Korner Mak Datin: Bila Kecantikan Dimamah Masa, Datin Murung Separuh Gila

Korner Mak Datin: Bila Kecantikan Dimamah Masa, Datin Murung Separuh Gila

datin8Gambar: Arkib GLAM

 
Saya menyelak selimut dan mengeliat puas. Sekejap tadi saya dikejutkan pembantu rumah. Saya memang berpesan kepadanya untuk bangunkan saya sebelum tengah hari. Temu janji dengan Sofi dan Datin Ruby, makan tengah hari di Alexis, The Gardens sebentar lagi. Pilihan Sofi kerana kononnya restoran itu lebih privasi. Tapi bukan saya tidak tahu, dia mahu cuci mata menengok orang sebenarnya. Saya tahu, dia pun berhajat mahu singgah ke butik Louis Vuitton di aras bawah. Ada tas tangan model baharu sampai dah tiba ke pengetahuannya. Pelanggan setialah katakan!
 
Ada dua jam lagi untuk saya bersiap-siap. Setengah jam atau lebih saya akan berendam dalam tab mandi dipenuhi buih aroma lavendar. Ketika pembantu rumah menyiapkan kamar mandi, saya selongkar gerobok pakaian memilih apa hendak disarung. Nanti pembantu saya itu akan menguruskan persalinan saya pula. Hmm… saya sekadar menyarung persalinan Pucci yang masih baru, belum pun diusik tag harga.
 
Sedang bersolek, saya dihujani panggilan daripada Sofi. Deringan pertama saya biarkan sahaja. Tetapi deringan tak henti-henti mula mengganggu konsentrasi. Tak sabar-sabar Sofi ni agaknya. Pantang saya diganggu kalau sedang bersiap. Tiba-tiba pembantu rumah saya mengetuk pintu yang sedia terbuka.
 
“Datin! Kawan Datin ada di luar,” ujarnya sopan. “Siapa?” Soal saya cuak merenungnya menerusi cermin. “Sofi!” Hairan! Rasa-rasanya saya tidak menyuruh pun Sofi datang menjemput. Hati rasa kurang enak. Lalu saya mencalit gincu dan tangan sebelah lagi pantas mencapai beg Chanel kegemaran, menyarung kasut balerina Repetto yang hampir lusuh. Saya bergegas mendapatkan Datin Sofi. “I call banyak kali, kenapa tak angkat?” Soalnya sebaik sahaja saya masuk ke dalam kereta.
 
“Janganlah marah. Alexis tutup lambat lagi,” balas saya separa memerli. “Kita ke hospital sekarang,” ujarnya lalu memecut kenderaan. “Hati-hati, nanti kita yang masuk hospital sama. Siapa yang sakit ni?” “Datin Ruby! Dia overdose pagi tadi.” “Buang tabiat ke dia? Overdose apa?” “Telan pil.” “Ruby kan memang banyak makan pil nak cantik. Salah campur pil kut,” ujar saya macam tak percaya Datin Ruby sanggup melakukannya secara sengaja. “Dia tak campur pil. Dia telan sebotol pil tidur. Nasib adik dia sempat jumpa,” Datin Sofi bersungguh-sungguh. “Hmm… I think she’s trying to kill herself lah. You pun tahu dia tu sejak dua menjak ni macam depressed semacam. Talking about feeling suicidal. I ingat dia melawak, tak sangka dia serius!”
 
Mata saya terbeliak mendengar berita baru disampaikan. Kenapa pendek akal sangat Datin Ruby itu sehingga berniat membunuh diri? Saya langsung terdiam dan mencari-cari jawapan. Seingat saya Datin Ruby bahagia dengan Datuk Nuar dan dua anak remaja mereka. Datin Ruby memang lebih berusia daripada kami berdua. Tetapi kami tidak pula kisah dan sangat senang berkawan dengannya.
 
“Datin Ruby tu kenapa?” soal saya tak puas hati. “Manalah I tahu. Sekejap lagi kita sama-sama tanya, okey.” Saya berfikir sejenak, kali akhir bertemu dia memang agak murung. Menyesal pula tidak bertanya keadaan yang mengganggu fikirannya saat itu. Hmm… ingatkan tak adalah seserius ini. Saya mula mengimbas semula apa yang tidak kena dengan Datin Ruby? Rasa-rasanya tak ada apa kerana hidupnya kelihatan sempurna. Datuk Nuar tak banyak kerenah malah lelaki korporat paling setia. Letak tubuh badan seksi ke montok ke depan mata, Datin Ruby sahaja dibibirnya. Semua orang tahu akan hal itu.
 
Apakah tekanan perasaan kerana anak-anak? Mungkin tidak. Anak-anak Datin Ruby juga pintar-pintar. Anak sulung dah berada di London manakala yang bongsu masih di sekolah berasrama penuh. Dia paling suka kalau dapat melawat anaknya di London. Kerap juga mereka suami isteri ke sana. Datin Ruby tak pernah lokek kerana setiap kali berjalan jauh dia rajin membawa pulang buah tangan. Kebanyakannya produk kecantikan seperti minyak wangi, alat solek dan bermacam lagi.
 
Masuk bab kecantikan memang Datin Ruby obses sikit. Dia sanggup buat apa sahaja asal kelihatan muda belia. Masuk 30-an masih tidak terkesan kerana Datin Ruby memang pasang badan habis-habisan. Muka dan badan sah-sah ‘buat’. Hidung seakan sudah ‘jatuh’ mungkin sebab pembedahan plastik dibuat sejak muda. Mata sudah habis ‘tarik’. Jadi gaya rambutnya sentiasalah ada fringe bagi melitupi tanda surgeri. Kulit pula dah macam kulit bawang, nipis putih melepak, pucat macam mayat hidup. Eee… memang keterlaluan. Datin Ruby tak boleh salahkan orang bila dia direnung atas bawah macam freak!
 
Dia sanggup mandi lulur, mandi susu, mandi apa sahaja asalkan mampu membuatkan kulit jadi gebu. Terapi ozon, stem cell dan entah apa-apa lagi. Teknik apa dia tak pernah cuba demi mahu nampak muda sentiasa. Asal ada teknik baharu perawatan wajah, meloncat dia menawarkan diri. Jadi bahan eksperimen pun tak mengapa. Suka benar dia mengikut Datin Paduka Citra yang sama obses dengan Datin Ruby.
 
Saya diam sahaja setiap kali Sofi cuba membangkitkan soal itu. Katanya lagi, Datin Ruby tu mukanya dah serupa kucing. Tapi saya tak setuju hendak mengata orang sebegitu kerana esok-esok jadi kat diri sendiri baru tahu. Semua orang pasti akan melalui zaman senja. Tua itu pasti. Krisis pertengahan umur bukan pelik. Banyak lagilah istilah dipakai sehingga kini. Tetapi prosesnya sama sahaja, apabila melalui saat rambut memutih, kulit mula mengendur, berkedut seribu dan wajah kelihatan jatuh.
 
Datin Ruby bakal mengakhiri usia 40-an dan apa sahaja jenama kosmetik mahal atau murah tidak mampu membantunya lagi. Ada juga beberapa kali dia merungut kedut-kedut yang tidak mampu diselindung lagi. Iyalah, nama pun separuh abad.
 
Saya nampak setiap kali ada wanita cantik menyertai meja kami, Datin Ruby akan jadi tidak senang. Dia akan melirik mereka dengan rasa iri. Kadang-kadang bibirnya akan menyebut, kenapa aku tidak secantik itu? Berulang-ulang kata dia menyebutnya tanpa menyedari telinga saya dapat menangkapnya.
 
Rasa saya penyakit Datin Ruby sangat aneh. Cemburu dia kepada kecantikan wanita melebihi cemburu suaminya digoda wanita. Saya syak itulah punca Datin nekad mencabut nyawa sendiri. Apa pun setibanya kami di hospital, saya tuju terlebih dahulu kepada adik Datin Ruby. Ingin sekali mengetahui penyakit sebenar kakaknya itu.
 
“Kak Ruby masih berehat. Tidur.” “Apa dah jadi?” soal saya kerana sedari tadi belum mendapat jawapan pasti. “Doktor kata emosi kak Ruby tak stabil. Kalau boleh awasi dia selalu.” “Apa masalah Ruby?”
 
Semua orang tak mampu beri jawapan yang kukuh dengan tindakan Datin Ruby. Saya mendekati katil hospital swasta itu. Ruby sedang lena. Tanpa sebarang solekan, wajah polos itu tampak berusia. Memang nampak berusia lantas saya teringat perbualan kami tempoh hari. “I tak boleh nak pandang muka sendiri lagi dah. Semuanya berubah. I takut nak menempuh semua ni. Macam mana kalau my husband tengok I tua dan tak menarik lagi? Nanti you rasa dia cari lain tak? I takut!” ujar Datin Ruby hilang keyakinan diri.
Dia mengeluh, membebel seperti orang mereng sambil menjinjing beg Hermes ostrich dan di pergelangan tangan, jam tangan Piaget penuh berlian. Harga dua benda itu sahaja sudah ratusan ribu. Itu pun tidak dapat membantu mengembalikan keyakinan Datin Ruby yang sudah hilang.
 
Saya menunggu sehingga Datin Ruby sedarkan diri. Mendengar cerita daripadanya ternyata telahan saya benar. Seorang wanita tanpa pegangan agama mampu jadi seorang paling beremosi hanya terkaku menurut kata bisikan syaitan. “Datin, kita semua perlu bersedia menerima hakikat, kita semua akan berdepan dengan hari tua dan perubahan dalam diri,” nasihat saya lembut. Datin Ruby tenung saya lama. Kemudin dia membebel separa berbisik. Mintanya, carikan dia cermin. Katanya nak makeup sebelum Datuk Nuar datang melawat. Kemudian entah apa lagi direpekkannya. Tak semena dia menjerit-jerit pada pembantunya yang kebetulan sedang menjaganya, ditanya kenapa bawa krim salah. Sebab krim yang dipakainya tak dapat hilangkan kedut di muka serta merta. Kami semua geleng kepala. Sah, Datin Ruby sudah tidak betul kepalanya.
 
Teringat saya waktu Datin Ruby mengamuk di sebuah majlis sosial hanya kerana seorang pelayan malam itu memanggilnya makcik. Depan-depan orang ramai, dia naik suara menengking-nengking. Itu paling saya takut. Tanpa sedar kita bertindak diluar batasan hanya kerana obsesi membuta-tuli. Kecantikan tidak akan kekal. Hanya peribadi yang cantik akan diingati orang. Saya hitung semula apakah pernah terjadi terhadap Datin Ruby dengan debaran. Harap-harap bila nak masuk umur 50 nanti saya tidak sebegitu.
 
Datin Ruby sudah dibenarkan pulang ke rumah. Namun seluruh keluarga sentiasa menemaninya. Datuk Nuar tak pernah lagi membiarkan isterinya sendiri. Takut kalau-kalau Datin Ruby membuat onar lagi. Nampak gaya pun emosi Datin belum lagi stabil sepenuhnya. Sebagai kawan ingin saya memberi sokongan moral kepadanya. Entah mengapa saya sangat simpati dengan Datin Ruby. Tak sangka sama sekali dia punya masalah besar menerima diri sendiri. Saya ingin mendalami apakah yang dirasakan Datin saat ini.
 
Tiba di kondo persinggahan mereka, saya mencari Datin Ruby. Dia sedang termenung di dalam kamar gelap dek langsir yang menutupi seluruh tingkap. Saya merapati dia yang sedang leka di dalam dunianya sendiri. Entah apa yang bermain difikiran, tiada siapa yang tahu.
 
“Ruby, you macam mana hari ni?” soal saya lembut membuka bicara. “Okey! Terima kasih!” balasnya bersahaja. “Kenapa Ruby?” “I tak apa-apa,” ujarnya cuba tersenyum. Diam. Masing-masing melayan perasaan. Kemudian Datin Ruby tiba-tiba menarik nafas seperti ada perkara hendak dicakap tapi tersekat dikerongkong. Saya rasa inilah peluang mahu mendasari perasaan Datin Ruby.
 
“I faham perasaan you. Cuba you bertenang, ingat Allah!” “I rasa tersisih. I rasa tidak menarik lagi,” ujarnya menangis. “Bukannya Datuk Nuar cari lain pun,” bangkang saya. “I tak boleh terima. I rasa I dah ketinggalan. Dulu semua memuja kecantikan I. Sekarang semuanya dipandang sepi.”
 
Saya cuba membuat Datin Ruby bertenang. Aduh, ada juga orang yang takut sangat kecantikan luput ditelan usia. Sepatutnya pada usia-usia begini kita takut mati kerana amalan belum cukup. Tindakan Datin Ruby mahu membunuh diri kerana diri semakin berusia tidak masuk akal sekali. Saya menentang tetapi saya perlu menyokong seorang sahabat yang sedang galau.
 
Datin Ruby suatu masa dahulu memang cantik. Ketika era 80-an dialah yang paling hot sekali. Setelah berkahwin dan beranak, barulah dia slow down. Hanya selepas melahirkan anak kedua, badannya naik mendadak. Susah pula hendak susut. Walaupun Datuk tidak kisah, Datin Ruby yang mementingkan kecantikan ralat sekali dengan penampilannya.
 
Selama ini dia berusaha untuk cantik. Dia buat apa sahaja agar semua orang tidak memandang kekurangannya pada tubuh badan. Dia juga cemburu melihat wanita cantik, bukan cemburu yang ke arah keburukan tetapi rasa alangkah bertuahnya mereka. Entah mengapa Datin Ruby terlalu melayan perasaan sedihnya lalu hilang pertimbangan.
“You ada I, ada Datuk Nuar dan anak-anak. We all love you walau macam mana sekali pun rupa dan betuk tubuh you. Semua orang akan tua dan mati, Ruby!” Datin Ruby seperti insaf namun saya kenal benar dia ni. Sebelum pulang saya berpesan kepada adiknya agar jangan leka. Selalulah memantau Datin Ruby yang emosinya tidak menentu. Esoknya saya mendengar perkhabaran mengejutkan saya daripada Sofi. Subuh pagi tadi Datin Ruby meraung secara tiba-tiba. Dia mengoyak hampir semua gambar zaman mudanya dalam album. Lalu Datuk Nuar menerima nasihat doktor agar isterinya dibawa bertemu terapi.
 
“Kalau nak ikutkan, sakit tahap dia tu boleh masuk hospital sakit jiwa tau,” ngomel Sofi. Saya kesal kerana gagal membuatkan Datin Ruby tenang. Mungkin saya tak cukup hujah semalam. Bukan apa takut dia terasa hati. Takkan nak bersyarah pula sedang dia lebih berusia dariapada saya. Petang itu juga saya dan Sofi pergi menziarahi Datin Ruby. Dia langsung tidak mempedulikan kami. Malah membenci kami kerana lebih muda.
 
Pada tahap ini kami tak dapat banyak membantu. Saya sekadar memerhati. Tak faham sebenarnya apa yang mendorong Datin Ruby jadi sebegitu obses dengan kecantikan hingga menjadi murung. Manusia ini bermacam ragam. Saya tak menyangka pula ada wanita boleh jadi gila kerana takut berdepan hari tua. Aneh tetapi benar.
 
 

See also
JENN LOW