Korner Mak Datin: Datin Sanggup Bela Anak Luar Nikah Suaminya
Gambar: Arkib GLAM
*Seperti yang diceritakan kepada Suri Sayed
Datin Syazi memang dikenali dengan sifat ramahnya dan keprihatinan kepada mereka yang tak bernasib baik. Mungkin sebab dia sendiri datang dari keluarga susah dan bekerja keras pada usia muda pada tahun 70-an yang membawanya bertemu dengan Datuk yang ketika berkenalan dulu sudahpun berjaya dan memang pun datang dari keluarga yang kaya raya.
Bukan senang Syazi nak masuk dalam keluarga Datuk yang pada zaman itu orang kaya ternama di Ampang Jaya dengan bisnes kontrak besar untuk kerajaan negeri. Syazi tak pernah lokek bercerita kisahnya, dan kepayahan nak sertai keluarga suami yang kalau dikira sekarang memang berada pada tahap status socialite. Manakan tidak, majlis perkahwinan Syazi masa tu sudah grand yang turut dihadiri Menteri Besar duduk bersebelahannya di meja pengantin.
Saya sendiri pernah lihat album perkahwinan Syazi itu ketika bersantai di satu petang selepas kami selesai sesi intro diet detoks oleh nutritionist dari hospital pakar beberapa bulan lepas. Dan nyata sekali latarbelakangnya tidak menjadi isu besar, bukan kerana taraf hidup tetapi keayuan Syazi ketika muda memang cukup mempesona, tentu sekali keluarga Datuk tidak teragak-agak untuk kahwinkan anak mereka dengan gadis manis rupawan seperti Syazi. Syazi pun waktu itu sudah bekerja sebagai cikgu tabika yang masih boleh diterima sebagai pekerjaan yang bagus zaman itu. Keluarganya di Perak pula serba sederhana, ayah seorang anggota polis berpangkat dan ibunya walau seorang suri rumah cukup hebat memasak.
Kalau nak diikutkan lebih kurang umpama kisah Puteri Diana yang disunting Putera Charles juga kisah Syazi ni. Perkahwinan mereka memang bahagia, Datuk ambil alih bisnes keluarga dan bina empayar construction yang gah sekitar tahun 80-an. Sebagai ahli perniagaan berjaya dan disegani, Syazi turut dipandang tinggi oleh komuniti yang membolehkannya menerajui banyak badan kebajikan dan kerana sifatnya yang lembut ramah serta penampilannya yang semakin menawan kala menginjak usia.
Dua anaknya yang sudahpun melepasi zaman kolej dan kini berpangkat besar di syarikat korporat dan anak gadisnya pula baru memulakan tugas sebagai pengurus komunikasi di syarikat keluarga. Dan semua tahu kala anak-anaknya study dulu, Syazi yang kesunyian telah mengambil anak angkat, bukan seorang tetapi tiga berlainan usia, supaya kediamannya yang terceruk di dalam estet di Sungai Buloh tidak sunyi lagi.
Namun baru-baru ini kala saya terserempak dengan Syazi, dia bersama seorang bayi berusia lapan bulan yang dikenalkan sebagai anak angkat keempatnya. Saya kagum dengan semangat Syazi yang sanggup nak bela seorang lagi anak pada usianya yang dah nak memasuki lima series itu. “You tau lah, I kan memang sayang budak. Budak-budak kat rumah tu semua sibuk dengan sekolah, Farid dengan Fatin duduk kat tengah KL, sekali sekala baru datang for dinner or weekend. Sunyi la kalau I seorangan dengan pembantu saja,” Syazi dengan lembut berbicara.
Naluri seorang guru tadika Syazi memang tidak pernah hilang. Kasihnya untuk anak-anak walaupun bukan dari darah daging sendiri berbelah bagi dan tidak ada kurangnya. Datuk juga penyanyang orangnya menjadikan mereka pasangan VIP yang cukup kuat dapat menyokong badan-badan yang berkaitan dengan kanak-kanak sejak 20 tahun lalu lagi. Walaupun ramai yang tahu keluarga Datuk Arif memang rajin buat kebajikan, dia sendiri selalu pastikan ia tidak diwar-warkan umum. “Tak payahlah satu dunia tahu Datin. Riak pula nanti asyik nak bercerita menjaja cerita kami beramal sana sini. Syukurlah kami dapat tolong mana yang patut dengan ikhlas. Itu dah cukup,” kata Datin Syazi bila saya asyik memujinya kebaikan hatinya itu.
Beberapa minggu selepas bersantai di rumah Syazi itu saya bertemu dengan Anura yang juga satu geng dengan Datin Syazi sejak zaman Ampang Jaya lagi. Anura memang orang yang pasang badan, sekarang sakan berpilates dan hanya selera dengan hidangan organik saja. “You tak kisah ke kita minum kat juice bar ni saja?” soal Anura walaupun tahu saya takkan katakan tidak dan nak sangat heret dia ke cafe sebelah untuk secawan latte hangat. Sambil hirup jus kombo lobak merah, batang saderi dan epal hijau, Anura sibuk berhujah perihal “kehidupan sihatnya”. Dengarkanlah saja sebab mungkin ada bab yang saya sendiri mungkin akan terpanggil untuk mulakan rutin sihat nanti.
Memang hebat Anura bersungguh nak menjalani kehidupan sihat selepas kakaknya seorang isteri duta Malaysia di Eropah menghidap kanser ovari tahap empat dan hilang pertarungan dengan penyakit itu tiga bulan lalu. Dan baru-baru ini kisah Puan Sri Nor yang berdepan dengan kanser payudara turut membuatkan kami lebih berhati-hati dan mula peka dengan kesihatan masing-masing. Dalam bercerita panjang lebar dengan pitch tinggi suara wanita asal negeri utara itu terselit pula kisah Datin Syazi.
Anura yang sedang giat ‘berkempen’ gaya hidupnya dengan Syazi sering melawat kediaman di Sungai Buloh itu. Katanya hampir setiap minggu dia ke sana. “Mulanya I tak percaya tapi bila dah tengok sendiri memang budak tu iras Datuk la…” Anura buka cerita. “Alah, budak-budak masa kecil kan semua muka macam tu,” celah saya yang tidak mahu mengiyakannya dan cuba memberi perspektif yang positif saja. “Eh… muka budak-budak tu semua ada iras dengan anak Datin Syazi, Farid dan Fatin tu. Kalau tak percaya tengok ni…” Anura segera membuka Instagram dalam iPhonenya itu. “Cuba you bandingkan… almost the same kan?” tegasnya. “Adalah sama sikit part hidung tu, macam hidung Datuk Arif. Tapi bukan common ke hidung macam ni?” sambung saya berseloroh. Puaslah saya nak alih topik cerita kami hari itu, dan bila cerita pasal makanan organik, barulah Anura lupa nak sambung fasal keluarga Syazi lagi. Bukan mahu berselindung, tetapi masih terkesan kata-kata Syazi padanya.
Ya, memang betul telahan Anura itu. Sebelum pertemuan kami petang itu, Syazi datang bertandang di rumah awal pagi mahu jelaskan sendiri sebelum Anura membuka cerita kerana asyik bertanya. Katanya dia tidak mahu berselindung kerana saya juga ada berkongsi kisah peribadi dengannya sebelum ini. Syazi ingin berterus terang dengan saya dan jika saya boleh mahu saya simpan saja cerita ini dan tidak diperbesarkan lagi. “Macam ni lah Datin…” Syazi membuka bicara. “Datuk ada affair dengan this lady from his office. I dah tahu lama dan Datuk pun pernah cerita fasal dia sebab she is one of his right hand staff dan sangat bagus dalam kerjanya,” sambungnya dalam nada tenang. “Tapi I ingat its harmless, alih-alih awal tahun ni Datuk bawa pulang baby Aris and confess ini anak dia dan minta saya jaga sebab that lady mahu rahsiakan dari keluarga dan tak sanggup jaga bayi kecil memandangkan dia juga sudah lama membujang dan lebih utamakan kerjaya,” cerita Syazi.
Nampaknya, pekerja yang cemerlang juga cemerlang dalam memenangi hati Datuk hingga sanggup bersalin di luar negara dan berselindung dengan semua bahawa dia di hantar syarikat berkhidmat di pejabat di Australia selama setahun. Malah wanita ini turut secara rasmi menyerahkan hak penjagaan kepada Datuk. Patutlah pada penghujung tahun lalu Syazi pernah bercerita Datuk ada bisnes besar di Australia dan terpaksa tinggal di sana nak hampir dua bulan. Aduhai… sekarang memang betullah itu ‘bisnes’ yang cukup besar untuk ditangani. Entah bagaimana Datuk uruskan segala proses di sana tetapi tentunya turut sama mahu memujuk wanita itu untuk menjaga anaknya dan kemungkinan besar mahu menghalalkan hubungan mereka. Namun jika wanita itu sudah buat keputusan untuk tidak mahu ada sebarang ikatan, keputusan Datuk untuk bawa pulang bayi yang tidak berdosa itu adalah keputusan terbaik.
Mulia sungguh hati Syazi dapat terima hakikat begini. Kalau saya mungkin sudah serang wanita itu dan beri balik bayi yang tidak bersalah ini pada ibunya yang high flyer itu. Dengar cerita, wanita itu tidak lagi bekerja dengan Datuk dan sudah migrate ke Amerika Syarikat untuk tawaran kerja yang hanya comes once in a lifetime itu. Daripada membuat andaian, lebih baik terus bertanya saja dengan Syazi. “Apa you buat bila Datuk bawa pulang baby Aris out of the blue?”. “Hmmm…” mengeluh panjang Syazi yang mulanya nampak berat hati nak sambung cerita. Tapi dalam benaknya mungkin lebih baik berterus terang saja supaya saya tidak tertanya-tanya lagi.
“Hati mana tak luluh Datin bila suami balik dengan seorang bayi hasil affair dia?” “Mulanya Datuk cakap ni anak angkat daripada rumah kebajikan yang selalu kami berkunjung di Kajang tu. “Tapi I memang tak rasa itu cerita sebenar. Riak wajah Datuk memang nampak sayu bukannya gembira macam masa dia bawa balik anak angkat I Adilah, Safwan dan Ammar tu dulu.” “This time it feels different,” sambung Syazi dalam nada tenang. “You tahulah I, bukan confrontational dan takkan mengamuk hempas barang atau keluar rumah… I tak tahu nak memberontak walaupun pedih sungguh hati bila tahu Datuk terlanjur begitu.”
Siapa yang kenal betul dengan Datin Syazi memang tahu dia seorang yang amat penyabar. Malah waktu menjalankan kerja-kerja amalnya dengan pelbagai badan dan kelompok, macam-macam karenah manusia yang perlu Syazi selaku ketua projek dan penaung harus hadapi. Pernah sekali, dia diserang oleh geladangan yang tidak senang dengan kumpulan sukarelawan yang ‘menceroboh’ kawasan perlindungannya di bawah flyover di tengah kotaraya dulu. Mereka dihambat dengan parang dan entah bagaimana kala semua menjerit bertempiaran lagi, Syazi memberanikan diri bersemuka dengan lelaki itu dan menyatakan hasrat mereka sekadar ingin membantu dan bukannya mengganggu kehidupannya itu.
Ketabahan wanita yang berwajah kacukan Arab Melayu ini memang seteguh hatinya yang tidak pernah hilang dari senyuman yang cukup murah mengukir setiap kali berbicara.“I sambut dulu baby yang waktu itu baru seminggu usianya. Takkan I sanggup nak meroyan pula. Selepas solat Isyak malam tu, baru I duduk bercakap dengan Datuk.” Saya tabik bagaimana Datin Syazi tangani situasi ini. Ketenangannya memang mengagumkan. Katanya, bayi itu masih darah daging suaminya dan naluri keibuaannya masih utuh seperti dia baru melahirkan Farid dan Fatin dulu.
Memang comel baby Aris, lebih iras kepada abangnya Farid jika diamati betul-betul. Status pun adik-beradik, tentulah ada iras pada raut wajah mereka. Syazi dan Datuk juga sudah menjelaskan situasi ini dengan anak-anak yang menerima dengan hati terbuka walaupun risaukan ibu mereka dan minta Datuk untuk jangan persiakan kepercayaan Syazi lagi. Keluarga ini juga lebih senang untuk hanya berdiam kala bercerita mengenai Aris dan biarkan masyarakat terus menganggapnya sebagai anak angkat keluarga. Cerita-cerita andaian seperti yang diluahkan Anura itu bukan sekali saya dengar, malah sudah beberapa rakan kami yang menyuarakan kisah yang sama.
Syazi pula tak segan silu nak bawa bayi yang punya lesung pipit di pipi kiri ini ke hulu hilir. Saban hari shopping dibelikan bayi bertuah ini dengan segala yang terbaik dan terkini dari jenama-jenama hebat, pagi itu persalinan Burberry Kids membaluti tubuh si kecil itu. Syazi juga sudah merancang untuk enrol Aris dalam pelbagai program pembangunan kanak-kanak walaupun bayi ini belum mencecah usia setahun pun lagi. Zaman juga semakin maju dan Syazi yang datang dari latar seorang guru juga tidak mahu mempersiakan kemudahan yang boleh diberikan olehnya buat anak bertuah ini. “I want all the best for Aris. Itulah yang dia harus miliki setelah diketepi ibu kandungnya sendiri,” tegas Syazi.
Mungkin dulu zaman anak-anaknya membesar sukar dapat pilihan begini, kini Aris dapat tempias segala kemewahan dan paling berharga kasih sayang Syazi yang tidak berbelah bagi itu walaupun ia hasil sang suami yang ternoda larut dalam skandal cinta.