Korner Mak Datin: Datuk ‘lembut’ Hambar Di Ranjang

Korner Mak Datin: Datuk ‘lembut’ Hambar Di Ranjang

shah HERMESGambar: Arkib GLAM

 
*Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
Saya bergegas ke rumah Datin Lily selepas menerima panggilan kecemasan. Jangan seorang lagi teman saya merancang bunuh diri. Cukup-cukuplah insiden percubaan Datin Ruby menamatkan riwayat hidupnya dua bulan lalu. Drama sungguh!
Namun panggilan berbaur cemas tadi merentap jantung. Risau sunggguh mendengar nada suara Datin Lily sebentar tadi. Bukan apa, dia saya kenali sangat lemah lembut orangnya. Tidak pernah lagi dia meninggi suara. Suara Lily tadi bernada soprano seolah-olah ada bala besar menimpa. Masalah apa yang dialami dia sekarang?
 
Kesesakan lalu lintas melemaskan saya walaupun bukan saya mengemudi kenderaan. Nampak gaya lama lagi hendak sampai. Saya menghantar pesanan Whatsapp kepada Lily mengajaknya berborak di situ. Cuba mengalih perhatiannya daripada percubaan-percubaan yang sia-sia. Saya fobia sebenarnya dan mula bersangka buruk. Bimbang tidak menentu dengan nipisnya iman umat manusia hari ini. Saya lega setiap kali bunyi telefon kedengaran.
 
“Kenapa sesak sangat hari ni?” soal saya kepada pemandu.
 
“Memang hari-hari jam waktu-waktu ni, Datin,” balas Juan di depan seraya mata terpegun di depan. Hmm, mungkin saya terlampau risau. Mahu tergesa-gesa sampai sehingga merasakan keadaan sekeliling dua kali ganda lambat. Saya gelisah di tempat duduk belakang. Sesekali meninjau kenderaan bersusun di depan. “Babe, I need you now. Kalau I cakap, you mesti tak percaya.” Tergiang-giang suara Lily tadi. “Tak boleh! I tak boleh cakap di telefon. Tolong! Tolong! Tolong datang rumah I sekarang. Ya! Sekarang!”
 
Tiba sahaja di kediaman Datin Lily, saya meloncat keluar kereta dan berlari anak menuju ke pintu pagar yang tiba-tiba automatik terbuka. Nampaknya Lily juga tak sabar-sabar menunggu ketibaan saya. Saya melambai. Kami berlaga pipi seperti kebiasaan. Teman saya itu sedaya upaya menyambut kedatangan saya dengan senyum dibibir tetapi terserlah kegelisahan diwajah.
 
“Ada apa Lily cemas saja bunyinya?”
 
“Duduk dulu. I dah sediakan minum petang kita,” pelawanya membawa saya ke ruang belakang yang meletakkan kolam renang dan meja laman.
 
Saya kagum dengan apa terhidang di atas meja. Ini dah macam tea party! Ada teko teh bersama piring kuih dua tingkat. Pelbagai kuih muih dan kek potong kecil tersusun cantik. Ish, memang berat masalah dia ni. Saya tenang menunggu apa kerenah Lily selepas ini. Dia dilihat sedang menuang teh di dalam cawan cantik. Rasa-rasanya dibeli ketika mereka sama-sama berkunjung ke Paris tahun lepas.
 
“Minumlah!”
 
“Apa sebenarnya dah jadi Lily?”
 
Saya melihat Lily menarik nafas dalam-dalam ketika matanya merenung mata saya. Dia kemudian menghulurkan sekeping kertas. Saya menyambut kertas itu kemudian membacanya. Resit pembelian tas tangan jenama LV berharga belasan ribu. Jenama terbaru semestinya.
 
“Satu lagi!”
 
Saya disogokkan sekeping lagi resit pembelian jenama Chopard. Set barang kemas juga ratusan ribu dibeli atas nama Datuk Junaidi, suami Datin Lily. Saya senyum simpul melihat set berupa rantai, gelang dan anting-anting. Bertuahnya Lily dihadiahkan suami dengan barangan mewah. Inikah berita mahu dikongsi tadi? Saya pula cemas tak menentu. Aduhai sahabatku, hampir gugur jantung saya tadi.
 
“Mana begnya I nak tengok? Mesti cantik!”
 
“Datin, I hanya dapat resit aje. Itu pun kebetulan jumpa dalam kocek jaket Datuk Junaidi. Barangnya tak ada.”
 
“Mungkin belum tiba masa nak beri. Ada tak tarikh terdekat ni ulang tahun perkahwinan ke?” soal saya positif.
 
“Babe, ulang tahun kami lambat lagi. Bulan Oktober. Ni baru masuk Mac. Hari jadi I kan baru lepas. Tengok resit ni, dah lama beli,” ujar Datin Lily mulai sangsi.
 
“Pelik! Eh, takkan Junaidi pun ada simpan perempuan?! Sayang betul dia kat perempuan tu sampai hadiah semahal ini!” ujar saya dalam nada terkejut.
 
Datuk Junaidi yang saya kenal, orangnya sangat lembut. Soft spoken dan rendah hati. Tidak sombong dan amat baik orangnya. Saya kira Lily bertuah bersuamikan seperti Junaidi. Jadi bila perkara sebegini berlaku, saya jadi sangsi.
 
Dalam pada melihat mata Lily mula bergenangan, saya cuba menenangkannya. “Lily, jangan syak yang bukan-bukan. Kita belum ada bukti kukuh. Mana tahu derma ke, hadiah untuk cabutan bertuah ke.”
 
“You, kalau hadiah atau cabutan bertuah, mesti I dah tahu. Ini tak ada kaitan dengan syarikat. Ini pembelian peribadi. Hmm… ada satu lagi.”
 
“Hah? Apa dia?” soal saya bingkas menerpa.
 
“Dalam resit-resit tu terang-terangan tulis jam tangan lelaki dan beg lelaki. Kalau dia beli untuk diri sendiri, mesti I tahu. Bukannya I tak biasa tengok dia berbelanja sakan begitu.”
 
Kami berdua terdiam. Kepala menerawang berfikir, mula memberi teori songsang yang bukan-bukan. Cepat-cepat saya menepuk pipi sendiri. Berhenti sebelum membuat sebarang sangka buruk.
 
Cepat-cepat saya meneguk teh panas dihidangkan. Sekadar membasahkan tekak yang kering dek cuba menenangkan Lily. Mungkin ada benarnya telahan Datin Lily tetapi saya taklah mahu jadi minyak yang mencurah di atas api tengah marak. Biarlah saya jadi air menyejukkan hatinya.
 
“Entah-entah ini semua corporate gift tak?”
 
Datin Lily sekadar mengeluh. Keluhannya itu membuatkan saya tak sedap hati.
“Kawan Datin tu masih buat kerja penyiasatan tak?”
 
Saya terkejut besar dengan soalannya kali ini. Eh, dia nak buat apa pula dengan mengupah penyiasat persendirian. Takkan sampai macam tu sekali. Saya kurang bersetuju kerana Datuk Junaidi seorang ahli korporat berpengaruh. Kalau hal ini terbongkar boleh mendatangkan malu.
 
“Kenapa you tak tanya Datuk sendiri? Kan senang! Kalau Datuk tahu you upah penyiasat persendirian, mesti dia marah,” pujuk saya.
 
“You ingat dia nak mengaku? I bukan nak suruh kawan you mengintip, tetapi untuk dapatkan bil kredit kad dia. Semua tu saya tak pernah nampak di rumah. Datuk simpan di pejabat. Pandai dia! Baru I tahu kenapa sekarang.”
 
“Hei, relaks lah babe! Now we know that he’s not buying presents for a girl… so that is a good thing, right?” Nada positif saya disambut sendu oleh Lily.
 
Lalu kami membuat temu janji dengan penyiasat persendirian tidak kurang handal di Kuala Lumpur. Kebetulan saya pernah menggunakan khidmat lelaki berusia 40 tahun itu. Untuk apa tak perlulah ambil tahu. Lain kali cerita. Sekarang ini saya sedaya upaya memenuhi keinginan sahabat saya itu. Hati saya juga berasa sangsi. Setelah memberi data maklumat terperinci dan bayaran pendahuluan, penyiasat persendirian itu pun menjalankan kerja-kerjanya.
 
Saya meloncat suatu hari apabila menerima panggilan daripada penyiasat itu. Belum seminggu kerja-kerja kami arahkan dapat diselesaikan. Kagum! Saya meminta Lily bertemu kami di salah sebuah kafe di Bangsar. Setelah meneliti bil kad kredit milik Datuk Junaidi, merah padam muka dia. Banyaknya datuk berbelanja untuk si polan yang entah siapa pun kami tak tahu. Setiap bulan pasti ada barang dibeli – pakaian, kasut, aksesori dan sebagainya. Semuanya barangan lelaki berjenama mewah. Perkiraan saya mesti manusia itu sangat istimewa orangnya.
 
“Entah-entah dia ada anak lelaki dengan bini lain tak?” Sekali lagi pernyataan saya disambut bisu. Situasi ini membuatkan jantung saya makin berdebar dibuatnya.
 
Saya tak tahu bagaimana lagi hendak menolong Datin Lily yang bengkak-bengkak mata dihadapan saya. Terpamer jelas dimata kekecewaan Lily. Saya membiarkan saja dia melayan perasaan sendiri. Tiba-tiba Datin Lily memanggil pelayan meminta bil. Selepas membuat pembayaran, saya ditarik keluar menuju pakir keretanya. “Hari ni tak perlu panggil pemandu you. Biar I hantar balik. Tapi sebelum tu tolong temankan I, please,” rayu Datin Lily meruntun hati.
 
Saya angguk. Dia ternyata lega lalu menceritakan rancangannya yang saya kira bergeliga. Kami tidak mengupah penyiasat persendirian kerana kami akan menyiasat sendiri aktiviti Datuk Junaidi. Sepetang menunggu, barulah nampak kelibat Datuk beredar dari bangunan yang meletakkan pejabatnya. Kami berhati-hati agar tidak mengekori kenderaan Datuk terlalu dekat. Pemerhatian kami pada hari pertama itu gagal. Datuk menjalani rutinnya seperti biasa – mesyuarat, balik pejabat dan keluar joging.
 
Datin Lily tidak kenal putus asa mengajak saya lagi mengintip suaminya. Ternyata hari keempat ini membuahkan hasil. Datuk melencong kereta masuk ke sebuah kawasan perumahan di Kota Damansara. Keretanya memasuki sebuah kondominium mewah. Saya sabarkan Lily yang mulai hendak meluru masuk. “Jangan dulu nanti dia tahu kita ekori dia. Lagi pun ada security guard, mana boleh suka-suka hati masuk. Kita siasat dulu kondo ini milik siapa,” pujuk saya.
 
Kami kembali menggunakan perkhidmatan penyiasat persendirian bagi mengenalpasti milik siapa kondominium tersebut. Ternyata ianya milik Junaidi yang dimilikinya sejak lima tahun lalu. Pembelian harta di Kota Damansara itu tidak pernah diketahui Lily. Sekali lagi Datin Lily jiwa kacau.
 
Satu hari Lily datang menjemput saya di rumah. Dia mahu saya menemaninya ke kondominium itu lagi. Sangka saya dia mahu mengintip lagi tetapi rupa-rupanya dia mahu geledah kediaman itu. Saya mula panik takut tertangkap pecah rumah. Nanti masuk muka depan akhbar, percubaan dua datin pecah rumah. Isk, malu nanti!
 
“Datin jangan risau, I ada kunci. Semalam I curi kunci ni daripada Datuk… nah, alamatnya pun ada,” ujarnya seraya membuka pintu kereta.
 
Kami berjaya memasuki perkarangan kondominium mewah tersebut. Dia menoleh kepada saya dan beritahu Datuk keluar daerah jadi dia takkan datang. Saya lega mendengarnya. Lalu kami buat-buat selamba masuk ke dalam rumah itu.
Sejurus masuk, hidung ditusuk bauan kuat pewangi lelaki. Mata kami pula terpana pada dekorasi seluruh kediaman. Kagum. Siapa pun yang tinggal di dalamnya memang mempunyai cita rasa yang amat tinggi. Begitu teliti penghuninya menyusun segala perabot dan aksesori rumah.
 
“Mesti ada perempuan duduk sini. Entah-entah suami I tu keluar daerah dengan perempuan tu agaknya. Geramnya aku!” bebel Datin Lily tak puas hati.
 
Seterusnya kami melangkah ke ruang pakaian. Satu bilik diubahsuai dengan penuh almari pasang siap. Terkulat-kulat Datin Lily melihat susunan pakaian lelaki memenuhi satu gerobok. Dia kemudian meneliti koleksi aksesori dan mencapai set Chopard. Kemudian mencapai tas tangan jenama LV di antara koleksi tas tangan jenama mewah lain. Semuanya barangan lelaki. Tak ada satu pun perhiasan wanita.
 
“Ini dia beg yang dalam resit tu. Semua ni Datuk yang belanja. Siapa lelaki ni?”
 
Sambil mengetap bibir, Datin Lily berbisik geram. “I think my husband is gay.” Berderau darah dibuatnya. Saya tergamam tidak mahu percaya.
 
Histeria Lily seketika. Mulutnya berkumat-kamit memaki-hamun tanpa henti. Dia kemudian merancang menangkap Junaidi bersama lelaki itu. Dendam kesumat jelas terpancar diruang matanya. Saya sendiri takut melihatnya. Malam berikutnya kami terhendap-hendap dikawasan kondominium itu lagi. Rasa saya kali ini jerat akan mengena. Sebaik sahaja terlihat kelibat seorang lelaki bertubuh gagah mahu keluar dari pintu rumah, kami menerjah.
 
Tidak tergambar terkejutnya saya melihat lelaki itu. Saya kenal benar dia ini. Dia adalah salah seorang eksekutif bawahan di pejabat Datuk. Menjengah ke dalam rumah, Lily terkedu melihat suaminya yang hanya bercelana boxer, duduk malas mengadap televisyen. Keduanya berada dalam keadaan yang sangat mencurigakan. Saya dapati Lily mengunci mulut terus. Dia kemudian melangkah longlai menuruni lif, kembali ke kereta. Saya mengekori di belakang berlari anak.
 
“I malu!”
 
Sekali lagi Datin Lily terjerit-jerit seperti orang hilang akal. Saya cuba menyabarkan teman yang malang itu. Menurut Datin Lily, sangkanya selama ini Datuk dingin di kamar tidur kerana perempuan lain. Rupa-rupanya ada penyebab lain. Semuanya terjawab melihat Datuk Junaidi bersama lelaki muda. Lelaki usahawan itu memiliki dua personaliti berbeza yang dirahsiakan daripada isteri selama ini.
 
Melihatkan cara berpakaian yang terlebih gaya, cara percakapan lembut dan lenggok badan yang ‘lain macam’, Lily sebenarnya sudah lama syak tapi tidak mahu menerima hakikatnya. Walau tidur sekatil, Junaidi dingin sekali. Bila diajak bersama, aksinya hambar sekali… bagai dipaksa. Alasan yang berikannya setiap kali adalah letih. Nalurinya meneka yang selera suaminya sudah berubah ke kaum sejenis. Bila sudah terjadi depan mata, barulah Lily akur.
Saya sendiri bagaikan tidak percaya dengan apa dilihat. Sejak itu Lily menyisihkan diri akibat malu. Saya tegaskan rahsia mereka selamat dengan saya. Masakan saya akan bawa mulut.
 
Datuk Junaidi akhirnya mengaku nalurinya beralih arah sejak 10 tahun lalu. Sebenarnya naluri itu telah lama terpendam sejak diusia remaja tetapi cuba dilawannya. Namun dia menyerah kalah juga akhirnya bila didekati mereka yang berminat dengan kaum sejenis. Setelah bertemu beberapa teman sealiran, dia jadi semakin ketagih mahu lagi.
Pasangan bertukar-tukar dan banyak hotel sudah tidak selamat lagi. Kerana itu, Junandi membeli kediaman di Kota Damansara sebagai lokasi melampias nafsu songsangnya. Keadaan semakin selesa lalu dia mengubahsuai kediaman dan menghabiskan banyak wang dan waktu di situ.
 
Begitulah nasib Datin Lily yang akhirnya mengambil keputusan berpisah dengan suaminya. Saya sedaya upaya memberi sokongan moral agar Lily tabah mengharungi cabaran yang maha hebat ini. Kepada Junaidi, bawa-bawalah bertaubat. Umur awak tu pun bukannya muda lagi. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Tanya diri sendiri, boleh terima tak kalau anak teruna sendiri diusung lelaki tua ke sana-sini? Kalau boleh terima, I rest my case lah.
 
 

See also
Korner Mak Datin: Datin Lari Dengan Teman Lelaki Bila Suami Gantungnya Tak Bertali