Korner Mak Datin: Dilema Lelaki Beristerikan Datuk
Gambar: Arkib GLAM
Hujung minggu ini, nak masuk rumah ketujuh saya dan suami bertandang ke open house raya rakan dan saudara di sekitar Lembah Klang. Paling jauh ke Kota Kemuning, banglo Datuk Said yang latarkan pemandangan padang golf dan sunset petang yang melabuhkan tirai Ahad itu sebelum kami bergegas pula ke open house Tengku Muna di penthousenya di tengah Kuala Lumpur.
Mujur jemputannya dari petang hingga ke 10 malam, kami tak perlu rushing sangat dan ambil masa untuk refresh. Datuk pun nak singgah solat di masjid sebelum Maghrib habis, jadi kami meninggalkan Kota Kemuning sebaik mata hari terbenam.
Memang dah agak walaupun tak makan banyak, lebih baik menyarung persalinan longgar dan baju kurung Alia Bastamam adalah yang terbaik untuk digayakan pada hari yang sungguh adventurous itu. Sekadar menjamah manja hidangan di setiap open house, kalau dah tujuh rumah, memang lengkap makan satu hari bermula makan tengahari di rumah kakak ipar di Ampang.
Dan oleh sebab dah berjumpa dengan semua rakan di semua open house ini, saya dan suami tak bercadang untuk buat rumah terbuka tahun ini. Kalau ada yang mahu bertandang raya, datanglah saja jika kami ada di rumah. Rumah saya sentiasa terbuka, jika ada masa saya siapkan sedikit hidangan sekadar yang sempat. Kuih raya memang berbalang-balang menanti yang saya pesan dari Zureena yang menjual kuih raya premium buatan chef selebriti terkemuka katanya. Mujurlah sedap tetapi harganya juga memang premium, tapi tak kisahlah asalkan sedap dan lain dari barisan kuih muih di rumah orang lain.
Namun walau saya mahukan kelainan, Datuk mesti mahu kuih tat yang saya buat, dah cuba beli dia masih tak suka. Untuk raya tahun ini saya hanya sempat buat beberapa balang untuk rumah saja dan tak cukup untuk dibawa ke rumah mentua di Hulu Selangor.
Setibanya di rumah Tengku Muna, kelihatan beberapa tetamu sedang bersembang sambil merokok di ruang balkoni yang menyajikan pemandangan sipi KLCC dan di bawahnya kotaraya yang dilimpahi cahaya malam. Tengku Muna nampak seperti penat tetapi menyambut kami dengan senyuman dan membawa kami ke dining hall yang indah dengan table setting oleh lifestylist popular di Kuala Lumpur berserta set pinggan mangkuk Wedgewood yang dibeli khas untuk raya kali ini. Segera dua pembantunya sibuk menyediakan hidangan pembuka selera sebaik saya dan suami duduk di meja twelve seater itu.
“Eh Muna, kami kenyang lagi lah… tak perlulah jamu begini,” suara saya yang sebenarnya sudah tak lalu nak menjamah juadah raya lagi. “Mana boleh Datin, you mesti try my laksa Johor. I buat sendiri tau. Sikit je… tapi rasa dulu I punya special Raya platter ya,” kata Tengku Muna yang dengan terperinci menerangkan hidangan yang terdiri dari chicken boxing percik, popia udang, kerabu kantan dan deep fried pumpkin strips yang disediakan oleh jurumasak restoran fusion ternama di Pavillion yang dibawa untuk masak di dapur Tengku Muna.
Selesai menjamu selera, kami pun dibawa bersantai di balkoni yang sama luas dengan ruang tamu Tengku Muna… cukup nyaman angin sepoi-sepoi malam itu di tingkat 18 kondo mewah yang berdiri gah ditengah metropolis ini.
“Datin, tu depan tu la duplex si Suria yang keluar dengan bekas menteri tu,” Tengku Muna menunjukkan bangunan apartment mewah yang berdepan dengan kondominiumnya itu.
“Dah lama dia duduk situ, rasanya sebelum I pindah sini. Haaa tapi yang sebelah tu pula mesti you tak sangka siapa yang duduk,” sambung Muna dengan menantikan jawapan saya atau inginkan pertanyaan “siapa”.
“Yang ada pool tu ke? Wah besar penthouse tu… ada garden lagi. Siapa duduk situ?” terpaksalah saya tanya untuk membuka cerita.
Memang Tengku Muna tunggu nak bercerita dan terus lupa dengan beberapa lagi tetamu yang ada di rumahnya kerana biar suaminya saja yang melayan mereka. Langsung, saya ditarik ketepi jauh dari suami yang sedang bersembang dengan Datuk Salleh yang baru pulang dari konvensyen besar di Sweden kelmarinnya.
“Itulah penthouse Datuk Suraiyah yang sekarang hebat dengan bisnes tonik herba D’Sury yang laris sampai ke Brunei dan Medan tu. Kan dia baru dapat Datuk-ship tiga bulan lepas, penthouse ni pun dia baru beli rasanya. Memang bulan turun ke riba!” cerita Tengku Muna beriya-iya mahu tegaskan betapa kayanya Datuk Suraiyah sekarang.
Tapi dalam kesenangan itu, kisahnya menjadi bualan kerana sang suami yang hanya orang biasa-biasa saja. Datuk Suraiyah sendiri datang dari keluarga yang mewarisi harta pesaka membolehkannya untuk memulakan perniagaan selepas berhenti bekerja di syarikat swasta beberapa tahun lalu.
Sejak dulu lagi ramai yang kenal dengan Suraiyah yang suka berbisnes, ada saja benda yang nak dijualnya di pejabat dan di kalangan rakan-rakan memang dia tak pernah duduk diam. Keazaman Suraiyah walaupun datang dari keluarga senang masih utuh mahu lebih berjaya dan saya mengenalinya kira-kira lapan tahun lalu ketika trip ke Bandung sudah dapat lihat Suraiyah bakal lakukan sesuatu yang besar satu hari nanti.
Azam bila berjaya kelak nak beli kereta besar, nak pakai beg berjenama juga dan nak berhias dengan berlian yang boleh dibeli bila keinginan. Waktu itu dia masih bertatih belajar nak berniaga, memang terpaksa tebalkan muka. Mungkin kerana datang dari latar yang suka bersederhana, Suraiyah tidak menyalahgunakan kekayaan keluarga sebaliknya mahu membina empayarnya sendiri.
Dan kala berkahwin dulu pun, suami yang hanyalah pegawai akaun di pejabat yang sama menjadi pilihannya.
Memang Shukry seorang lelaki yang cukup baik. Dia sanggup sambung belajar untuk berada setaraf dengan Suraiyah. Malah sering berkorban masanya untuk memastikan isterinya memberi tumpuan penuh pada kerjaya yang baru dibina itu. Semuanya kerana ingin keluarga mereka hidup senang kemudian hari. Lebih-lebih lagi hidup di kota metropolitan yang bukan saja kompetetif dan secara tidak langsung mereka juga berada dalam arus materialistik saat kejayaan mula hadir sedikit demi sedikit.
Tapi sekarang bila Suraiyah dah menjadi Datuk, mulalah kedengaran cakap-cakap yang menggelar suaminya Datin. Mungkin kerana Shukry masih makan gaji di pejabat yang sama dan cuma naik pangkat sebagai pengurus walhal isterinya kaya raya hingga kini mereka dah mampu nak menggaji dua pembantu rumah, seorang pembantu peribadi dan juga pemandu peribadi.
Mana tidaknya pasangan ini jadi bualan, Datuk Suraiyah mahu suaminya gunakan khidmat pemandu untuk ke tempat kerja selepas menghantar anak-anak ke sekolah. Ya lah memang cukup senang hidup Shukry sejak berkahwin dengan Suraiyah. Kata orang cuci kaki sebab semuanya sudah ada dan tak perlu susah payah menyara keluarga.
“Biarlah Su dengan bisnes dia. Tak payahlah risau pasal kami. Semuanya okey,” jelas Shukry kepada rakan sekerja sebelum ini yang sering bergurau tentang isterinya yang semakin popular kerana menggunakan wajahnya sebagai model produk jualan mereka. “Takkan tak takut bini orang ushar Syuk?” tanya rakannya. “Kenapa pula nak takut. Aku tau apa yang Su buat. Kalau dia nak kena bergaul dengan VIP sana sini pun semuanya sebab kerja. Yang penting niat. Aku percaya pada Su.” noktah Shukry setiap kali kisah begini yang menjadi bualan rakan-rakannya.
Namun dalam kesenangan itu mulut manusia memang bukan kuasa kita, Datuk Suraiyah membawa mereka sekeluarga berpindah ke penthouse itu kerana dah tak sanggup nak dengar atau layan kata-kata jiran sekeliling di Shah Alam itu mengenai keluarga mereka yang katanya dah terbalik sebab suaminya kerja biasa-biasa saja dan Suraiyah pula yang menanggung segala kesenangan mereka.
Selang beberapa hari selepas itu, saya ke majlis raya syarikat Datuk Suraiyah di hotel Hilton, seperti biasa, saya pun lewat tiba, jadi ada masa nak bersembang dengan Datuk Suraiyah yang masih mesra mengukir senyuman walaupun seharian suntuk melayan tetamu dan pelanggan yang khabarnya berduyun-duyun datang nak bertemu dengan iron woman yang dikagumi mereka ini. Orangnya manis dan kini berhijab buat Datuk Suraiyah lebih berseri-seri. Orangnya tinggi lampai dan gemalai kala melangkah melintasi dewan.
Persalinan baju raya Jovian Mandagie yang digayakannya cukup padan dengan susuk tubuhnya yang masih langsing seperti wanita lewat 20-an walhal usianya sudah pertengahan 40. Namun boleh dilihat ketegasan bila berbicara dengan pekerjanya dan kala memberi ucapan kepada ratusan pembekal dan pelanggan, ramai yang kagum dengan karisma Datuk.
“Ya lah Datin, I mestilah kena layan semua customer macam I mula dulu. Rezeki I ni datang dari mereka juga. Tapi kawan-kawan yang susah nak sokong sebenarnya, cakap belakang lagi banyak daripada nak sokong kita,” luah Suraiyah dalam nada kesalnya. Tak tahu macam mana, orang dalam kelompok mewah begini juga suka bercerita dan kisah orang memanggil suaminya Datin Shukry sudah hinggap di telinganya sendiri. Memanglah gosip dunia mewah ini lebih dahsyat tetapi kini rumahtangga Suraiyah yang menerima bahananya walaupun mereka tidak dilanda sebarang skandal.
“I tak tahu macam mana nak deal dengan benda ni. Syukry dah tak nak datang apa-apa majlis yang syarikat I buat lagi. Last week kami ada ke open house Mawar Prima dan orang di meja sebelah punya rancak bercerita pasal I and Shukry. Diorang tak sedar kami duduk di meja sebelah,” sambungnya dengan ekspresi wajah yang makin suram dan mata mula berlinang air mata.
Mujur kami sedang duduk di hujung dewan dan saya beri signal kepada pembantunya untuk tidak mengganggu kami buat seketika. Tak sangka Datuk Suraiyah yang digelar iron woman oleh pekerja dan pelanggannya ini mula menggeletar dan sebak.
Rupanya Shukry sudah keluar rumah membawa anak-anak yang berusia 11 tahun, sembilan tahun dan lima tahun itu pulang ke kampungnya di Terengganu. Walaupun selama ini Shukry menjadi tulang belakang menyokong kerjaya dan kejayaan isterinya, saat mendengar dirinya di gelar Datin Shukry telah merentap ego seorang suami yang setia selama ini.
“Shukry kata dia tidak mahu jadi penghalang kejayaan saya lagi. Dan biarlah dia saja yang menjaga anak-anak di kampung. I masih tak tahu hala tuju perkahwinan kami tapi seperti sudah tiada ruang untuk kami seperti dulu lagi,” ujar Suraiyah dalam sendu.
“Sabarlah Datuk, I think you boleh rujuk semula. Mungkin Shukry merajuk saja tu.” “Dia nekad Datin. Katanya dan lama dia tahan selama ni I workaholic dan abaikan anak-anak membesar.” “Selalunya bila urusan sekolah anak atau pelajaran mereka dia yang uruskan. I hanya beri wang dan kesenangan untuk mereka dan setahun sekali bawa bercuti ke luar negara. Itu saja,” bunyi kesal terpacul dari setiap katanya.
Selang dua minggu selepas kami bertemu, media heboh dengan kelibat Datuk Suraiyah yang hadir ke mahakamah Syariah. Wartawan media perdana dapat menghidunya dan jadi bahan berita sepanjang hari. Satu per satu spekulasi mula muncul. Ada yang mengatakan Shukry yang selama ini menjadi penasihat kewangan syarikat Datuk Suraiyah melarikan wang syarikat. Ada yang mengatakan Shukry bercinta dengan wanita muda yang juga pembantu peribadi isterinya.
“Sebenarnya, Shukry kecewa dengan Datuk Suraiyah yang semakin dingin bila tiba bab intimasi ni,” Sally membuka cerita bila saya bertemu denganya baru-baru ini. “Memanglah tak boleh nak salahkan Suraiyah pun, dia kerja siang malam dan selalu pergi kilang di Johor. Mungkin Shukry rasa bosan dan bila isteri tak layan naik berang jadinya,” cerita Sally yang mendapat maklumat dari salah seorang bekas pembantu rumah Datuk Suraiyah yang kini bekerja di rumah Raja Erina.
Tak tahu mana satu yang nak dipercaya, biasalah perihal rumahtangga dan kisah ranjang bukan urusan kita untuk tahu atau menilai. Jika benar ia masalah layanan yang menjadi punca perpisahan mereka, nampaknya Shukry sudah sampai tahap ego kelakiannya yang mengambil-alih kasihnya buat sang isteri.
Namun Shukry khabarnya cukup marah dengan gelaran Datin yang diberikan padanya dan enggan dirinya diperkatakan sebegitu lagi. Dan paling mengejutkan, sebaik pulang ke kampung keluarganya pula dah ada calon menanti untuk menjadi dikahwinkan dengannya. Aduhai…
Kasihan pula dengan wanita yang bekerja keras demi cita-cita dan yang disangka kebahagian keluarga terpaksa melepaskannya gara-gara status yang tidak dapat diterima masyarakat menjadi perencah kepada keretakan yang tak pernah terbelah pun sebelum ini. Disangka kebahagian keluarga terpaksa melepaskannya gara-gara status yang tidak dapat diterima masyarakat menjadi perencah kepada keretakan yang tak pernah terbelah pun sebelum ini.