Korner Mak Datin: Angkara suami kaki skandal, Datin menipu menutup malu

Korner Mak Datin: Angkara suami kaki skandal, Datin menipu menutup malu

datin3 mono NOISEGambar: Arkib GLAM

 
Matahari menjengah masuk di balik langsir tepat menyentuh pipi Datin Salmiah. Dia menggeliat, melonggarkan urat saraf sebelum bingkas bangun. Sempat dia menoleh sebelah, tempat tidur Datuk Kamal yang kosong. Sudah seminggu suaminya keluar daerah untuk melangsaikan tugas-tugasnya. Hari ini sepatutnya Datuk pulang jadi dia sudah bercadang untuk memasak sendiri.
 
Datin Salmiah berkahwin dengan Datuk, 15 tahun lalu atas dasar suka sama suka. Susah senang mereka harungi berdua sehinggalah suaminya berjaya sebagai usahawan dan dikurniakan pangkat Datuk. Saat Datuk perlu bekerja di luar negara, dia akan mengikut. Datuk akan membawanya ke mana-mana sahaja dalam mahupun luar negeri.
 
Hanya selepas melahirkan anak kedua, dia semakin sibuk. Dua anak perempuan mereka dilahirkan hanya selang setahun jarak usia. Memang Datin Salmiah sangat terhibur dengan kehadiran dua cahaya matanya. Peringkat awalnya, Datin rajin mengikut Datuk seperti biasa. Anak-anak dibawa bersama dengan seorang pengasuh. Tetapi setiap kali pulang, dia akan berasa sungguh keletihan. Walaupun punya pembantu namun segala perihal anak diuruskan sendiri.
 
Kesibukan menguruskan anak-anak yang masih kecil membuatkan Datin mengambil keputusan untuk tinggal di rumah sahaja. Dia tidak sekerap dahulu mengikut Datuk yang terlibat dalam perdagangan barang-barang lokal ke luar negera. Datuk memang sering menjelajah dari satu negara ke negara lain dalam memburu peluang memasarkan produk tempatan keluar negara.
 
Datin Salmiah menuju ke dapur mendapatkan pembantu rumah. Semalam sudah dipesan agar Rumi ke pasar pagi membeli beberapa bahan untuk masak gulai lemak kuning ikan merah, ayam berlada dan sayur kailan kesukaan Datuk Kamal.
“Semua bahan dah dibeli?”
 
“Dah Datin. Ikan pun dah siap siang.”
 
“Sekejap lagi tolong saya masak. Nana dengan Nita mana?”
 
Sudah meningkat remaja dua anak gadis mereka. Nana kini berusia 13 tahun dan Nita pula 12 tahun. Mereka mencuba untuk dapatkan anak lelaki tetapi rezeki Allah beri hanya dua zuriat. Datin Salmiah tetap bersyukur dengan kehidupan dijalaninya kini. Nana dan Nita ada aktiviti di sekolah mereka. Dia sudah berpesan untuk pulang lebih awal bagi menyambut ayah pulang.
 
Sementara itu Datuk Kamal baru sahaja membaca pesanan SMS Datin yang bersedia menyambutnya pulang dengan rancangan makan tengah hari sekeluarga.  Kalau bukan mengenangkan anak-anak, dia tak mungkin meninggalkan Lily sendirian. Kekasihnya itu sangat manja mendambakannya sehari lagi. Sepertinya belum puas berdua sedangkan setiap kali keluar negara pasti dibawa Lily bersama. Datuk sudah lama punya hubungan dengan Lily, wanita yang digilainya sejak sekian lama.
 
Lily adalah peguam baru di syarikat yang sering mengiringinya menguruskan perniagaan selain rakan kongsi dan setiausaha. Saat Datin sering di sisi, Datuk sudah mulai pandai bermain mata dengan Lily. Apabila Datin Salmiah sudah jarang menemaninya, dia mengambil kesempatan itu mendekati Lily. Ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan. Hubungan terlarang mereka yang berlangsung sejak enam tahun lalu semakin utuh.
 
Ini bukan hubungan terlarang pertama Datuk Kamal. Teman-teman usahawan lain sudah lama pasang dua atau tiga tetapi Datuk Kamal tidak langsung berniat untuk kahwin dengan Lily. Entah mengapa dia sangat tertawan dengan kepintaran Lily tetapi setianya tetap pada keluarga. Cuma Lily seorang teman yang tidak menjemukan. Perbualan mereka sungguh luas hendak dibanding dengan isteri, orang kampung lepasan SPM sahaja. Datuk hanya mahu peneman seperti beberapa skandalnya yang lain juga. Cuma Lily kekal lama dengannya manakala wanita lain pula hanya hubungan singkat Datuk. Hadir mereka bermusim seperti angin lalu.
 
Membandingkan penampilan kedua-duanya, sudah pasti Datin yang berusia 40 tahun dan beranak dua itu kalah dengan gaya urban Lily. Wanita berpendidikan tinggi jurusan undang-undang itu baru menginjak usia 32 tahun. Orangnya kecil molek tidaklah mempunyai susuk seorang model. Namun penampilan Lily sangat menawan, kiranya tidaklah malu hendak dibawa ke mana-mana.
 
Lily sering menyarung persalinan Chanel, Dior, sepatu Manolo Blahnik, Christian Louboutin dan tas tangan Gucci, Prada dan LV. Hermes pula adalah jenama paling digilainya. Dia bijak mencuri peluang membeli-belah di pusat asli datangnya jenama itu. Jadi harga diperolehi lebih berpatutan dan semestinya Datuk yang banyak menghadiahkannya. Yang menemani Lily membeli-belah pun Datuk. Takkanlah Datuk sanggup membiarkan Lily yang membayar bil semua.
 
Datuk Kamal juga bangga berdampingan wanita bergaya seperti Lily. Tidak ramai yang tahu hubungan intim mereka kerana Lily sering mewakili syarikatnya untuk menguruskan akaun Datuk Kamal. Mereka juga bergerak secara berkumpulan ke acara-acara sama. Hanya di luar negara sahaja mereka bebas berdua-duaan. Kalaupun ada yang dapat menghidu hubungan mereka, tiada siapa pun berani bersuara kerana pengaruh Datuk Kamal yang luas. Rahsia mereka berdua selamat daripada pengetahuan Datin Salmiah.
 
Tiba di rumah, Datuk Kamal disambut mesra Datin dan anak-anak. Soal mendidik anak-anak, Datuk tabik dengan Datin Salmiah yang berjaya menerapkan jati diri tinggi di dalam diri anak-anak. Mereka mendengar kata dan masih menghormati orang tua. Dia sering mendengar rakan-rakan berpangkat lain yang pening dengan kerenah anak-anak masing-masing.
 
“Abang nak rehat dulu atau makan?”
 
“Kita makan sama!”
 
Lantas Datuk Kamal beriringan dengan anak-anak ke ruang makan serba mewah. Nana dan Nita sibuk bertanya itu dan ini. Maklum sajalah jarang hendak bertemu muka si ayah. Datin Salmiah tersenyum bahagia melihat suami dan anak-anak gembira. Kehidupannya dirasakan cukup sempurna. Betapa pantas waktu berlalu, amak-anak pun sudah besar panjang. Ketika berdua di kamar, Datin Salmiah menyuarakan hasrat mahu kembali aktif mengikut Datuk ke mana-mana sahaja.
 
“Bila trip abang seterusnya. Sal rasa Sal nak ikut abang balik. Macam dulu-dulu.” Datuk Kamal beriak tenang merenung lama isterinya. “Sesekali bolehlah. Anak-anak perlukan awak. Kalau kita dua-dua tak ada di rumah, bimbang saya.”
 
“Mereka dah besar. Dah boleh berdikari,” ujar Datin Salmiah yakin. Masakan tidak dia yang membesarkan Nana dan Nita. Sudah kenal hati budi dua beradik itu. “Tengah remaja ni lah nak kena perhatikan mereka betul-betul. Saya selalu tak ada. Awaklah jadi mata dan telinga abang. Sal tahu, Datuk khalil, Datuk Seri Hanifa selalu cerita kenakalan anak-anak mereka.”
 
“Anak kita tak mungkin jadi seperti anak-anak mereka.” Tetapi Datuk Kamal bertegas mahu Datin tinggal di rumah. Hanya trip pendek sahaja Datin Salmiah dibenarkan ikut. Alasannya demi kepentingan anak-anak. Walhal dia kurang selesa kalau trip mereka, Lily ada turut serta kerana tugas. Serba salah jadinya kerana Lily kuat merajuk juga orangnya. Selebihnya dia bimbang Datin dapat menangkap rasa hatinya terhadap Lily.
 
Lily juga bimbang dengan keadaan itu. Dia bingung apabila Datin Salmiah kerap pula muncul di acara-acara rasmi bersama Datuk. Sebal hatinya melihat layanan vip yang diterima Datin. Kalau sebelumnya dia duduk di sebelah Datuk tetapi kali ini dia ditempatkan di meja berasingan dan paling belakang. Ada sesetengah mata melirik sinis kepadanya. Seolah-olah memberi pandangan mengejek serta mentertawakannya.
 
Seminggu lamanya Lily menghindarkan diri daripada Datuk Kamal. Begitulah caranya untuk mendera perasaan Datuk. Tindakannya itu memberi kesan mendalam kerana Datuk bagai hendak gila mencarinya. Orang kata penangan berdiam diri begini semestinya lebih berjaya. Lily punya misinya sendiri kali ini. Telah sekian lama dia bersabar dengan sikap sambil lewa Datuk Kamal setiap kali soalan kahwin diajukan. “Enam tahun dah. Dah nak masuk tujuh tahun,” ujar Lily cuba memancing perhatian Datuk tempoh hari.
 
“Sabarlah!” Itu sahajalah jawapan diberikan setiap kali Lily menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Semua orang sudah bertanyakan status dia dengan Datuk. Lama-lama dia sudah naik malu apatah lagi teman rapatnya mengatakan hubungan selepas lima tahun yang masih statik kebiasaannya adalah petanda kegagalan. Hubungan dia dan Datuk sudah melepasi lima tahun. Dah masuk angka enam tahun pun tetapi perancangan masa depan mereka berdua masih samar.
 
Selepas sebulan dua menjauhi Datuk Kamal, dia mula berpacaran dengan lelaki lain. Sengaja dia mempamerkan teman lelaki kacak di depan Datuk. Biar lelaki tua itu sedar diri dan tahu selama ini dia sanggup mengadap muka Datuk kerana setianya dia. Sedangkan Lily mampu untuk mendapatkan mana-mana lelaki yang lebih berharta atau lebih muda malah kacak daripada Datuk untuk dijadikan pasangan.
 
Kemudian Datuk menerima surat ugutan daripada Lily. Gambar aksi hangat mereka akan Lily sebarkan kepada Datin dan umum jikalau Datuk enggan menikahinya. Bertambah gundah Datuk Kamal dibuatnya sehingga perubahan Datuk dapat dikesan Datin Salmiah. Setelah dipujuk barulah Datuk menceritakan segala-galanya. Wajah Datuk Kamal sangat rusuh saat meluahkan rasa hatinya terhadap perempuan bernama Lily. Kemaafan juga dipohon kepada Datin kerana menduakan cinta.
 
Betapa hancurnya perasaan Datin saat itu mendengarkan pengakuan Datuk. Memang sudah dia jangkakan suaminya ada hubungan sulit tetapi tidaklah sampai ke peringkat mempunyai gambar sebegitu rupa. Sebenarnya telah lama Datin dapat mengesan perangai buaya darat Datuk tetapi nama Lily sahaja baru kali pertama dia dengar.
“Habis tu, abang nak kahwin dengan dia?” Soalnya tidak sanggup menyebut langsung nama perempuan itu tetapi rasa-rasanya Datuk tahu siapa yang dimaksudkannya itu.
 
“Kalau begini perangai dia, abang tak sanggup Sal.” Datuk geleng kepala menyesali keterlanjurannya itu. Kini dia terperangkap dalam jerat dipasang Lily. Datin akhirnya membuka cerita yang disimpannya selama ini. Nama Datuk sudah lama tercemar akibat dendam wanita-wanita lain yang menjalani hubungan singkat dengan Datuk. Bukan Lily seorang yang pernah datang membuka pekong Datuk. Sudah banyak juga gambar-gambar Datuk bersama wanita lain sampai ke tangannya.
 
Sepanjang Datuk ke luar negara, Datin didatangi media dan rakan perniagaan yang bertanyakan skandal Datuk. Puas juga Datin menipu semua orang, wanita itu sekadar pembantu peribadi, anak buah dan sebagainya. Dalam hati yang sakit, dia terpaksa berpura-pura mengenali wanita skandal suaminya. Anak-anak mereka juga pernah mendatanginya dengan esak tangis. Mereka turut mendengar berita kecurangan ayah mereka. Datin sedaya upaya memujuk dan menafikan sekeras-kerasnya berita didengar mereka itu. Dia melemparkan senyuman paling manis dengan wajah begitu tenang walhal jiwanya meronta-ronta sakit.
 
“Saya sudah lama memendam rasa. Saya lama bersabar dan menipu untuk abang demi menjaga nama baik keluarga kita.” Datuk Kamal menutup wajah penuh rasa malu dengan kata-kata Datin itu. Betapa menderitanya Datin dengan kelakuan liarnya itu. Datuk sangat menyesal dan berikrar tidak mahu melakukannya lagi. Dia bersumpah berkali-kali akan terus setia dan membuang tabiat lamanya suka berfoya-foya.
 
Datin Salmiah lega mendengarnya walaupun kurang percaya tetapi dia yakin Datuk sudah insaf. Mereka mengambil keputusan membuat laporan polis dan bertindak menghantar surat amaran kepada Lily. Datin Salmiah membayar wang yang agak besar untuk menutup mulut Lily. Setelah itu mereka empat beranak pergi mengerjakan umrah dan bercuti panjang menjelajah Eropah selama sebulan. Datin Salmiah lega dengan perubahan besar Datuk yang semakin mendekatkan diri dengan agama. Datin tidak lagi menjadi isteri yang sering menipu demi menjaga maruah suami. Datin Salmiah tersenyum melihat suami dan anak-anak sedang menonton televisyen seraya bergurau senda. Dia lantas menghampiri dan duduk di sisi suami. Melihat huluran tangan Datuk dia menyambutnya mesra.
 
 

See also
Kenali Masalah Kulit Anda Pada Setiap Peringkat Umur