Korner Mak Datin: Datuk Rahsiakan Penyakit Kroniknya, Datin Terkejut Ditinggalkan Selamanya

Korner Mak Datin: Datuk Rahsiakan Penyakit Kronik, Datin Ditinggalkan

DatinX0
*Seperti yang diceritakan oleh Nadia kepada Datin Julia
 
“Macam mana boleh jadi macam ni? Kenapa tak ada siapa pun kisah nak beritahu keluarganya? Saya bininya pun tak tahu menahu. Sekarang macam mana? Apa saya nak buat sekarang?” Bertubi-tubi soalan disuakan Datin Ros kepada para doktor yang merawat suaminya. Bengkak mukanya, sampai sudah kering air mata. Semalaman meraung menangisi nasib suami, nasib diri.
 
Datin Ros memang tahu yang suaminya, Datuk Azhar sudah lama menderita penyakit parkinson tapi penyakit yang lebih teruk yang sedang dihidapi suami, langsung dia tak tahu menahu. Suami tersayang rupa-rupanya sudah lama merahsiakan sakit kroniknya dari pengetahuan semua dan hanya baru sekarang Datin Ros serta keluarga diberitahu. Itu pun bila suaminya belum pun sempat menunaikan solat, tiba-tiba rebah di tikar sejadah. Nasib pembantu rumah ternampak dan cepat-cepat bertindak.
 
Ingat Datin Ros, suaminya mungkin kena serangan jantung atau strok. Tapi bila doktor di wad kecemasan tiba-tiba minta suaminya diberi ujian kesihatan yang lebih terperinci, hati Datin Ros terus menjadi tidak tenteram. Mimpi ngerinya menjadi kenyataan. Datuk Azhar disyaki mengidap leukemia. Merujuk kepada fail peribadi Datuk Azhar di hospital swasta yang merawat simptom parkinsonnya, memang sahlah suami kesayangan mengidap aplastic anemia.
 
Ketika ini, keadaan Datuk Azhar agak kritikal. Dalam sedih, Datin Ros berasa marah kerana rasa diri tertipu. Sampai hati suami sendiri sanggup menyimpan rahsia sebesar ini. Tak pernahkah dia fikir kesannya pada anak isteri? Tapi bila Datuk Azhar mula sedarkan diri, Datin Ros yang mulanya mahu berleter, terus menangis pilu bila suami memandangnya dengan penuh kasih, dalam suara terketar-ketar dia berbisik, “Semuanya akan okey…”
 
Datin Ros isteri mithali. Sepanjang hidupnya didedikasikan buat suami tercinta. Dia berada di sisi suami waktu susah sampai senang. Walau dia dulu pernah bekerja dan memegang duit sendiri, atas rasa tanggungjawab pada anak-anak dan suami, Datin Ros tak kisah duduk rumah. Pada waktu itu mereka cuma mampu menghuni flat murah dua bilik yang sempit. Baju tak bertukar, nak beli alat solek pun tak mampu, nak beli rantai gelang emas jauh sekali. Biarlah sendiri tak makan asalkan perut anak-anak semua terisi. Segalanya dikorbankan atas rasa kasih dan percayanya pada suaminya, Datuk Azhar. Di saat paling genting sekalipun, sokongan moral dan kata-kata negatif Datin Ros pasti akan membakar kembali semangat suami.
 
Dulu Datuk Azhar kerjanya kerani saja di JKR. Atas usaha mahu melihat anak bini hidup senang, dia kerja sendiri pagi petang hingga ke malam. Sudah berbakti kepada tanah, Datuk Azhar tidak kisah berpanas dan berhujan demi mencari rezeki buat anak bini. Tanpa henti, tanpa letih, tak pernah sekalipun dia komplen. Hampir 30 tahun, Datuk Azhar akhirnya kukuh kedudukannya dengan empayar development di Utara tanah air yang boleh tahan juga hebatnya. Datuk Azhar berjaya mendapatkan projek pertama, perkara pertama dilakukannya adalah bawa isteri dan anak-anak ke Kuala Lumpur untuk membeli-belah. Ambil apa saja yang berkenan di hati. Tapi Datin Ros tak sampai hati sebab dia tahu macam mana suaminya membanting tulang empat keratnya. Cerita Datin Ros, “Tak sanggup saya nak guna duit hasil titik peluhnya. Suami saya kerja kuat, dulu lagi dahsyat sebab guna kederat. Balik malam sampai sakit-sakit badan. Mengenangkan itu semua, nafsu mahu memakai barang mahal terus terhenti di situ saja. Tak apa lah.”
 
Namun Datuk Azhar tetap menarik tangan isteri masuk ke kedai barang kemas, dibelinya satu set perhiasan emas walau isteri langsung tidak berani memilih. Datin Ros terima saja apa yang diberi suami tanpa banyak soal. Dan walaupun sekarang Datuk Azhar sudah mula mengumpul aset sendiri, mereka sekeluarga memilih untuk tinggal sederhana di sebuah banglo setingkat yang dibina di atas tanah kampung. Kereta pun sekadar ada.
 
Lima tahun lepas, Datuk Azhar mula bersikap lain macam dan cakapnya mula melalut-lalut. Kondisi kesihatan Datuk Azhar sebenarnya tidak begitu baik. Selalu cakap terketar-ketar, jalan terhenjut-henjut, kerap tersadung sebab sukar mengimbangi badannya dan ada hari-harinya, mahu berjalan pun susah. Bila doktor mengesahkan Datuk Azhar menghidap parkinson peringkat ketiga, Datin Ros redha dengan ketentuanNya walau ada kemungkinan keadaan Datuk Azhar akan menjadi bertambah buruk dari tahun ke tahun.
 
Dalam kesungguhannya nekad mahu menjaga suami, Datin Ros nampaknya kurang bersedia mahu menerima berita yang suaminya turut menderitai penyakit kronik lain yang tiada ubatnya. Jantungnya rasa bagai direntap bila mendengar perkhabaran itu. Sejak usia 19 tahun mereka hidup bersama. Tak pernah berjauhan lama. Sekarang tiba-tiba sepertikan ada jam masa berdetik laju membawa Datuk Azhar ke hujung nyawanya. “Macam mana nanti kalau suamiku pergi dulu? Apakah yang akan terjadi kepadaku? Bagaimana nanti kehidupanku? Anak-anak sudah beranak-pinak, pasti aku tinggal berseorangan nanti. Hampir 40 tahun hidup bersama, tiba-tiba dia dah tak ada. Pasti sunyi…” Pelbagai persoalan bermain dalam kotak fikiran Datin Ros.
 
Rupa-rupanya Datuk Azhar mengetahui sakitnya itu sewaktu menjalani ujian awal merawat parkinsonnya. Disuruhnya doktor menyimpan rahsia ini dari pengetahuan keluarga lebih-lebih lagi ieterinya kerana takut mereka menjadi terlalu risau. Terang Datuk Azhar lagi, dia tak mahu isterinya susah hati. Melihatkan isterinya menjaganya ketika ini pun membuatkan dia rasa sedih dan bersalah. Patutnya sebagai suami, dialah yang menjaga kebajikan isteri dan bukan sebaliknya. Datin Ros sepenuh hati menjaga Datuk Azhar. Menyuapnya makan, bantu memandikannya, memakaikannya baju dan menolongnya untuk bergerak ke sana-sini. Bukan satu kerja mudah tapi nampaknya Datin Ros gigih mahu melihat suaminya selesa dan gembira.
 
Doktor tak benarkan Datuk Azhar pulang lagi. Sudah hampir seminggu ditahan wad, perasaan Datin Ros semakin tak tenteram. Solat hajat dilakukannya berulang kali, malam hari disambung dengan tahajjud tanpa henti. Dari cuma risaukan bapa, anak-anak turut risaukan Datin Ros juga. “Mama jangan fikir sangatlah. Doktor kata abah is a fighter. Dalam beberapa hari lagi keluarlah tu!” Anak paling bongsu saja nak tenangkan ibunya.
 
Tapi semua tahu Datuk Azhar tidak punya masa lama. Nak buat pembedahan tulang sumsum, Datuk Azhar enggan. Katanya, dia dah tua. Setahun lagi nak masuk 60 dah… lagi pun, buang duit saja sebab peratus untuk kembali pulih tidak lebih 20 peratus sahaja. Kemudian Datuk Azhar bertegas mahu pulang. Datin Ros sekeluarga pada mulanya agak keberatan tapi akhirnya akur kerana kasihan. Dalam pada Datuk Azhar gembira dapat tidur di katil sendiri, Datin Ros langsung tak dapat melelapkan matanya kerana buntu memikirkan langkah seterusnya.
 
Badan Datuk Azhar semakin lemah. Dia tidak larat lagi mahu berulang-alik ke hospital. Bila dia mula mendapat selsema, doktor paksa juga Datuk Azhar tidur di wad. Kata jururawat, selsema bukan petanda baik. Buat pesakit sepertinya, setiap simptom yang paling biasa sekalipun memungkinkan kebarangkalian yang lebih serius. Benar sekali. Selesema itu mungkin menganggu respirasinya.
 
Datuk Azhar mula mengah mencari udara untuk bernafas. Datin Ros menangis tersedu-sedu. “Saya tak sanggup tengok. Kalaulah nyawa boleh ditukar ganti, saya sanggup ambil tempat dia. MasyaAllah, suami saya banyak sungguh pengorbanannya pada saya anak beranak semata-mata nak bagi kami merasa hidup senang. Ya Allah, kenapalah ini terjadi kepada keluarga kami!” Ucapan sayu Datin Ros pada teman yang datang melawat membuatkan seluruh ruang menunggu turut merasa pilu.
 
Dalam pada itu Datin Ros punya support system yang kuat. Anak-anak sumber kekuatannya, ramai kawan yang selalu memberi kata-kata semangat dan saudara-mara menjadi tempat dia mengadu. Melihat ketabahan suami melawan penyakitnya membuatkan Datin Ros tiba-tiba tersedar sendiri. Sebagai orang paling rapat dengan Datuk Azhar, dia perlu menunjukkan sikap tabah dan jangan sesekali nampak seperti mahu putus asa. Datin Ros tak mahu semangat suaminya tergugat. Dia ingin lihat Datuk Azhar sihat seperti sedia kala walaupun kemungkinannya tipis. Fikir Datin Ros, kuasa Tuhan apapun boleh jadi. Datin Ros berjanji pada diri sendiri tak mahu lagi bersedih-sedih di depan suaminya. Dia mahu saat-saat terakhir Datuk Azhar di muka bumi ini menjadi saat-saat terindah sepanjang hidupnya selama 60 tahun. Datin Ros tak mahu Datuk Azhar tutup mata dengan pandangan terakhirnya adalah dia dalam keadaan meraung hiba.
 
Pada petang Khamis, keadaaan kesihatan Datuk Azhar menjadi semakin tak stabil. Graf naik turun. Doktor kata, “Prepare for the worst.” Anak-anak pelik meilhat Datin Ros tiba-tiba menjadi tenang dan tidak lagi berendam air mata. Dia duduk di sisi Datuk Azhar, bertanyakan jikalau ada apa-apa lagi yang dimahukan atau apa saja yang dia teringin nak makan. Datuk Azhar terlalu lemah, sekadar menggeleng kepala. Anak-anak berasa pelik entah dari mana Datin Ros mendapat kekuatannya untuk berlagak tenang di hadapan suami yang sedang menanti sakratulmaut datang menjemputnya.
 
Dari luar bilik, anak-anak melihat Datin Ros bersembang panjang dengan Datuk Azhar merenung wajah isterinya tanpa berkelip mata. Sudah berumahtangga hampir 40 tahun, mereka kembali bercerita mengenai kisah-kisah lama. Dalam senyum, sesekali Datuk Azhar menarik nafas panjang terputus-putus. Tapi dalam pada itu juga dia sempat memberitahu isteri tersayang, “Terima kasih kerana menjaga saya selama ini. Terima kasih kerana menjadi isteri yang taat. Terima kasih kerana menjadi ibu kepada anak-anak saya. Terima kasih kerana membahagiakan saya. Isteri seperti awak, tempatnya hanya syurga. Sebagai suami, itu doa saya.” Dalam semput, Datuk Azhar sempat berkata, “Semoga Allah temukan kita kembali di ‘sebelah sana’.” Air mata Datin Ros pun terus berderu keluar.
 
Datuk Azhar mula tercungap-cungap. Itu bermaksud waktunya sudah tiba. Tapi Datin Ros meminta doktor dan jururawat tdak masuk ke bilik. Bacaan Yassin yang mulanya sayup-sayup kedengaran, nadanya bertambah kuat. Datin Ros mengajar suaminya mengucap syahadah sebelum Datuk Azhar menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang dengan riak wajah seakan tersenyum. Datin Ros mengucup tangan dan dahi arwah suaminya tanda redha.
 
Datuk Azhar pergi dijemput ilahi pada pagi Jumaat. Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan jenazahnya di tanah perkuburan. Segalanya berjalan lancar. Seminggu selepas itu, peguam yang menguruskan wasiat Datuk Azhar datang menemui Datin Ros sekeluarga. Tahu yang usianya tidak panjang, Allahyarham sudah awal-awal membuat pembahagian harta. Pada satu-satunya isteri, nilai harta yang diterima Datin Ros amat banyak sekali. Datin Ros akhirnya mewakafkan lebih dari separuh harta-hartanya, atas niat semoga arwah suaminya damai bahagia di sana.
 
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Oktober 2012
 
 

See also
GLAM Deko Kediaman - Aura Mewah