Korner Mak Datin: Datin Rasa Terhina Bila Madunya Wanita Tua

Korner Mak Datin: Datin Rasa Terhina Bila Madunya Wanita Tua

DatinX0Gambar: Arkib GLAM

 
*Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
Selesai temu janji di spa, saya merancang mahu mencuba kafe yang baru dibuka di Bangsar. Rasa segar seluruh tubuh diurut, dilulur hampir dua jam, perut sudah mula berkeroncong dan tekak ini entah kenapa kepingin menjamah sajian Barat. Dua tiga kali pusing lot-lot kedai Jalan Telawi. Mencari parkir di kawasan ini memang mencabar kesabaran. Sambil mengemudi stereng, saya sejukkan hati melayan stesen radio kegemaran.
 
Sedang asyik mengintai parkir kosong, kenderaan dihadapan berhenti tiba-tiba mengejutkan saya. Mujur sempat menekan pedal brek. Saya meninjau pemandangan dihadapan mencari punca kesesakan. Selang sebuah kenderaan, kereta Audi terhenti sepertinya sedang menunggu seseorang. Dua kali saya meninjau, memanjangkan leher. Kali ini benar-benar mahu memerhati.
 
Rasa-rasanya saya kenal pemilik kenderaan itu. Pemiliknya Datuk Shamsul, suami kepada kenalan saya, Datin Anna. Saya melihat kelibat seorang wanita mahu membuka pintu kereta itu. Ingin saya melambainya tapi niat terhenti apabila merasakan lain sangat pula rupa paras Anna yang saya kenali. Dari cermin belakang, saya menyaksikan sendiri bagaimana wanita tadi melayangkan ciuman mesra pada pipi Shamsul selaku pemandu. Speechless saya dibuatnya.
 
Wanita yang baru masuk ke dalam Audi itu tadi sah bukan Anna. Kurus tinggi, berleher jinjang dengan rambut perang disanggul gaya chignon. Cantik orangnya walau mata tak terlihat kerana berlindung dibalik kaca mata gelap lagi besar.
 
Dari raut wajahnya, saya tahu usia wanita tersebut mungkin sudah menghampiri separuh abad. Tapi dia nampak awet muda, mungkin kerana pandai menjaga kecantikan diri. Lebih penting, wanita tadi amat bergaya sekali. Kemeja putih disemat masuk ke dalam celana capri broked. Kolar kemeja dibiarkan berdiri. Saya berfikir keras mahu mengingati seraut wajah bersih dioles solekan tipis itu. Tak pernah nampak. Siapakah wanita misteri itu?
 
Selepas Audi milik Datuk Shamsul itu membawa wanita misteri itu berlalu, rezeki saya mendapat pakir betul-betul dihadapan kafe yang dihajati. Mencari tempat duduk agak tersembunyi, menanti kemunculan Lily, kawan lama yang kaki gosip juga.
 
Walau mata merenung menu, kepala ini ligat berfikir benda lain. Mengapa saya tidak dapat mengecam wanita tadi? Hampir semua kawan dan saudara perempuan Anna saya kenal tapi tidak wanita itu. Mungkin mereka hanya teman niaga? Tapi mengapa Shamsul mengambilnya dalam kereta hujung minggu dan bukan kereta Mercedes bersama pemandu seperti selalu? Adakah suami Datin Anna curang padanya? Entah mengapa mata ini sering menjadi saksi pada perkara sebegitu. Saya memujuk hati supaya bersangka baik selalu.
 
Saya habis makan barulah Lily tiba. Faham sangat petang-petang begini kesesakan lalu lintas agak melampau. “Untunglah you… ada pemandu yang hantar dan ambil. Tak payah pening-pening redah traffic jam!” Balas Lily, “Kebetulan my husband tak ada, keluar daerah. Ambil kesempatanlah!” Saya membiarkan Lily menjamah dulu makanannya sebelum saya membuka cerita mengenai Datuk Shamsul tadi.
 
“Ceritalah cepat!” desak Lily. “Seperti dapat membaca I je,” ujar saya ketawa kecil. “Sejak tadi mengelamun. Mesti ada apa-apa,” balas Lily seperti sudah kenal sangat dengan kerenah saya.
 
Berat hati mahu menceritakan perihal Shamsul kerana saya dan Anna agak rapat. Bukan baru kenal sehari dua. Lalu saya berkongsi cerita mengenai apa yang terjadi di depan mata. Melopong mulut Lily. Bukan kerana Shamsul curang, tetapi wanita pilihannya lebih berusia. Ini sudah kira luar biasa!
 
“Are you sure? You rasa kenapa?” soal Lily mula mencari teori yang logikal. “Kalau I tahu, tak adalah I tanya you,” saya memerlinya.
 
“Betullah! Kenapa ya? Apa kurangnya Anna yang masih muda, cantik pun boleh tahan juga. Hmm, you kata perempuan tadi pun cantikkan? Tapi tak ada ke perempuan yang lebih muda lagi? You rasa kenapa Shamsul pilih wanita yang jauh tua dari isterinya? Kesian Anna ya…” Lily terus mengomel panjang. Pertemuan selama hampir tiga jam, berakhir dengan persoalan yang belum terjawab. Siapa wanita misteri itu?
 
Saya bertemu Lily beberapa kali selepas peristiwa itu dan kami tak pernah ungkit lagi fasal insiden itu. Sehinggalah perkhabaran baharu sampai ke cuping telinga. Datuk Shamsul berkahwin lagi. Sudah setahun pun. Bijak sungguh dia menutup rahsia. Bonus buat saya kerana di dalam semua orang tercari-cari siapakah gerangan wanita itu, saya dah pernah pun melihat rupa paras orangnya.
 
Oleh kerana saya ‘saksi’ tunggal, saya dicari Datin Anna. Walau tak mahu terjerat dalam kemelut rumah tangga orang, tapi saya akur menerima pelawaan Anna untuk bertemu. Saya bersetuju selepas dihujani puluhan panggilan telefon dan mesej tanpa henti.
 
Dari jauh saya sudah dapat merasai gelora emosi seorang wanita yang baru dimadu. Mata Anna bengkak akibat asyik berendam air mata. Dalam hati, saya sebenanya geram pada Lily yang tak pandai simpan rahsia. Tersasul katanya.
 
“Takkan you tak kenal?” Anna mulai mendesak. “Memang tak kenal. Ingatkan business partner ke, atau entah-entah saudara. Tu yang I tak ambil pusing dan malas nak beritahu you.” Soal saya balik pada Anna, “You pun pasti ke perempuan tua yang I nampak tu madu you?”
 
Balas Anna perlahan sambil matanya merenung kosong, “I nampak tarikh lahirnya sewaktu pergi menyemak di pejabat agama minggu lepas. Ermm… betullah tu kut.” Aduh, saya pula yang naik syahdu!
 
Kisah Shamsul bernikah lain terkeluar apabila sudah terlalu ramai bertembung dengannya bersama wanita itu. Pada sesetengah orang, Shamsul memperkenalkannya sebagai, “My wife.” Bak kata Lily, isteri baru yang tak berapa baru. Riuh Lily mencanang satu kampung mengenai isteri baru Shamsul. Mungkin sebagai wanita yang pernah melalui episod yang lebih kurang sama, Lily juga agak terkesan dengan dilema yang sedang menimpa Anna.
 
Datin Anna memang terkenal dengan kecantikkannya. Waktu Shamsul menyuntingnya sebagai isteri pada lewat 80-an lalu, satu KL bercerita mengenainya. Shamsul kahwin budak remaja baru habis tingkatan lima!
 
Anna ada sisa-sisa darah Belanda sebelah ibunya wanita Sunda. Hidungnya mancung mengimbangi mata bundar beralis lentik. Bibirnya munggil menyempurnakan wajah bujur sirih. Rambutnya panjang lebat sering didandan rapi. Semua terkejut pabila wanita sejelita itu diduakan suami. Lebih gempar diri diduakan suami dengan wanita lebih jauh berusia.
 
Usia Datin Anna kini memasuki penghujung 30-an manakala umur madunya itu bakal menginjak ke usia 50 tahun dalam dua tiga tahun lagi. “How can he chose an older woman than me? I ni muda lagi… people can’t even tell I’m 30!” Ahh, dia dah mula dah.
 
Saya mengerti sangat perasaan Datin Anna kini gundah gulana. Sangat memalukan kala berada ditempatnya. Masyarakat mula mempersoalkan apa kurangnya Anna. Ada yang kata dia diduakan suami kerana sakit, hanya kerana tubuhnya kurus. Tetapi lebih parah Anna dimalukan dengan khabar yang dia seperti kayu diranjang hingga suaminya mencari seseorang yang jauh berpengalaman untuk memenuhi selera syahwatnya.
 
“Kalau dia memilih isteri muda bergetah dari I, mungkin lah I tak meroyan sampai macam ni. Sampai hati dia. I rasa terhina… malu sangat!” bentak Anna tak puas hati.
 
Saya geleng kepala melihat gelagat Anna. Apakah lebih penting dengan siapa kita dimadukan daripada hakikat pahit diri telah dimadukan? Pendirian Anna sukar saya mengertikan. “Seandai tersurat diri akan dimadukan, pilihan Shamsul biarlah masuk akal!” kata Anna bernada geram.
 
“Darling, jodoh itu rahsia Allah. Mungkin your husband sendiri tak sangka dia akan memilih wanita berumur untuk dijadikan isteri. Atau mungkin rupa paras bukan lagi ukurannya.”
 
“What are you trying to say? I tak pernah selekeh. Hari-hari I bersiap. Ke mana saja majlis, I ikut. Hubungan I dengan wife kawan-kawan dia tak ada masalah. So, tell me… where did I go wrong?” tanya Datin Anna lagi.
 
Selesai bertemu Anna, sesi seterusnya bersambung di kafe Jalan Telawi; dengan siapa lagi kalau bukan Lily. “Sorry lah Datin, I tak dapat nak simpan cerita you terjumpa bini baru Shamsul. I just had to tell somebody,” kata Datin Lily sambil tersengeh.
 
Dari sumber yang boleh dipercayai, Shamsul berkahwin dengan kawan universitinya. Bukan kerana apa, hanya disebabkan mereka lebih serasi apatah lagi bila bercakap fasal business, isteri kedua itu saling mengerti. Jangan tak tahu, madu Anna punya jawatan besar di sebuah firma multi nasional terkenal. Sesuai sangatlah bila kedua orang korporat ini bertemu jodoh dan berkahwin.
 
“Kawan Shamsul kata, with the new woman, he can have intelligent conversations. Kalau dengan Anna… hmm, agak kosong,” ujar Lily sambil menunjuk jarinya ke kepala. Tiba-tiba kami berdua ketawa besar.
 
Usah salah sangka. Anna isteri dan ibu yang baik. Sebagai suri rumah, makan minum pakai sekeluarga dia sediakan dengan sempurna. Atas kebaikannya, Shamsul memberikan wang poket puluhan ribu sebulan untuk dia belanjakan ikut suka hatinya. Tapi kalau minta dia mengambil peranan dalam syarikat suami, memang jangan haraplah.
 
Sudahlah habis sekolah terus kahwin… sekarang ini, sekadar melaram bersiap lawa-lawa tu dia habis pandailah!
 
“Patutlah Shamsul cari lain… mesti Anna membosankan. Asyik-asyik cerita pasal diri sendiri. Selama mengenali dia, hanya cerita shopping dan holiday saja yang keluar daripada mulutnya. Alih-alih cakap pasal beg. Beg itu ini, macam itulah perkara terpenting dalam hidup. She needs to get a life. Oh, dan cerita bagaimana hebatnya dia sebagai ibu. Supermom katanya… hmph, menyampah!”
 
Kata-kata terakhir Lily membuatkan saya ketawa seperti nak pecah perut. Tapi betul pun katanya. Orang putih panggil wanita kurang bijak sebegitu sebagai bimbo. Cuma di tempat kita, sang bimbo rambutnya bukan blonde. Bimbo kita rambutnya panjang, ikal mayang. Berkepuk-kepuk dan menebal dek penangan extension harga ribuan ringgit.
 
Kata-kata Lily itu lebih terkesan apabila saya berpeluang duduk semeja bersembang dengan isteri ‘muda’ Datuk Shamsul. Kebetulan saya mengikut suami ke satu acara tertutup dan Shamsul tidak berselindung lagi membawa isteri barunya itu untuk diperkenalkan kepada setiap kenalan.
 
“Kenalkan, Suraya!”
 
“Hello, how are you?”
 
Saya beramah mesra dengan Kak Suraya, itulah gelaran disuruhnya saya pakai. Orangnya sungguh berhemah dan tertib setiap atur katanya. Rupa-rupanya Suraya bukan calang-calang wanita. Selain wanita korporat terbilang, dia juga anak usahawan yang memiliki empayar perniagaan sendiri. Suraya juga dihormati kerana inisiatif kebajikannya menerusi syarikat di mana dia bernaung. Cuma dia tidak gemar untuk menggembar-gemburkan hal peribadinya.
 
Sungguh profesional dan menyenangkan, Suraya juga amat sopan kala muncul berkurung pesak gantung bersama seutas rantai mutiara… jauh beza dengan Anna yang suka mendedah dada lebih-lebih lagi semenjak pasang buah dada ‘baru’. Rasa malu pula saya pada diri sendiri mengenangkan bagaimana cepatnya kami menghukumnya.
 
Memang Suraya nampak seperti seorang yang berpendidikan tinggi apabila mampu menguasai perbualan dengan bijak. Saya hampir pasti yang kematangannya itulah yang membuatkan Shamsul terpikat padanya. Fikir saya, memang susahlah Anna mahu bersaing dengan Suraya. Kes ini membuktikan yang kecantikan bukanlah segala-galanya diinginkan dalam satu-satu hubungan. Sekadar cantik di mata, tapi pengisian jiwa pula kosong pun tak akan menjadi juga. Kecantikan Suraya mungkin sudah dimamah usia, namun masih ada manisnya kerana hatinya baik.
 
Anna terpaksa menerima hakikat diri diduakan suami bukan kerana hilang cantiknya. Ini semua sudah suratan takdir dan terpaksalah Anna terima dengan hati terbuka. Setiap kelemahan boleh diperbaiki. Bagi yang kurang cantik, teknologi mampu mengubah diri. Kalau kurang bijak, boleh belajar menjadi pandai. Banyak membaca, luas pengetahuan. Pokok pangkalnya adalah rajin atau tidak.
 
“Salahkan diri sendiri yang membentuk diri menjadi trophy wife. Selama ini dia hanya mementingkan penampilan diri. Katanya penting buat imej suami, padahal buat kepuasan diri sendiri sahaja,” Lily melontarkan pendapat pedasnya.
 
Sudahnya Shamsul kebosanan terabai tanpa disedari isteri sendiri. Mahu mengajak berbual malam-malam, setepek muka bersalut masker. Anna takkan mampu bercakap takut masker retak seribu nanti tak mujarab khasiat rawatan katanya. Mahu diajak berlawan debat mengenai perkembangan semasa, menteri pun dia tak kenal. Apa yang dia tahu hanya isu kewangan. Itu pun untuk mengisi poket sendiri kala ada jualan murah. Bodohlah Shamsul kalau sanggup duduk berbual mengenai fesyen terbaru atau produk kecantikan di pasaran.
 
Saat menghadiri beberapa business conference di luar negara, Shamsul bertemu semula dengan Suraya setelah hampir 20 tahun tidak ketemu. Hubungan makin akrab bila kedua kerap bertembung antara satu sama lain. Shamsul seronok berdampingan dengan Suraya yang bijak. Shamsul berasa selesa menjadi diri sendiri dan tidak perlu berlagak superficial ketika bersama Suraya.
 
Selepas beberapa bulan, Shamsul melamar Suraya yang pernah berkahwin tapi tidak punya zuriat. Walau beza usia antara mereka enam tahun, Shamsul tidak kisah. Itu yang Anna cukup berbulu dengan Suraya. Kadang-kadang kita takkan dapat menelah kejadian Allah yang telah tersurat. Jodoh itu memang rahsia Allah.
 
Saya kini kerap berhubung dengan Suraya berbanding Anna. Seronok juga bila sesekali bertemu kawan yang boleh bercakap lebih dari topik material. Letih juga kalau setiap kali jumpa, asyik-asyik sembang pasal beg saja!
 
 

See also
Datin X: Nafsu Datuk Gila Orgy