanya dia amat  sayangkan Azman. Biar apa pun terjadi dia tidak akan meminta cerai.
 
Semua itu tinggal kenangan. Bukankah saya kata Maria bijak, madu dan anak-anak akhirnya bukan sahaja menerimanya tetapi sudah berbaik-baik. Kunjung mengunjungi dan melancong bersama Maria, gembira sebab taraf hidup mereka sudah jauh berbeza. Azman pun sudah kaya, dapat gelaran Datuk dan kedua-dua pun happy sharing ‘Datinship’. Rumah teres dua tingkat di sana sudah disewakan dan tinggal di banglo, dan Maria pun sudah lama meninggalkan kerja lamanya. Kini menjadi usahawan. Happy, kata orang tiada lagi porak peranda, dan kalau orang di sana pun sudah gembira dengan kemewahan yang ada, sepatutnya no more complaints.
 
Rupanya air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Itulah perkataan Maria kala saya Tanya hubungan dengan orang di sana. “Nak buat macam mana, kita ambil laki orang? Tapi orang tidak tahu balas budi,” katanya macam sakit hati. “Habis auntie tak berbaik lagi ke dengan madu?” “Baik itu baiklah, takkan nak serang atau mengadu tak happy dengan perangainya. Tetapi dia mesti ingat, I bekerja, tetapi dia itu lady of leisure. Tak ada duit, minta pada laki. Nampak kita tukar kereta, dia pun nak kereta yang lebih cantik. Nampak kita ada apa-apa pun dia mesti hendak, mana boleh… auntie beli duit sendiri. Azman lambak duit di sana, di sini dia ingat auntie tak perlukan apa-apa, lalu dia lepas tangan. Tapi bisnesnya kalau bukan auntie yang jalankan, memang boleh bankrap.”
 
“Uncle Az di mana sekarang?” Holiday di Australia, bawa anak-anaknya. “Kenapa auntie tak ikut sama?” “Habis siapa nak jaga syarikat, siapa nak uruskan semuanya. Dua pengurus sudah berhenti, akauntan yang ada pula lembab… dan on and on auntie Maria mengadu itu ini. “Kalau macam itu sampai bila pun auntie dan anak-anak tak pergi ke mana? Kalau auntie pun tak percayakan uncle dan staf untuk uruskan, sampai bila pun auntie akan melekat kat ofis, Datin dan Datuk enjoy.” “Taklah begitu Farah…” “Tapi tadi auntie yang cakap. So, apa perancangan sekarang… are you still in love with uncle?” Membuat auntie Maria tersentak. “Maksud Farah? Farah nak uncle auntie bercerai?” “Siapa cakap macam itu, tetapi kalau uncle betul-betul sayangkan auntie, dia mesti adil dan beri sama rata. Sorrylah auntie, berapa kerap uncle spend di sini berbanding di sana? Bergilir-gilir atau macam mana?”
 
“No Farah you don’t get me… I am happy with all the arrangement. Auntie pun bukan benci dia tapi semenjak menjadi Datin ini, nampaknya madu di sana hidung tinggi sikit. Asyik-asyik nak bergaya, nak tempah baju designer, hello… satu baju itu harganya berapa? Dan sekejap-sekejap nak beli handbag, nak beli kasut branded, please lah, dia ingat laki dia banyak duit. I yang tahu tentang akaun, auntie yang tahu berapa keluar masuk duit. Auntie bukan kedekut tetapi kalau lebih-lebih sangat auntie naik meluat!”
 
“Betullah, tapi auntie pun melaram jugakan. Kalau dia tempah baju Rizalman, auntie pergi kat Bernard. Kalau dia pakai baju Zara, auntie beli yang high end, no more high street macam sekarang. Upps… saya pula melebih-lebih membatu apikan auntie,” kata di hati. Bukannya nak menyejukkan dia, malah buat dia bertambah marah.
 
“Yalah auntie, lama tak tengok koleksi auntie,” saya menukar tajuk perbualan. Dulu-dulu kalau ke sini saya suka geledah almarinya. Dan auntie Maria pun suka tayang handbag barunya atau kasut Gucci atau Lanvinnya tetapi semenjak dia kahwin, saya pun jarang masuk biliknya. “Since uncle tak ada, Farah teringin nak tengok baju-baju auntie,” pintas saya. Dan terus terang, saya belajar mengenai fesyen pun daripada dia. Dia ada the latest handbag dan terdahulu memilikinya. Kalau hal membeli itu dia memang pandai, dia ada taste. Dan beg-begnya dijaga macam jaga anak. Itu sebelum dia beranak dua, mungkinkah auntie Maria sudah tak minat lagi melaram atau duitnya dibelanjakan orang sana, dan dia redha aje?
 
Kami naik ke atas, ke bilik auntie Maria. “Sudah buat renovation, saya menegur, dan ada walk-in wardrobe.” Excitednya saya, auntie Maria memang ada kelas.
 
Saya bukan main happy, membuka satu persatu kotak… bestnya sudah ada Birkin, saya pula melaram mengelilingi bilik. Tiba-tiba auntie bersuara… “Sebab beg Birkin itulah…” Saya terpinga-pinga. “Apa ceritanya auntie?” “Okay, selama ini auntie pun taklah berapa kisah. Tapi seperti apa yang auntie kata tadi, sejak menjadi mak Datin, dia perasan dan tak habis-habis nak bergaya, pantang tengok apa yang auntie ada, dia akan minta pada Azman. Satu hari Azman pergi ke London, auntie pesan belikan Lady Dior, Azman belikan. Dia punya marah sebab uncle beli satu saja. Dia kata mana dia punya. Kenapa tak beli untuknya? Azman kata, I yang kirim. Dia kata, “I don’t care, I want the same one.” Hello, takkan I nak boria dengan dia? Dia mengamuk, sampai telefon auntie. Dia kata Azman tak adil, Azman melebihkan I. Jadi auntie jawab, “Kak saya beli dengan duit sendiri.” Dia jawab, “duit you duit laki I juga.” Buat darah auntie menyirap. “It’s my money, not his, and anyway kak, saya tidak sukalah kalau apa yang saya ada, akak juga hendak, saya kerja siang malam.”
 
Bila dia dengar, terus dia jawab, “Siapa suruh awak kahwin dengan Azman, dan Azman sudah janji whatever dia belikan you, dia akan belikan I.” Sambil menghempas gagang telefon. Darah auntie menyirap, perempuan tak sedar diri, kamu tahu tentang brand pun aku yang ajar. Kamu dapat beg LV yang pertama pun aku yang hadiahkan. Janganlah hendak cari fasal dengan aku. Mentang-mentang aku baik dan tak berkira sangat, kamu pijak kepala kau.”
 
“So Farah tau, Azman suruh I berikan beg Lady Dior itu padanya sebab dekat butik di sini sudah habis. Dan Azman terus pujuk, “I buy you another one.” No Azman, you don’t have to, just give this to her. I’m not interested anymore.” Serius Farah, waktu itu auntie rasa nak menjerit pada dia, tapi entah apa yang dipakainya, hati auntie sejuk semula. Sebaliknya, auntie masukkan beg itu dalam kotak dan suruh Azman bawa balik. Dan dia sampai hati, membawanya balik ke sana. Auntie menangis masa dia angkat kotak beg itu. Tapi auntie cakap, “it’s alright… I pun sudah ada Lady Dior lama.”
 
“Jadi cerita Birkin ini pula?” Maria terdiam lama. “Cerita yang ini buat auntie rasa, entahlah… tapi sampai auntie terfikir, do I have to continue my marriage?” “Oh auntie… sampai kat situ pula.” “Tak tahulah…you know Farah, auntie kan gila beg. Jadi masa dia nak Dior tu still okay. Dan auntie tahu yang warna itupun susah nak dapat tetapi tak mengapalah. But… kalau dia nak my Birkin?” “That is too much…” Saya pula menjawab, “Bukan itu sahaja, dia pun sudah tahu bukannya boleh terus beli kat kedai, di sini ada senarai menunggu. Dulu dia tak faham maksud waiting list, auntie juga yang beritahu dia. Dulu dia pun tak kenal jenama Hermes, tapi hari ini berangan-angan hendak bawa Birkin. Tengoklah muka sikit… setakat Dior, LV itu okaylah… tapi kalau duit tak pandai cari, janganlah nak kalahkan taukeh.”
 
So dia pun tarik muka dan demand, that’s not fair. Jadi auntie jawab, “cukuplah akak, saya pun rasanya selepas ini tak mahu lagi beli beg. Ia sudah memenuhi keinginan saya selama ini. This is one and only. My friend yang booking tapi bila produk masuk, dia tak mampu bayar. Dan saya beli dengan duit simpanan saya sendiri.” Dia melenting lagi.
 
“Kalaulah dia sebelah auntie, auntie sepak dia. Of course I didn’t give it to her.” Si Azman bodoh tu, mana dia tahu mengenai beg, “Yang… tak cantik mana pun begnya, beg Gucci you lagi cantik.” “Cukuplah Az, enough is enough. Sekali I boleh mengalah, dua kali tidak. Ini Birkin, you faham tak? Dan kalau you sebut lagi nak kasi dia atau dia telefon cemburukan beg Birkin I, you jaga. I pun ada maruah, ada had sabar… This is my final warning. Atau you and your tamak wife can get lost!”
 
Azman tersentak… “Apa yang sudah masuk dalam kepala you, sebab beg tangan hendak bercerai berai? Berapa sangat ke harganya?” “Az, kalaupun harganya seribu, I tak mahu kasi, Inikan pula puluh-puluh ribu.” Azman terbeliak mata, you beli beg puluh ribu. You gila ke?” “Gila tak gilalah cik abang oii… I punya hak and my money. Dan hari ini I’m telling you, I tak akan mengalah lagi. I dah tak mahu lagi hendak tipu diri okay. I pun ada hati dan perasaan dan bini you di sana tu perasan, nak melawa tapi habuk pun tak ada. Suruhlah dia bekerja cari duit supaya boleh beli apa yang dia suka. You bayangkan Az, I yang penat bekerja, dia yang enjoy gila. Dan apa yang I ada dia ada, hello… Auntie ambil kunci kereta, pegang beg itu, ajak budak-budak masuk kereta. Auntie tak kisah, biarlah dia balik ke rumah bininya. Malam itu kami check-in Hotel Nikko. Sebelum itu sempat shopping dekat Parkson KLCC, kami beli baju dan seluar dalam,” sambil ketawa bercerita.
 
“Dahsyat auntie ya,” kata saya. “Yalah, sudah melebih… Azman call seribu kali, minta maaf dan bininya pun ada call the following week selepas peristiwa itu. Dia kata, dia bukan apa, kalau nanti ada duit, dia pun teringin satu. “So auntie baik lagi dengan dia?” “Macam tu, macam tulah… Auntie cakap pada Azman bininya tu, suka hendak berlawan-lawan. Kawan-kawan dia pun jenis yang kaki cucuk dan Azman mesti control sikit gerak-geri bininya tu. Dia tu ada kawan yang jenis kaki kikis, dia pun ingat dia boleh kikis laki dia.”
 
“Nak tanya macam mana dia tahu auntie ada Birkin, siapa yang cakap?” Ini satu lagi cerita hot. Hari itu auntie pergi hi-tea, bawalah beg ni, terjumpa seorang Datin, dia tu baik dengan madu auntie. Dia terus cakap, “cantik beg you,” blah blah… dan sebelum dia berlalu pergi, dia tanya lagi, “ori ke fake?” Rasa bagaikan hendak hentak kepalanya dengan beg tangan ini. “Auntie jawab apa?” “Fake… beg-beg I semua fake,” dan saya berlalu dari situ. “Bitchy woman…” dan esoknya madu I call. Dia kata beg apa yang I pakai fake, kerana dia tahu I tak main fake. Auntie sebenarnya malas nak layan macamkan kita ini tidak ada cerita lain selain beg. Dia tanya dan tanya lagi… so auntie jawablah Birkin. “Betul ke fake… I tak percaya you.” So satu hari dia ternampak gambar I dalam Facebook kawannya itu. So, itulah yang dia bengang, dan dia tahu harganya mahal. Dia pun tahu yang auntie sudah lama teringin, sebab itulah dia bising dengan lakinya… suruh juga dibelikan satu. Bodoh si laki suruh I kasi, kalau tak kasi, pinjamkan kat dia sebab dia nak tayang kat kawan-kawannya.
 
“Itulah ceritanya Farah…” “Dan sebab Birkin, auntie hamper-hampir bercerai…?” “Ya… sekarang I nak cari beg tangan satu lagi, kulit buaya pula, biar dia menangis tengok.” “Memang kali ini I nak tayang dan nak tengok apa rekasinya…” “Auntie, are you looking for trouble?”
 
 

See also
Lily James Cinderella Moden