Korner Mak Datin: Hilang Kawan Hutang Bertambah, Obses Jenama Memakan Diri

Korner Mak Datin: Hilang Kawan Hutang Bertambah, Obses Jenama Memakan Diri

DatinX1
 
*Seperti yang diceritakan kepada Nurul Syuhada
 
Sejak sekolah lagi, Diana sudah celik jenama. Dari kecil, dia membesar melihat ibunya, Datin Zehan melaram dengan beg Lady Dior pelbagai warna untuk matching dengan setiap baju kurungnya. Selalu dia memerhati kawan-kawan Datin berkunjung ke rumah, semuanya sama bergaya dengan beg dan kasut berjenama (…waktu itu semua pakai kasut Charles Jourdan!) kemudian nak shopping pun di galeri prestij KL Hilton sahaja. Masih jelas di ingatan Diana bagaimana dia kerap mengikuti ibunya ke butik Louis Vuitton yang terletak di hotel tersebut setiap kali selesai menyaksikan fashion show sambil menikmati high tea di loungenya. Ahh…. that was the 80’s!
 
Masuk saja zaman kolej, Diana dihantar menuntut di London. Itulah saat yang paling dinantikannya kerana dia mahu bebas untuk berbuat apa sahaja. Tiada lagi kongkongan keluarga. Lebih mengujakan bila dia dibenarkan pegang duit sendiri dalam kuantiti yang banyak. Datuk dan Datin percayakan Diana 100 peratus kerana anaknya memang all A student. Namun bijaksana dalam akademik tidak semestinya diukur sama dengan kepandaian dalam merancang kehidupan harian.
 
Di kolej, Diana masih memiliki beberapa teman dari Malaysia yang mana masing-masing datang dari keluarga berada. Mereka bergabung menjadi satu clique teman-teman elit. Nak makan atau parti hanya di restoran mewah atau kelab eksklusif saja. Pakaian, beg, kasut… top-to-toe serba serbi berjenama dari Kenzo hingga ke Versace. Diana dan kawan-kawannya memang mempergunakan sepenuhnya kemewahan yang diberi oleh ibu bapa masing-masing tanpa memikirkan esok lusa.
 
Tamat pengajian, Diana dan kawan-kawannya merancang mahu mencari kerja di London dan terus menetap di sana. Belum pun sempat memasuki alam pekerjaan, tiba-tiba ekonomi negara merudum pada 1997. Akibat desakan keluarga, Diana tiada pilihan selain pulang ke tanah air. Itu pun setelah Datuk mengugut untuk tidak lagi memasukkan wang ke dalam akaunnya. Dalam berat hati, dia kembali membawa bersama habit mewahnya.
 
Walau banyak perniagaan tenat waktu itu, keluarga Diana bertuah kerana Datuk sudah lama beringat sebelum hujan. Mereka sekeluarga masih boleh bermewah-mewah tetapi diingatkan haruslah berpada-pada. Datuk menyarankan agar mereka sekeluarga berbelanja dengan sederhana. Datin Zehan pun sudah jarang membeli barangan berjenama. Bukan sekadar disebabkan oleh status kewangan keluarga, tapi dia sendiri pun sudah muak lebih-lebih lagi bila makin lanjut usia.
 
Diana juga boleh dikira bertuah. Sampai sahaja di Kuala Lumpur, sudah ada syarikat yang menyambarnya untuk diberi kerja; untung bila mempunyai bapa dari kalangan mereka yang berpengaruh.
 
Dalam pada keadaan ekonomi gawat, dia masih mampu shopping di butik berjenama. Gucci memang kesukaannya ketika itu. Setiap bulan sebaik dapat gaji dia akan mengunjungi Starhill untuk memuaskan nafsu membeli-belah nya. Gucci, Fendi, Celine, kemudian semakin advance apabila Diana sudah mula berani berbelanja di Hermes dan semakin pandai berjam mewah yang harganya mencecah puluhan ribu ringgit. Diana had it all.
Tahun ini Diana bakal menjejaki usia 40. Fizikalnya bertambah matang namun fikirannya bertambah kusut gara-gara terjerat dengan kejahilan diri sendiri. Hutang kad kredit dan pinjaman peribadi keliling pinggang. Dia menyorokkan dari pengetahuan keluarganya kerana dia tahu betapa bodohnya berhutang hanya kerana mahu bergaya.
 
Ceritanya bermula dari kelompok kawan Diana sendiri. Masih berhubung dengan kawan-kawan dari zaman kolej, masing-masing sudah ‘naik taraf’ dari jenama mewah biasa dan sekarang sudah mampu mengendong beg Birkin seorang satu. Diana sebenarnya berjawatan besar tetapi masih tidak mampu kerana makan gaji. Nak minta pada ibu bapa, malu pula sebab dia bukan anak muda lagi.
 
Saat paling stres buatnya adalah bila kawan-kawan ajak hang out bersama. Pertama sekali, nak berjumpa orang kena pasang badan. Nak buat rambut di salun selang dua tiga hari sekali, memang terasa ‘sakitnya’. Kalau ada event, bayar makeup artist boleh tahan mahalnya.
 
Keduanya, makan bukan murah. Diana selalu memberi alasan ‘diet’ supaya dia tidak segan memesan makanan paling murah dalam menu. Ketiganya, dia tertekan kerana merasakan dia perlu keep up dengan gaya hidup kawan-kawannya. Sekarang semuanya menjinjing Birkin atau Kelly, at least Chanel – no less!
 
Rasional Diana menyamakan situasinya dengan seorang businessman. Kalau nak dapat projek, siapalah mahu percaya kalau kereta yang dipandu pun biasa-biasa saja. Paling tidak BMW. Barulah orang yakin dan percaya!
Kalau bertemu dengan kawan-kawannya, setiap momen dirakam di telefon untuk dimuat naik ke dalam Instagram. Masing-masing melaram dengan objek wajib – beg Birkin, gelang Cartier dan seutas jam berlian mewah. Tentu sekali Diana tak mahu kalah. Dan bila ada girls day out ke acara koktel dalam butik, malulah Diana kalau dia tidak pulang paling tidak dengan satu barang biarlah cardholder sekali pun.
 
Diana juga pantang kalau kawan-kawan mengajak pergi bercuti. Walau pun sekadar ke Bali untuk getaway hujung minggu, dia gagahkan juga walau dia tahu keadaan kewangannya tidak mengizinkan. Bali bunyi sahaja dekat, tapi duit hotel, makan dan lain-lain lagi bukan murah. Mana ada istilah hotel badget dalam vocabulary kehidupan kelompok kawan-kawannya. Naik flight pun paling tidak mestilah duduk Business Class. Takkan lah dia seorang sahaja yang terlepas di bahagian Ekonomi!
 
Setahun dua lepas, Diana dan kawan-kawannya ada melakukan girls trip ke Selatan Eropah selama hampir dua minggu. Bermula dari Sepanyol dan berakhir di Turki, Diana betul-betul ambil peluang untuk bercuti lantas menutup mindanya kepada segala masalah yang sedang membebani. Travel dengan kawan-kawan yang kaki shopping, jadi Diana pun turut serta berbelanja seperti tiada lagi hari esok. Balik hotel, Diana telan air liur melihatkan rangkaian beg-beg kertas hasil ‘tangkapan’ saban hari. Sampaikan sewaktu pulang, terpaksa bayar lagi excess baggage kerana beg yang sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung berat barang-barang yang dibelinya yang kebanyakannya kasut dari Louboutin ke Vivier.
 
Pulang ke tanahair, Diana masih lagi enggan mengira perbelanjaannya sewaktu di Eropah sehinggalah statement bank sampai ke kotak surat kediamannya. Peluh sejuk membasahi dahinya. Diana kembali tak senang duduk. Merenung kasut-kasut, beg-beg serta baju-baju baru yang masih bersepah di lantai kamar tidurnya, Diana mulai terfikir sendiri… bilalah agaknya dia berkesempatan nak pakai kesemuanya. “Do I really need the same bag in three different colors? And how would I walk in those super high heel shoes?!” Diana sedar yang lebih dari separuh dari barangan yang dibeli, langsung tidak diperlukan olehnya. Banyak lagi baju dalam gerobok pakaiannya yang masih belum berpakai malah masih lagi bertag!
 
Walau dia cuba menyakinkan dirinya yang dia pasti mampu keluar dari masalah kewangan ini, jangkaannya meleset apabila banyak bilnya backdated. Hujung bulan waktu paling ditunggu Diana untuk mengira wang gaji membayar bil walau ketika ini dia hanya mampu membayar bunganya sahaja bagi mengelakkan dikejar pihak bank.
Masalah kewangan Diana juga disumbang oleh hubungan cintanya yang tidak berkesudahan. Lima tahun lepas, Diana berpindah masuk ke rumah baru bersama teman lelakinya. Walau pun sudah lama bersama, mereka tidak berkahwin. Si boyfriend ini tidak tahu akan masalah kewangan yang dihadapi Diana. Yang dia tahu, girlfriendnya anak Datuk, kerja besar dan ada high taste dalam fesyen. Diana sendiri berpura-pura yang semuanya okey. Dia malu kalau rahsianya pecah.
 
Jadi sewaktu berpindah ke rumah baru, mereka berdua berbelanja besar untuk membayar interior decorator dan membeli perabot serta perkakas rumah. Diana pura-pura gembira walau dalam hatinya seakan menggigil kerana terpaksa mengeluarkan wang yang sebegitu banyak. Itu pun bukan wang simpanan sendiri tetapi pinjaman peribadi yang diambilnya secara senyap-senyap.
 
Pendek kata, kerana mahu jaga air muka, Diana menghabiskan wangnya dan membuat pinjaman demi membeli pakaian, beg dan kasut berjenama; demi memenuhi keperluan gaya hidupnya. Paling menyedihkan demi cinta yang belum tentu pasti apabila dia juga turut ‘mengeluarkan wang’ untuk membina mahligai impian bersama kekasih hatinya.
 
Satu hari, reality hits. Ada orang mengetuk daun pintu rumah. Seorang lelaki yang berperwatakan kasar dan selekeh, datang memberinya satu notis dari bank. Diana kecut perut. Mujur teman lelakinya tiada di rumah. Di minggu yang sama, satu lagi notis diselitkan di pintu gril. Satu lagi notis dari bank lain yang mahu menyeretnya ke mahkamah. Nasiblah Diana yang sampai dulu ke rumah dan bukan teman lelakinya. Kalau tidak pecah tembelang!
Minggu itu Diana seakan tidur tak nyenyak mandi tak basah. Dalam kepalanya berfikir bagaimana dia mahu melepaskan diri dari kedudukan kewangannya yang semakin parah ini. Mahu saja dia pergi berlari pulang ke rumah ibu bapanya meminta tolong. Tapi dia tak sanggup apatah lagi Datuk dan Datin cukup marahkannya bila mengetahui dia kini bersekedudukan dengan lelaki yang bukan suami.
 
Fikir Diana, dia wanita bijak. Di mana silapnya hingga dia boleh terbabas sampai ke tahap kritikal sebegini? Dia sebenarnya tahu apa yang perlu dilakukannya cuma dia in denial sahaja. Satu hari, dia mengumpul kekuatan dan mula mengambil tindakan drastik. Bunyinya macam cerita filem namun ia benar-benar berlaku.
 
Diana mula memunggah beg-beg berjenamanya. Walau teramat sayang, Diana mengambil keputusan untuk menjual hampir kesemuanya ke sebuah kedai second hand di Bangsar. Mahu jual pada kawan-kawan, dia malu. Habis kosong walk-in wardrobenya dan yang hanya tinggal satu dua buat kenangan. Cukup perit Diana mahu melepaskan beg-beg kesayangannya apalagi terpaksa dijual dengan harga terlalu murah akibat dia sendiri sudah terlalu terdesak. Habis jam tangan berlian serta beberapa barang kemas terpaksa dipajaknya. Bila dikira-kira balik wang yang diperoleh, hanya cukup-cukup untuk menyelamatkan dirinya dari diheret ke mahkamah. Bagi Diana, itu pun sudah cukup baik. Buat pertama kali, Diana tidur nyenyak malam itu.
 
Sejak saat itu, Diana menjauhkan dirinya dari kawan-kawannya yang high maintenance dan memberi pelbagai alasan tidak mahu bertemu. Hinggakan sesi gim pun Diana lepaskan kerana tak sanggup lagi bersemuka dengan orang yang dikenalinya selain sudah tidak mampu lagi untuk renew membership. Semua keliru mengapa Diana tiba-tiba mahu menyendiri. Tapi situasi ini lama kelamaan menjadi reda dan Diana sudah tidak dipedulikan lagi oleh teman-temannya.
 
Ketika ini Diana hanya memberi tumpuan untuk mengurangkan hutang-hutangnya memandangkan umur pun bukan muda lagi. Dia juga sedang memikirkan ke mana pula hala tuju hubungannya bersama teman lelakinya itu. Bukannya dia tak pernah diajak kahwin, tapi Diana asyik menangguhnya dari tahun ke tahun kerana dia tidak mempunyai wang sebagaimana yang difikirkan oleh teman lelakinya.
 
Lagi pun Diana sudah tak kuasa lagi mahu berpura-pura untuk hidup bermewah-mewah. Boleh dikatakan setiap hari makan luar, poketnya sakit mahu membayar bil yang tak pernahnya kurang RM100 untuk satu meal walau yang makan hanya mereka berdua. Tabiat si teman lelaki yang cukup suka mencuba kafe-kafe baru begitu merisaukan Diana. Bagaimana kalau dia dapat tahu hal sebenar? Apakah Diana akan terus ditinggalkan? Seribu satu persoalan bersarang dalam kotak fikirannya.
 
Kalau diikutkan, Diana boleh dianggap sudah tidak mampu lagi untuk memandu kereta sport kesayangannya memandangkan nak isi petrol pun sekarang berkira-kira. Diana pun sudah tidak layak lagi menduduki kondominium dupleksnya yang berlokasi di kawasan elit, memandangkan bayaran bulanan pun banyak kali tersangkut. Diana tahu yang dia perlu belajar untuk downgrade gaya hidupnya sebagai salah satu jalan untuk menyelesaikan kekusutan ini.
 
Diana kini sedar yang masa tidak menunggunya. Dia sedang mengumpul kekuatan untuk come clean pada kekasihnya. Jika dia menerima Diana seadanya dan sanggup melalui susah senang bersama, alangkah syukurnya. Tapi jika reaksi teman lelakinya adalah yang disebaliknya, Diana sudah bersedia. Kalau terpaksa pindah masuk balik ke rumah ibu bapanya, dia tidak kisah. Janji Diana pada diri sendiri, “I will get out from this mess, fixing my life one problem at a time.”
 
 

See also
Tamat Sudah Riwayat 3 Peserta America’s Next Top Model Ini